Categories
AGENSI SELANGOR

Pepias: Pemberian pelitup muka ringankan beban pelajar keluarga B40

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pemberian pelitup muka kepada pelajar sekolah oleh Kerajaan Negeri dapat mengurangkan beban keluarga berpendapatan rendah (B40) di Selangor.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias) Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata sebelum ini, ramai ibu bapa resah ekoran terpaksa memperuntukkan kos bagi membeli alat tersebut.

“Pepias menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari atas usaha dan kesungguhan Kerajaan Selangor mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan golongan muda.

“Oleh itu, Pepias nasihatkan supaya gunakan sebaiknya pelitup muka yang diberi kerana usaha mengekang penularan wabak bukanlah usaha kerajaan semata-mata, malah tugas ini merupakan tugas bersama,” katanya dalam kenyataan.

Pada 29 Julai lalu, Kerajaan Negeri bersetuju mengedarkan pelitup muka guna semula kepada pelajar sekolah dengan keutamaan kepada mereka dari keluarga B40.

Amirudin berkata beliau menjangka lebih sejuta pelajar akan menerima manfaat berkenaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pepias puji Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19

SHAH ALAM, 21 MAC: Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) memuji usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin bagi membantu masyarakat yang terkesan dengan Covid-19, kata setiausaha agungnya.

Mohamad Khairuddin Zahari berkata tindakan pantas itu membuktikan keprihatinan Selangor terhadap segenap masyarakat terutama mahasiswa.

“Antaranya bantuan sara diri RM200 untuk mahasiswa Selangor yang berada di Sabah dan Sarawak serta program makanan percuma untuk pelajar di Universiti Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Kolej Antarabangsa Inpens dari 22 hingga 31 Mac yang terpaksa kekal di universiti.

“Lantaran itu, Pepias bersedia menggembleng tenaga bersama dengan menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri dan mahasiswa di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya Pepias bersama beberapa badan bukan kerajaan lain memulakan operasi Khidmat Bantuan Belia Siswa bagi menyalurkan bantuan keperluan harian dan makanan kepada mahasiswa yang masih berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu mengurangkan bebanan seluruh warga Selangor yang sedang melawan wabak Covid-19,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Masalah remaja, kanak-kanak tidak sekolah perlu dibantu NGO

SHAH ALAM, 18 NOV: Badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pendidikan perlu berganding bahu dengan Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan bagi mengatasi masalah remaja dan kanak-kanak tidak bersekolah di Selangor.

Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata, peranan NGO adalah menjadi orang tengah di antara kerajaan dan masyarakat supaya membolehkan kumpulan itu mendapat maklumat tepat sekali gus mengatasi masalah keciciran.

“Contohnya masih ramai yang tidak tahu mengenai Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKHTISASS) ditawarkan Kerajaan Negeri, sedangkan ia adalah di antara bidang alternatif yang boleh diterokai remaja masa kini sekiranya kurang berminat dengan aliran pendidikan lain.

“Kelemahan akses atau penyaluran maklumat khusus kepada ibu bapa perlu dibantu NGO berteraskan pendidikan khususnya yang dipimpin anak muda.

“Dalam mengejar Revolusi Industri 4.0 serta ke arah pembangunan Negeri Pintar, usaha pendidikan harus dipandang serius dan dibangunkan secara kolektif,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 November lalu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor mencatat 11,031 pelajar sekolah menengah tidak meneruskan pengajian ke sekolah, dan daripada jumlah itu, seramai 183 pelajar bekerja, berhenti sekolah (10,094), berkahwin (19), kemiskinan (sembilan) dan masalah keluarga (123).

Katanya, antara faktor lain ialah sukar ke sekolah (43), takut ke sekolah (11) dan tidak berminat ke sekolah (549).

Sementara itu, 1,250 pula adalah jumlah bagi murid sekolah rendah yang tidak meneruskan pembelajaran, iaitu tujuh bekerja, berhenti sekolah (863), berkahwin (dua) dan kemiskininan (15).

