Categories
SELANGOR

PPRNS sambut baik kesediaan Kerajaan Negeri bantu penternak

Oleh: HAFIZAN TAIB

Shah ALAM, 19 NOV: Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor (PPRNS) mengalu-alukan rancangan Kerajaan Negeri menyediakan tapak kepada penternak yang terpaksa berpindah ekoran desakan pembangunan.

Pengerusi PPRNS, Samad Kassim berharap nasib penternak dan kandang-kandang mereka yang dirobohkan kini terbela. Menurutnya, isu itu berlarutan dari zaman pentadbiran BN.

“Kita menyambut baik dan berterima kasih dengan Dato’ Menteri Besar. Kita berharap satu pertemuan antara PPRNS dan Dato’ Menteri Besar serta Exco yang baru (Industri Asas Tani), Zaidy Abdul Talib dapat dibuat dalam tempoh terdekat.

“Semoga masalah dihadapi penternak di negeri ini sejak sekian lama dapat diatasi dalam situasi menang-menang,” katanya.

Lebih 1,300 penternak haiwan ruminan (lembu, kerbau dan kambing) yang dihimpit pembangunan dan masalah tanah terhad di Selangor dengan sebilangan daripada mereka sudah gulung tikar.

Samad menjelaskan kebanyakan penternak terpaksa berpindah ekoran pembangunan di kawasan berhampiran.

“Dalam masa dua minggu ini sahaja, dua kandang penternak dirobohkan di belakang pasar borong di kawasan perindustrian Puchong,” katanya.

Baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri sedia membantu penternak haiwan ruminan di negeri itu dengan penyediaan tapak sesuai seandainya pihak terbabit bersetuju mencari penyelesaian bersama.

“Cuma kita mahu mendapat persefahaman di antara kedua-dua pihak (Kerajan Negeri dan penternak). Sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah dan kita tiada masalah untuk membantu,” katanya.