Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

670 lembu, 1,000 kambing untuk sumbangan korban sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 7 JULAI: Sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing diperuntuk Kerajaan Selangor bagi program Sumbangan Korban Negeri Selangor pada Aidiladha kali ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berjumlah RM5.05 juta itu ditaja sembilan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Ada sedikit perbezaan pada tahun ini, jika sebelum ini kita peruntuk 1,200 ekor lembu kali ini pula sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing.

“Semua 450 masjid di Selangor masing-masing akan menerima sumbangan seekor lembu dan kambing,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahudidin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Lembu dan kambing korban itu juga akan diedar kepada Dato’ Menteri Besar, Speaker, EXCO, Timbalan Speaker, Ahli Dewan Negeri, Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Penyelaras Parlimen.

Selain itu Dato’ Menteri Besar berkata tatacara operasi piawai (SOP) ibadah korban akan dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam tempoh terdekat.

“Saya telah meneliti sebahagiannya tetapi keputusan terakhir adalah bidang kuasa Jais khususnya dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

Syarikat Kerajaan Negeri yang menyumbang adalah Perbadanan Kemajuan Pertanian (PKPS), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Worldwide Holdings Berhad (WHB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) dan KDEB Waste Management (KWM).

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia gantung import lembu dan kerbau Thailand, elak rebak penyakit

PUTRAJAYA, 8 JUN:  Malaysia menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit penyakit kulit kental (LSD) yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar ketetapan tersebut diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyeru semua pemain industri seperti pengimport, peraih dan penternak memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar negeri serta daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang atau kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

“Walaupun penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia tetapi memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit,” katanya.

Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau dari Thailand, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Jabatan Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pula akan mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau dari Thailand, katanya.

Pada 2 Jun lepas, Pengarah Maqis Kedah P. Lily Rosalind dilaporkan berkata pihaknya telah mengesan penyakit LSD pada 42 ekor lembu yang diimport dari Thailand di stesen kuarantin dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, kesemua lembu itu adalah sebahagian daripada 1,434 ekor lembu yang diimport pada 26 April lepas dan menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tingkat bio-sekuriti ladang elak penyakit kulit pada ternakan

SHAH ALAM, 5 JUN: Penternak lembu dan kerbau negeri ini dinasihat meningkatkan bio-sekuriti ladang masing-masing bagi mencegah penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata penternak juga perlu mengehadkan bilangan pelawat masuk ke ladang serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, lalat dan agas supaya jangkitan tidak berlaku.

“Proses pengasapan (fogging) sama ada menggunakan mesin atau tradisional juga boleh dilakukan. Jika mahu menerima ternakan baharu perlu ada permit memindah dan sijil kesihatan sah.

“Penternak perlu mengasingkan ternakan yang demam atau mempunyai gejala LSD dan segera menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Izham memaklumkan kes pertama LSD dikesan di Gombak pada Rabu lalu selepas lima lembu pedaging menunjukkan tanda jangkitan.

Pada 2 Jun, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan penyakit tersebut pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Jumlah itu sebahagian daripada 1,434 lembu yang diimport pada 26 April lalu, yang diasingkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019 antaranya di Bangladesh, India, China dan terbaharu Thailand.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS: Boleh didakwa jika biar ternakan berkeliaran

SHAH ALAM, 11 JUN: Pemilik haiwan peliharaan berisiko diheret ke mahkamah jika berdegil membiarkan ternakan berkeliaran di jalan raya sehingga membahayakan pengguna.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Rahilah Rahmat berkata tindakan mengikut Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 itu memberi kuasa kepada pihaknya menjalankan pendakwaan.

“MDKS boleh menyita lembu, kambing dan kerbau yang ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas haiwan atas risiko pemiliknya sehingga kos tangkapan, kurungan dan memberi makan ternakan dibayar.

