Categories
SELANGOR

Konsert Dewa 19 bantu usaha banteras dadah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JAN: Konsert Dewa 19 Reunion Live In KL yang bakal berlangsung pada 2 Februari ini bakal membantu usaha Kerajaan Negeri menangani gejala najis dadah.

Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Daing Muhammad Reduan Bachok berkata, sebanyak RM2 daripada setiap jualan tiket akan disalurkan ke Tabung PEMADAM Selangor untuk melancarkan pelbagai aktiviti.

Katanya, kutipan amal itu akan dimanfaatkan dengan program kesedaran, antaranya Jelajah Anti Dadah dalam menjelaskan ancaman dadah terbaharu seperti New Psychoactive Substance (NPS).

“Ia adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah seperti diilhamkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang juga merangkap Penaung dan Pengerusi PEMADAM Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Konsert Dewa 19 Reunion Live In Concert di Stadium Malawati, di sini bakal melakar sejarah tersendiri apabila dua bekas vokalis kumpulan popular Indonesia itu bergabung di pentas yang sama.

Konsert itu menemukan Ari Lasso dan Once yang sebelum ini, pernah menunjangi kekuatan kumpulan asal dari Surabaya itu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memaklumkan, mereka akan membawakan sekitar 30 lagu popular bermula dari album sulung, Dewa 19 yang dihasilkan pada 1992.

 

Categories
SELANGOR

Selangor Tidak Pinggir Bekas Penagih


SHAH ALAM, 10 OGOS : Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) sentiasa berusaha memastikan rakyat Selangor mendapat peluang sama rata bagi memperbaiki diri dan mencipta kejayaan demi masa depan tanpa mengambil latar belakang individu itu.

Maka dengan itu, katanya, semua pihak akan dipastikan tidak terpinggir biarpun mereka itu pernah terlibat dalam jenayah seperti penagihan dadah.

“Pada asasnya kita mahu melihat semua pihak sama ada bagi mereka yang pernah terlibat dalam penagihan dadah atau golongan Orang Kena Perhati (OKP) ini mendapat peluang sama dan tidak dipinggirkan di Selangor.

“Kerajaan Selangor dan saya selaku Pengerusi Pemadam ingin menyatakan siapapun individu dalam masyarakat ini yang ingin mengecapi kehidupan di Selangor maka kita cuba memberikan atau membuka ruang yang sebanyak mungkin untuk tujuan itu.

“Apabila kita dari Pakatan diberi amanah dan mandat bagi mentadbir negeri, kita bukan sahaja mahu melihat Selangor maju dari segi ekonomi tetapi juga maju dalam mendidik anak bangsanya,” katanya.

Rodziah yang juga Exco Kebajikan, Hal Ehawal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Kepada OKP di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pemadam Selangor merangkap ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Faiz Fadzli.

Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri menerusi program Workfare akan menggerakkan individu terlibat dengan pengolahan bidang kebajikan kepada pencapaian yang membolehkan mereka berdikari dengan memperolehi pendapatan.

Sementara itu, Pemimpin Rakan Sebaya (PRS) dari Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) Hulu Langat, Abdul Rashid Loh Abdullah, 51, menyatakan kesyukuran kepada kini hidupnya berubah selepas bebas dari penagihan dadah.

Katanya, dengan peranan sebagai PRS beliau akan berusaha membantu ADK dan Pemadam dengan membimbing penagih dadah supaya kembali ke pangkal jalan dengan meninggalkan tabiat buruk itu.

“Saya kini gembira selepas tidak lagi terlibat dengan dadah dan dengan kehidupan baru ini saya berasa lebih bererti di samping keluara tambahan bagi menyambut Aidilfitri ini,” katanya yang mula menghidap dadah pada usia 26 tahun dan meninggalkannya pada 1997 lalu memeluk Islam.

Begitu juga PRS dari ADK Petaling Jaya, Khairul Azmi Mohd Ghazali, 35, yang berharap akan kembali ke pangkuan keluarga di Bentong, Pahang selepas lima tahun tidak bersama menyambut Aidilfitri.

“Bila terlibat dengan dadah, hidup saya tak tentu arah dan tanpa pedoman. Dengan bimbingan semua pihak dan rakan-rakan, bila berjaya tinggalkan dadah saya rasa hidup saya lebih bermakna dan yakin pada diri sendiri,” katanya yang terlibat dengan dadah dalam tempoh kira-kira 15 tahun.

Bagi Mohamad Yusri Mohd Sani, 18, penglibatan dengan dadah berpunca akibat pengaulan dengan rakan-rakan dan tekanan dihadapi dalam kehidupan di usia muda.

“Saya terlibat dengan dadah lebih kurang lapan bulan tetapi saya rasa syukur kerana timbul kesedaran yang cepat untuk berubah. Dengan pemantauan pihak ADK, saya kini sudah berjaya tinggalkan tabiat buruk itu,” kata yang menjalani tempoh sebagai OKP selama enam bulan di ADK Petaling Jaya.