Categories
PBT SELANGOR

MPKj lulus 11 permit penjaja, kawal aktiviti niaga di Hulu Langat

SHAH ALAM, 25 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meluluskan permohonan 11 permit penjaja sementara di pinggir jalan Batu 18, Hulu Langat bagi mengawal aktiviti perniagaan kawasan pentadbirannya.

Pegawai perhubungan awamnya berkata kelulusan di bawah program Pasca Covid-19 sebagai usaha membantu menjana ekonomi rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kamarul Izlan Sulaiman menjelaskan sewa bulanan RM150 dikenakan kepada penjaja terbabit meliputi caj kutipan sampah (RM90) dan permit perniagaan (RM60).

“Perkara ini selaras dengan hasrat Kerajaan Selangor untuk memberikan kelulusan kepada permohonan peniaga kecil yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Selaras Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 (MPKj), semua jenis perniagaan dijalankan dalam kawasan MPKj perlu dilesenkan atau dipermitkan sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, peniaga di kawasan berkenaan merungut apabila dikenakan bayaran RM150 sebulan.

Ini kerana, kata peniaga keuntungan diperoleh ketika tempoh PKP kurang memuaskan sekali gus jumlah bayaran itu menjadi beban kepada mereka.

Sementara itu, Izlan berkata hampir 20 binaan tanpa kelulusan atas tanah kerajaan termasuk aktiviti perniagaan dikesan beroperasi di kawasan terbabit berdasarkan bancian pada 25 November lalu.

“Justeru, kami (MPKj) mengambil inisiatif mempermitkan aktiviti penjajaan di kawasan itu dengan kadar fi ditetapkan.

“Kita mengambil cakna berkaitan aduan yang dikemukakan dan akan mempertimbangkan cadangan serta penambahbaikan,” katanya lagi.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj buka permohonan permit niaga sementara pasca Covid-19

SHAH ALAM, 12 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membuka permohonan permit penjaja sementara pasca Covid-19 kepada penduduk tempatan.

Menerusi kenyataan di Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan kelulusan permit akan diberi sehingga 31 Disember tahun depan.

“Lokasi atau tapak perniagaan adalah tertakhluk kepada Pihak Berkuasa Melesen dan satu tapak untuk seorang pemohon sahaja.

“Antara perniagaan dibenarkan ialah menjual makanan dan minuman, barangan kering serta basah juga buah-buahan. Peniaga hanya boleh menggunakan konsep bawa dan pulang sahaja,” kata majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, MPKj memaklumkan terdapat tiga sesi waktu perniagaan dibenarkan iaitu 7 pagi hingga 11 pagi, 12 tengahari hingga 7 malam dan 7 malam hingga 12 malam.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPKj di talian 03-87377899 sambungan 2504/2511/2011.