Categories
EXCO SELANGOR

PKGS belum layak dicalon tapak warisan dunia

SHAH ALAM, 8 NOV: Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) belum layak untuk dicalonkan sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, PKGS bukan satu-satunya permatang kuarza yang terdapat di dunia.

Katanya, masih terdapat kuarza lain seperti di negara Kanada, India, Perancis, Jerman, Scotland dan Rusia.

“Hasil penemuan kajian Dossier PKGS mendapati nilai estetika di kawasan itu tidak terlalu luar biasa jika dibandingkan dengan tapak lain.

“Justeru, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan PKGS sebahagian Tapak Geopark Kebangsaan sebelum dicalonkan sebagai Tapak UNESCO Global Geopark,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Kajang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Saari Sungib (PAKATAN-Hulu Kelang) di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, PKGS mempunyai data berkenaan rekod sejarah pembentukan bumi yang sangat penting namun, kajian saintifik, penyelidikan, penerbitan dan sumber rujukan serta maklumat yang khusus berkenaan kuarza masih terlalu terhad.

“Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah sahkan menimbang dan bersetuju mahu mengambil maklum hasil penemuan Kajian Dossier PKGS sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Selain itu, meluluskan cadangan PKGS sebagai sebahagian Tapak Geopark Kebangsaan sebelum dicalonkan sebagai Tapak UNESCO Global Geopark,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) sedang menjalankan kajian Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor.

“Kajian ini akan mengenalpasti potensi dan kekuatan tapak warisan berunsurkan geologi yang terdapat di Gombak dan Hulu Langat sebagai aset warisan Selangor dan untuk memastikannya terus terpelihara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Permatang Kuarza Gombak belum sedia diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC : Pasukan Perunding Pakar Kajian Dossier mendapati tapak Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) masih belum bersedia dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Laporan Draf Akhir Dossier PKGS Teknikal pada Disember, tahun lalu.

Katanya, hasil penemuan kajian Dossier PKGS mendapati nilai estetik PKGS adalah tidak terlalu luar biasa jika dibandingkan dengan tapak lain.

“Malah, kajian saintifik, penyelidikan, penerbitan dan sumber rujukan serta maklumat khusus berkenaan kuarza di PKGS masih terlalu terhad.

“Integriti sesuatu tapak yang dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu berada ditahap tertinggi dan ini amat berkaitan dengan isu pengurusan dan pemuliharaan tapak bagi mengekalkan keaslian kawasan PKGS,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berkenaan langkah terbaru Kerajaan Negeri bagi memelihara kawasan PKGS.

Pasukan Pakar Perunding itu terdiri daripada Pakar Arkeologi, Warisan dan Budaya Dunia, Datin Paduka Prof. Emiretus Siti Zuraina Abdul Majid; Pakar Biodiversiti, Warisan Alam Semula Jadi Dunia, Prof. Emiretus Dato’ Dr. Abdul Latif Muhammad dan Pakar Geodiversiti, Warisan Alam Semula Jadi Dunia, Prof. Dr. Mohd Shafeea Leman.

Abdul Rashid berkata, pada masa sama hasil kajian mendapati terdapat perubahan kepada keperluan pencalonan.

“Ia di mana sesebuah tapak yang ingin dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu menguatkuasakan Conservation Management Plan (CMP) terlebih dahulu sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya.

Foto Kredit: Tourism Selangor

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Permatang Kuarza Gombak bakal diiktiraf Tapak Geopark Kebangsaan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC: Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) bakal diiktiraf sebagai sebahagian Tapak Geopark Kebangsaan.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara berkenaan dipersetujui melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang bersidang pada 21 Februari lalu.

Katanya, konsep pembangunan geopark itu bakal memberi tiga aspek keseimbangan iaitu, kepentingan pemuliharaan sumber asli, pembangunan infrastruktur pelancongan serta aktiviti sosio-ekonomi yang menguntungkan masyarakat setempat.

“Antara potensi sosio-ekonomi kepada penduduk setempat sekiranya PKGS dimasyhurkan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Pada masa sama ia mampu menarik pelancong, saintis, ahli geologi, pelajar dan pengkaji pelbagai bidang dari seluruh dunia.

“Lebih membanggakan apabila tapak PKGS akan lebih terkenal dan membuka ruang pertukaran maklumat dan kerjasama dalam kalangan geopark dunia di negara-negara lain,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berkenaan langkah terbaru Kerajaan Negeri bagi memelihara kawasan PKGS.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, geopark didefinisikan sebagai satu kawasan dengan keluasan bersesuaian, mempunyai sempadan jelas dan mengandungi beberapa tapak warisan geologi berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa yang dibangunkan secara lestari.

Katanya, ia adalah untuk meningkatkan tahap ekonomi dan nilai budaya penduduk terutamanya menerusi aktiviti pelancongan.

PKGS atau turut dikenali sebagai Bukit Tabur diwartakan pada 18 Februari 2010 dengan keluasan lebih kurang 114 hektar sebagai Hutan Simpan Ulu Gombak Tambahan 1.

Ia satu keajaiban geologi bertaraf dunia yang mempunyai nilai warisan tinggi dan menjadi permatang kuarza terpanjang di Asia Tenggara iaitu lebih kurang 14 kilometer.

Permatang ini dibentuk daripada bendalir hidroterma batuan granit melalui rejahan berbentuk ‘dyke’ di sepanjang sesar Kuala Lumpur dan kini dianggarkan berusia antara 122 hingga 200 juta tahun.

Di antara puncak tertinggi yang terdapat di sepanjang permatang ini adalah Bukit Batu Tabur (534 meter (m)), Bukit Rata (367m) dan Bukit Batu Chondong (322m).

Pada permukaan permatang ini terdapat banyak batuan kristal kuarza yang berbentuk seperti pensel yang juga tahan terhadap proses luluhawa.

Foto Kredit: Tourism Selangor