“Penjaga boleh menuntut kembali lembu, kambing dan kerbau selepas bayaran jenis kos sitaan serta jagaan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Rahilah berkata pihaknya menangkap dua ekor lembu berkeliaran di Rantau Panjang, Bestari Jaya menerusi operasi bersepadu pemantauan dan penangkapan lembu di kawasan awam pada 4 Jun lalu.

Katanya kompaun dikenakan terhadap pemilik ternakan di Jalan Raja Abdullah, Jeram atas kesalahan sama.

“Berdasarkan maklumat diterima orang awam, MDKS menjalankan operasi menangkap haiwan berkeliaran di beberapa kawasan mempunyai masalah ini,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Percepat projek penempatan lembu terbiar demi keselamatan penduduk

SHAH ALAM, 7 JAN: Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis menggesa projek penempatan lembu terbiar di Olak Lempit, Kuala Langat dipercepatkan bagi mengatasi isu haiwan itu berkeliaran dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata Kerajaan Negeri sedang membina penempatan khas haiwan itu dijadual siap tahun lalu tetapi beliau diberitahu penyerahan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya dibuat Mac ini.

“Hal itu kerana kerja pendawaian masih sedang siapkan. Diharap perkara ini diselesaikan segera. Pemilik lembu rayau ini juga harus bertanggungjawab dan bekerjasama untuk kebaikan bersama.

“Jika projek itu siap sepenuhnya, penternak juga perlu menurut arahan memindahkan haiwan mereka ke Olak Lempit tanpa ingkar demi kebaikan bersama,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata di kawasan Bandar Botanik, haiwan berkenaan masih bebas berkeliaran kerana dilepaskan penternak yang tidak bertanggungjawab.

“Perkara berkenaan dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri lalu bagaimanapun masih menemui jalan buntu. Kita risau selain menggugat keselamatan isu kebersihan turut membimbangkan.

“Penternak ini bukan sahaja membiarkan haiwan mereka berkeliaran tetapi turut menceroboh tanah persendirian dan kerajaan untuk melakukan aktiviti penternakan sejak sekian lama.

“Ini menjadi masalah apabila haiwan ini bebas berkeliaran di kawasan berhampiran sehingga merunsingkan penduduk,” katanya.

Terdahulu, EXCO Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata terdapat 7,000 ekor lembu rayau di Selangor.

Izham berkata, Kerajaan Negeri juga mengkaji mengenakan denda tinggi kepada penternak yang sengaja membiarkan haiwan ternakan berkeliaran.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPS tumbang tiga lembu sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak ketinggalan dalam melaksanakan ibadah korban dengan menumbangkan tiga ekor lembu sempena sambutan Aidiladha, di perkarangan Bangunan Lama MPS, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, program tahunan itu mendapat kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS.

“Program berkonsepkan sukarelawan ini dijalankan secara gotong-royong bermula dari 8.30 pagi hingga 2.30 petang membabitkan 200 kakitangan MPS dan masyarakat sekitar bagi aktiviti melapah serta membungkus.

“Sambutan pada tahun ini disambut secara sederahana dan agihan korban disedekahkan kepada Rumah Orang Kurang Upaya Titian Nur Rawang, Orang Asli Bukit Lagong, asnaf serta staf MPS,” katanya kepada SelangorKini.

Turut hadir memeriahkan program terbabit ialah Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad bersama Ahli Majlis dan pengarah jabatan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang 1,180 lembu korban bantu golongan sasaran

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan 1,180 lembu dengan kos keseluruhan RM6.4 juta bagi membantu golongan memerlukan di Selangor, sempena Aidiladha, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah program tahunan anjuran Kerajaan Negeri bagi membantu kumpulan sasaran yang dikenal pasti pengurusan masjid dan surau, di Selangor.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif ini bagi melakukan ibadah korban untuk pihak umat Islam di Selangor yang tidak berkemampuan atau belum pernah melakukannya.

“Pada tahun ini, kita menyumbang hampir 1,200 ekor dengan kos lebih RM6 juta dan mendapat sambutan baik,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Aidiladha peringkat Selangor di Masjid Selayang Baru, Selayang Baru, di sini, hari ini.

