Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir pengerusikan mesyuarat pertama MPN

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Produktiviti Negara (MPN) bagi tahun 2020.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali melalui laman Instagramnya berkata MPN merupakan satu platform yang membincangkan hala tuju strategik bagi memperkasa agenda produktiviti negara dalam memacu pertumbuhan ekonomi mapan dan inklusif untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Mohd Zuki turut memuat naik dua keping gambar mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata MPN dihidupkan semula pada Februari 2019 bagi menetapkan panduan dan hala tuju strategik untuk memacu produktiviti negara secara menyeluruh.

“Keanggotaan MPN telah disusun semula supaya keahliannya terdiri daripada golongan berpengalaman dan berkepakaran untuk mengenal pasti isu dan masalah produktiviti di semua peringkat,” katanya di laman Twitter beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lawatan kerja PM ke Jepun disingkatkan ekoran amaran taufan

FUKUOKA (Jepun), 5 OGOS: Lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Fukuoka, Jepun, disingkatkan kepada dua hari berbanding jadual awal tiga hari, sebagai langkah berwaspada susulan amaran ribut taufan, menurut pegawai dari Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, Dr Mahathir dijadualkan tiba di Fukuoka pada Rabu.

Bagaimanapun, program perdana menteri yang dijadualkan di Fukuoka masih diteruskan, dengan beberapa perubahan kecil, katanya.

Semasa di Fukuoka, Dr Mahathir dijadual menyampaikan syarahan di ‘Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun’, dan di Institut Kepimpinan Asia Kyushu, di samping menerima anugerah ijazah doktor kehormat dari Universiti Antarabangsa Jepun.

Antara perubahan kecil yang dibuat membabitkan jamuan makan malam yang dihoskan Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun, yang dipinda daripada jadual asal Selasa, kepada Rabu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kerajaan sasar wujud usahawan boleh cipta peluang kerja

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan budaya keusahawanan yang menggalakkan usahawan menjadi pencipta kerja, di samping memberikan bimbingan kepada mereka yang bekerja dalam bidang industri masing-masing.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030, kerajaan berharap untuk memupuk budaya keusahawanan bagi memandu sektor itu untuk menyumbang sehingga 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Kita sedang mengusahakan strategi bagi memupuk usahawan muda dan rakan usahawan menerusi dasar ini,” katanya semasa berucap di majlis Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2019 di sini malam tadi.

Dr Mahathir berkata, kerajaan berharap dapat melahirkan usahawan yang boleh memandu negara ke hadapan dari segi ekonomi, pembangunan dan pertumbuhan.

Katanya, beliau percaya amat penting untuk mewujudkan model ekonomi yang berjaya menerusi keusahawanan di mana usahawan tempatan boleh maju bersama dengan nilai-nilai murni – integriti dan ikhlas.

“Nilai ini penting jika usahawan berhasrat untuk terus mampan dalam bidang mereka. Tanpa nilai-nilai ini, kejayaan tidak sempurna, ia kehilangan jiwa.

“Tapi ingatlah, menjadi pemenang bukan hanya apabila kita diberikan pengiktirafan semata-mata, tapi juga bagaimana nurani kita menerimanya, dan kejayaan tidak seharusnya bererti mengabaikan segala yang lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usahawan muda Malaysia terus membuktikan bahawa mereka boleh, dan ramai yang telah memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi, dan keupayaan mereka ini membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Beliau berkata, kebangkitan usahawan yang gigih dan berjaya ini mengukuhkan kepercayaan kerajaan terhadap belia dan memancar sinar harapan baharu untuk masa depan Malaysia.

“Kita sedang berhadapan kemajuan teknologi yang amat pantas dan gangguan yang belum pernah dihadapi sebelum ini; dengan kemunculan Revolusi Industri Keempat ini.

“Setiap negara amat bergantung kepada belia mereka untuk sama bergerak pantas dan menggunakan keupayaan mereka untuk memanfaatkan perubahan ini.

“Malaysia juga tiada bezanya. Kumpulan belia dilahirkan dalam suasana teknologi baharu ini dan mereka membesar semasa teknologi ini berkembang serta mencapai tahap baru dalam kemajuan dan kecanggihannya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, adalah perkara semula jadi bagi golongan belia untuk memiliki kelebihan dan kemampuan dalam menguasai teknologi baharu serta maju, namun sememangnya mereka masih perlu memiliki minat, keinginan juga kewaspadaan.

