Categories
AGAMA SELANGOR

MAIS gesa NGO-i sedia depani cabaran dakwah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggesa Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran berdakwah kepada mereka yang bukan beragama Islam, mahupun beragama Islam.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, NGO-i juga harus lebih konsisten dan fokus terhadap sesuatu isu bagi memastikan agenda membantu golongan sasaran keluar daripada kepompong masalah dapat dicapai secara komprehensif.

Katanya, isu membabitkan akidah dan sosial masyarakat Islam pada masa kini tidak boleh dipandang enteng, malah semua pihak bertanggunjawab mengekang konflik berkenaan.

“Misalnya, isu ajaran sesat, kalimah Allah, anak luar nikah (bapa biologi) dan tuntutan ‘Sistem In Islam’ perlu dititikberatkan.

“Selain itu, hubungan kerjasama dengan agensi awam dan swasta perlu dijalinkan dalam setiap pelaksanaan program dakwah bagi mendepani ancaman sedia ada.

“Ia termasuk ancaman pemikiran Liberalisme, Pluralisme, Ekstremisme, Atheist dan Agnostik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan NGO-i MAIS Negeri Selangor 2018, di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohammed Khusrin turut mengingatkan anggota NGO-i MAIS supaya bersatu dalam setiap tindakan yang diambil bagi menjamin keutuhan silaturrahim semua pihak.

“Dalam mendepani isu dan cabaran masa kini, pendekatan nilai kesatuan amat penting untuk memastikan tindakan dapat dilaksana secara bersepadu,” katanya.

Categories
SELANGOR

MAIS – NGOi kolaborasi martabat Islam, perkasa umat

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berharap Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) dapat memainkan peranan selari dengan matlamat bagi memartabatkan Islam dan umat Islam di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan NGO-i, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata usaha itu penting terutama dalam keadaan masa kini banyak isu berkaitan Islam dibangkit pelbagai pihak.

Datuk Mohd Shukri Dahlan“Tentunya NGO-i sebagai rakan kongsi bagi umat Islam di Selangor dapat bersama memainkan peranan membantu MAIS menangani masalah di kalangan umat Islam dan juga perkara mencabar khususnya Islam di negeri ini.

“Di sebalik bantuan kita salurkan, diharap mereka akan bangkit bukan sekadar membangunkan umat Islam tetapi bersama memberikan memberikan pandangan membina dalam isu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sumbangan dana kepada 75 NGO-i di sini, hari ini.

MAIS NGOiBeliau berkata, bantuan RM1.03 juta diagihkan kepada NGO-i bagi fasa kedua dengan jumlah keseluruhan RM1.58 juta bagi tahun lalu. Ia sekaligus mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu kira-kira RM960,000.

Katanya, ia berikutan jumlah masyarakat Islam semakin bertambah dan kemudahan pembayaran zakat di Selangor.

“Peruntukan ini adalah wang zakat Selangor untuk membantu pertubuhan Islam supaya mereka dapat melaksanakan program selari dengan matlamat penubuhan NGO-i berkaitan.

“Kita harap ia digunakan sebaik mungkin dan tiada sama sekali digunakan bagi tujuan sebaliknya,” katanya.

-nR-