KORBAN SELAYANG (5)Beliau berkata, program ibadah korban dijalankan itu dapat mendidik umat Islam khususnya di Selangor untuk menghayati syiar Islam dan menjalin ukhwah dalam kalangan masyarakat.

Sumbangan lembu korban disumbangkan Kerajaan Negeri untuk program tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu 1,100 ekor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia menunjukkan perkembangan baik terhadap program itu dengan pembekalnya juga terdiri daripada usahawan muda, dari seluruh Selangor.

“Tahun ini, sumbangan kita iaitu daripada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan anak syarikat Kerajaan Negeri meningkat kepada 1,180 ekor berbanding 1,100 pada tahun lalu.

“Berat minimum setiap seekor lembu juga meningkat kepada 260 kilogram (kg) daripada 250 kg,tahun lalu,” katanya.

Categories
SELANGOR

PPRNS sambut baik kesediaan Kerajaan Negeri bantu penternak

Oleh: HAFIZAN TAIB

Shah ALAM, 19 NOV: Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor (PPRNS) mengalu-alukan rancangan Kerajaan Negeri menyediakan tapak kepada penternak yang terpaksa berpindah ekoran desakan pembangunan.

Pengerusi PPRNS, Samad Kassim berharap nasib penternak dan kandang-kandang mereka yang dirobohkan kini terbela. Menurutnya, isu itu berlarutan dari zaman pentadbiran BN.

“Kita menyambut baik dan berterima kasih dengan Dato’ Menteri Besar. Kita berharap satu pertemuan antara PPRNS dan Dato’ Menteri Besar serta Exco yang baru (Industri Asas Tani), Zaidy Abdul Talib dapat dibuat dalam tempoh terdekat.

“Semoga masalah dihadapi penternak di negeri ini sejak sekian lama dapat diatasi dalam situasi menang-menang,” katanya.

Lebih 1,300 penternak haiwan ruminan (lembu, kerbau dan kambing) yang dihimpit pembangunan dan masalah tanah terhad di Selangor dengan sebilangan daripada mereka sudah gulung tikar.

Samad menjelaskan kebanyakan penternak terpaksa berpindah ekoran pembangunan di kawasan berhampiran.

“Dalam masa dua minggu ini sahaja, dua kandang penternak dirobohkan di belakang pasar borong di kawasan perindustrian Puchong,” katanya.

Baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri sedia membantu penternak haiwan ruminan di negeri itu dengan penyediaan tapak sesuai seandainya pihak terbabit bersetuju mencari penyelesaian bersama.

“Cuma kita mahu mendapat persefahaman di antara kedua-dua pihak (Kerajan Negeri dan penternak). Sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah dan kita tiada masalah untuk membantu,” katanya.

Categories
SELANGOR

763 lembu diagih ke seluruh negeri sempena Aidil Adha

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sempena Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan menyumbangkan 763 ekor lembu untuk diagihkan ke seluruh negeri.

Exco Pertanian, Sallehin Mukhyi berkata, Majlis Meyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini meluluskan peruntukan RM2.594 juta untuk tujuan itu.

MB Lembu Korban 04Katanya, seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri turut bersetuju melantik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) secara terus sebagai pembekal lembu-lembu korban ini tanpa menggunakan orang tengah.

“Selain masjid, lembu korban ini juga akan disumbangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, EXCO, sekolah tahfiz, sekolah pondok dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Kita juga akan sumbangkan ke masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PPRT di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, PPRT di bawah Majlis Agama Islam Selangor, Orang Asli dan badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat MMKN yang turut disertai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Sallehin berkata kesemua lembu korban akan disumbangkan oleh tujuh anak syarikat kerajaan negeri (GLC).

“Lembu korban akan disumbang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dengan masing masing memberikan sumbangan 96 ekor lembu.

“Sementara itu, Wordwide Holding Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), PKPS, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Yayasan Selangor pula masing-masing 95 ekor lembu,” katanya lagi.