Mereka turut berdepan masalah keluarga (198), sukar ke sekolah (29), takut ke sekolah (lapan) dan tidak berminat ke sekolah (128).

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, PEPIAS memandang serius dengan masalah keciciran pendidikan dimaklumkan Dato’ Menteri Besar berkenaan.

“Melalui pengamatan kasar dan tinjauan bersama beberapa NGO lain, antara faktor pelajar tidak berminat ialah kemiskinan dan masalah keluarga.

“Pada masa sama, tiada warganegara serta masalah sosial di kawasan sekitar juga menjadi penyumbang. Oleh itu PEPIAS mengajak semua pihak untuk meneruskan fokus menggiatkan lagi usaha kesedaran kepentingan untuk melanjutkan pelajaran di kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

PEPIAS sambut baik Belanjawan #Selangor2020

SHAH ALAM, 2 NOV: Jurang kecil antara perbelanjaan pembangunan dan pengurusan dilihat bersesuaian dengan usaha Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025, kata Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin.

Menerusi Belanjawan #Selangor2020, RM1.2 bilion atau 51.44 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus sementara RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan.

Katanya, usaha itu dilihat langkah positif yang dilakukan Kerajaan Negeri menerusi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Pihak kami turut menyambut baik langkah Kerajaan Negeri untuk menghimpunkan mahasiswa Selangor menerusi pengumuman belanjawan berkenaan.

“Pelaksanaan itu dilihat sejajar dengan pergerakan PEPIAS dalam melahirkan mahasiswa yang juga anak Selangor lebih kompeten dan berketerampilan.

“Kami juga telah memulakan inisiatif mengumpulkan mahasiswa dan pelajar dari Selangor melalui program-program yang disebut Perkampungan Menara Gading (PMG) dan Kongres Mahasiswa Selangor (KGMS).

“Hasil melalui program ini, mahasiswa lebih aktif dikampus serta terlibat dalam pergerakan belia di khususnya di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Fahmi Adzha berkata, secara tuntasnya, Belanjawan #Selangor2020 dilihat kepada belanjawan peduli rakyat akan tetapi masih perlu ditambahbaik.

“Antaranya ialah tiada peruntukan kepada Universiti Selangor (UNISEL) Dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang mana merupakan universiti dibawah Kerajaan Negeri.

“Besar harapan PEPIAS agar belanjawan ini dilaksana dan sampai tepat kepada golongan sasaran khususnya kepada generasi muda, mahasiswa dan pelajar-pelajar disekolah,” katanya.

Categories
SELANGOR

PEPIAS lahir belia di persada dakwah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 NOV: Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) memainkan peranan melahirkan aktivis pelajar Islam khususnya di Selangor yang mempunyai kesedaran dan kefahaman Islam secara menyeluruh bagi mencapai tamadun khaira ummah.

Pengerusi PEPIAS, Ahmad Asyraf Abdul Salam, berkata kini PEPIAS telah berdiri teguh selama 25 tahun dalam mendepati pelbagai cabaran demi mencapai hasrat itu.

“Kita menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan berbentuk kebajikan dan pendidikan Islam di sekolah-sekolah di seluruh Selangor.

“Dengan bermatlamat menjadikan pelajar Islam sebagai penggerak utama dalam setiap aktivitinya serta meramaikan aktivis belia Muslim yang berkualiti di masa hadapan,” katanya kepada Selangor Kini.

344a4777Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Malam Jubli Perak PEPIAS bersempena sambutan 25 tahunnya di Institut Kemajuan Desa (INFRA) Bangi, 5 November lalu.

Turut hadir, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim dan Yang Dipertua ABIM Selangor, Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim.

Katanya, majlis itu juga dianjurkan sebagai salah satu cara meraikan pencapaian PEPIAS dengan melancarkan Buku 25 Tahun PEPIAS dan pada masa yang sama bagi memperingati perjalanan dan lakaran sejarah penubuhannya.

-nR-