Katanya, kefahaman serta kebolehan untuk menyesuaikan diri terhadap teknologi baharu ini akan membolehkan mereka lebih berinovatif dan kreatif dalam keinginan untuk meneroka dan memperkenalkan peluang ekonomi dan industri baharu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

ECRL: Kontraktor Bumiputera mohon wujudkan kuota khas

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia memohon kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Kehormatnya, Datuk Mokhtar Samad berkata ini kerana terdapat kira-kira 42,000 kontraktor Bumiputera yang berkepakaran dan berkemahiran tinggi untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek tersebut.

“Mereka ini boleh melakukan pelbagai kerja dalam projek tersebut. Apa salahnya jika 40 peratus kuota penglibatan syarikat tempatan Malaysia dalam projek ini perlu melibatkan 20 peratus kontraktor Bumiputera? Persatuan kontraktor minta wujud kuota khas kepada kontraktor Bumiputera.

“Jika tiada kuota khas itu, saya percaya, kontraktor Bumiputera sukar bersaing atau berkongsi dengan syarikat tempatan lain. Ini permintaan logik dari persatuan, saya percaya, kerajaan baharu ini lebih prihatin kepada kontraktor Bumiputera,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 12 April.

Dalam satu temu ramah dengan Bernama, Wakil Khas Perdana Menteri untuk rundingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China, Tun Daim Zainuddin berkata sektor pembekalan dan aspek teknikal antara yang perlu direbut kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam projek mega tersebut.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata kerja-kerja teknikal, mekanikal dan sivil antara kepakaran tinggi di dalam portfolio kontraktor tempatan yang perlu diberi perhatian kerajaan dan juga pihak MRL untuk sama-sama terbabit membangunkan platform pengangkutan baharu itu.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menemui pihak MRL baru-baru ini bagi meminta kerja-kerja pembangunan ECRL itu diberi keutamaan kepada kontraktor Bumiputera.

Dalam pada itu, Mokhtar turut merayu kepada kerajaan supaya tarikh tutup penyerahan pratender kerja-kerja awam ECRL dilanjutkan kepada tiga minggu lagi berbanding tarikh asal iaitu pada 30 Mei ini berikutan musim perayaan dan sambutan Aidilfitri.

Projek ECRL itu dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Ia disambung semula pembinaannya dan akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Categories
NASIONAL

Isu hina Agong: Kerajaan bakal definisi perkataan, perbuatan

PUTRAJAYA, 10 JAN: Kerajaan akan mendefinisikan perkataan atau perbuatan boleh dianggap sebagai menghina institusi diraja, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas isu penahanan tiga individu di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V, beliau berkata, definisi sebenar perbuatan atau perkataan menghina itu perlu untuk penguatkuasaan pada masa akan datang.

“Pada masa ini, pihak penguat kuasa tidak faham apa yang dianggap sebagai menghina, jadi kita perlu ‘spell out’ (nyatakan) apa perbuatan atau perkataan dianggap sebagai menghina,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini.

Ditanya mengenai undang-undang baharu akan digubal untuk melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina, seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong hari ini, Dr Mahathir secara ringkas berkata, kerajaan akan melihat definisi menghina yang lebih tepat.

Penahanan tiga individu terbabit semalam bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan di media sosial berkaitan isu Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, mendapat kritikan pihak tertentu.

Dr Mahathir berkata, kini Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara di mana individu bercakap perkara yang berfakta tidak boleh disalahkan.

“Sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga apabila jenayah berlaku pun kita tak boleh sebut, akan berlaku ketidakadilan dalam negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai agendanya menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene yang dijadualkan petang ini, Dr Mahathir berkata: “Saya nak jumpa Baginda, itu saja,”.

Sebuah akhbar tempatan memetik sumber Pejabat Perdana Menteri melaporkan Sultan Johor berkenan untuk menerima Dr Mahathir menghadap dan ia pertama kali sejak beliau menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ditanya sama ada pelantikan Yang di-Pertuan Agong baharu akan dibincangkan semasa menghadap Sultan Ibrahim, sumber itu memberitahu terdapat banyak perkara perlu dimaklumkan dalam pertemuan berkenaan.

SUMBER: BERNAMA