Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor Xtiv Virtual perkenal permainan dalam talian baharu

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri bakal memperkenal beberapa permainan dalam talian baharu menerusi program Selangor Xtiv Virtual 2021.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata antara acara yang akan diperkenalkan pada bulan ini seperti “jumping rope”, “freestyle football” dan “bicycle ride”.

“Penyertaan sedia ada mendapat sambutan tetapi kita mahu memperkenalkan permainan baharu supaya dapat meningkatkan lagi peserta menyertai Selangor Xtiv Virtual.

“Setakat ini kita menerima sebanyak 218,887 penyertaan bagi tujuh program hingga semalam dan jumlah ini menghampiri 50 peratus daripada sasaran iaitu 450,000 peserta,” katanya kepada SelangorKini.

Selangor Xtiv Virtual 2021 mempertandingkan tujuh jenis permainan bermula Mac hingga Disember dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Program itu meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021, FIFA Pro Club, Selangor Xtiv Virtual Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

Tahun lalu, program tersebut mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Categories
AGENDA NASIONAL

Permainan dalam talian jangkiti orang dewasa

MELAKA, 24 OKT: Isu ketagihan permainan dalam talian dilihat semakin bertambah serius sejak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh membawa kesan negatif, kerana ia kini bukan hanya sering menjadi satu ketagihan dalam kalangan kanak-kanak, malah ia juga telah mulai menjangkiti orang dewasa.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sejak kebelakangan ini pihaknya ada menerima beberapa aduan dan rungutan orang ramai dan juga ketua-ketua jabatan, bahawa terdapat penjawat awan yang ketagih dengan permainan dalam talian hingga menjejaskan tugas mereka.

Beliau berkata, walaupun jumlah aduan yang diterima tidak banyak, namun beliau risau sekiranya terus dibiarkan, ia akan menjejaskan mutu perkhidmatan awam.

“Saya menyeru agar ketua-ketua jabatan kerajaan peka dengan perkara ini dan membuat pemantauan serta mengambil tindakan awal bagi membendungnya sebelum terlambat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Malah menurutnya, lebih parah lagi, ada juga kes-kes di mana ada penjawat awam yang sanggup membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ semata-mata untuk melepaskan ‘gian’ ketagihan itu.

“Saya juga harap agar pihak berwajib mengambil tindakan akan perkara ini sebelum ia meresap dalam sistem masyarakat kita dengan melakukan penguatkuasaan yang lebih ketat dan bersungguh-sungguh serta menambah baik perundangan yang sedia jika perlu,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh kerajaan China baru-baru ini yang mengharamkan operasi permainan dalam talian ‘PlayerUnknown’s Battlegrounds’ (PUBG) yang digantikan dengan permainan baharu yang lebih bersifat patriotik, dikenali sebagai ‘Game of Peace’.

Menyentuh mengenai ketagihan bermain permainan dalam talian dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah, Nadzim berkata, ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dan dekat dengan anak mereka perlu mainkan peranan dengan membuat pemantauan dan mengehadkan masa anak bersama telefon pintar.

Katanya, ibu bapa perlu menjadikan anak sebagai aset atau dijaga seperti emas dan tidak meletakan anak sebagai satu tanggungan atau liabiliti semata-mata.

– BERNAMA