Majlis penyerahan lembu-lembu korban ini kepada pegawai-pegawai daerah akan diadakan pada 18 September ini di perkarangan Masjid Negeri di Shah Alam.

Categories
NASIONAL

Zahid perlu tunjuk komitmen wajar, bukan bermulut celupar

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 30 JUN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dicabar untuk mengulangi semula kenyataannya berhubung insiden penemuan kepala lembu di hadapan rumah wakil rakyat DAP, RSN Rayer, di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan, berkata Zahid sepatutnya menunjukkan komitmen yang sewajarnya sebagai seorang menteri kabinet dan beragama Islam.

Katanya, kenyataan endah tak endah itu juga hanya menunjukkan Zahid yang sebenarnya bermulut celupar.

Zahid-Hamidi“Jika dia berani ulanglah semula di bulan Ramadhan yang mulia ini. Tunjukkan sama ada pemimpin Umno ini benar-benar celupar atau dia juga ada perasaan takut kepada Tuhan.

“Tetapi kalau rasa takut pun, janganlah bulan Ramadhan saja, takutlah pada Tuhan hari-hari,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zahid yang menyifatkan insiden kepala lembu yang ditinggalkan di depan rumah Rayer sebagai balasan ke atas keceluparan mulutnya.

Zahid dipetik sebagai berkata, beliau bersimpati dengan Rayer tetapi itulah harga yang perlu dibayar kerana mulut celupar.

Manivanan Gowin 4aKenyataan Zahid itu bukan sahaja mengundang kemarahan pemimpin parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, tetapi turut ditempelak rakan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker, berkata respon Zahid hanya akan menggalakkan keganasan dan menjadikan undang-undang Malaysia tidak berfungsi.

Sementara itu, GERAKAN pula mendesak Zahid melihat insiden itu secara serius kerana ia bukan perkara main-main kerana membabitkan keselamatan wakil rakyat.

Pada 28 Jun lalu, kepala lembu ditemui di hadapan rumah Rayer dan dipercayai mempunyai kaitan dengan ucapan kontroversinya sebelum ini yang menggelarkan beberapa pemimpin Umno sebagai celaka.

-NFN-

Categories
NASIONAL

FOMCA: Kerajaan perlu cari alternatif elak harga daging lembu naik melampau

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 14 APRIL : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Kerajaan Pusat mencari negara alternatif untuk mengimport daging lembu bagi mengelakkan kekurangan bekalan terutama menjelang musim perayaan.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kekurangan bekalan daging bakal akan menimbulkan masalah sekaligus menyaksikan kenaikan harga ekoran keadaan sedemikian.

daging lembu“Kita berharap bahawa kerajaan dapat mencari langkah untuk menyelesaikan perkara ini dengan berusaha mendapatkan lembu daripada negara lain supaya tidak menimbulkan masalah kepada negara kita khususnya semasa musim perayaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini media tempatan melaporkan negara bakal berdepan krisis kekurangan lembu dan bekalan daging segar bermula Jun dan dijangka kritikal menjelang Oktober.

Ia berikutan bekalan lembu import dari negara pembekal, khususnya Australia semakin terhad selain kenaikan mendadak harga lembu Thailand, sejak awal tahun ini.

Krisis ini dijangka mempengaruhi harga lembu hidup bagi kegunaan umat Islam menjelang perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

FOMCAMengulas mengenai kenaikan harga yang akan berlaku sekiranya kekurangan bekalan dading Mohd Yusof menjelaskan, kecenderungan tersebut berlaku kerana peniaga juga bergantung kepada jumlah bekalan daging import yang masuk ke negara ini.

“Mereka (peniaga) tidak ada pilihan. Kalau mereka mendapat harga tinggi maka mereka juga terpaksa menjualnya pada harga tinggi.

“Apa yang kita harapkan adalah mungkin usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran lembu tempatan walaupun daripada segi baka bukanlah yang terbaik (seperti negara luar) tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan negara pada musim perayaan,” tambahnya lagi.

EZY