Categories
AGENDA NASIONAL

Baja subsidi: Ketirisan bukan berpunca daripada NAFAS

GURUN, 4 OGOS: Isu ketirisan dan penyelewengan dalam agihan baja subsidi kepada petani, bukan berpunca di peringkat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), sebaliknya ia sering dikesan di peringkat lebih bawah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada segi jalur pengagihan baja, ia jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab NAFAS selesai, selepas proses pengedaran dibuat kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Daripada PPK, agihan (baja) dilakukan kepada petani… Di sana penguatkuasa kita kesan ada kes (ketirisan baja) tapi tidak mencemaskan, tapi ia wujud.

“Penguatkuasa (kementerian) temui beberapa kes jualan baja subsidi kepada pihak tertentu, yang kemudiannya buat pembungkusan semula (baja),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini, hari ini.

Katanya, NAFAS juga merupakan pertubuhan di peringkat kebangsaan yang mempunyai struktur di peringkat negeri dan kawasan, justeru ia mempunyai kekuatan jaringan untuk memastikan keberkesanan pengagihan baja di peringkatnya.

“Jadi munasabah tiada penglibatan NAFAS (dalam isu ketirisan pengagihan baja),” kata Saifuddin yang diiringi Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pada lawatan itu.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MNFSB, Wan Kharizal Wan Khazim dan Pengurus Besar NAFAS, Ahmad Shaari.

Dalam pada itu katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti mengilang dan memborong baja di bawah Akta Bekalan 1961, pihaknya mengingatkan petani yang layak menerima baja subsidi, agar menggunakan kemudahan disediakan kerajaan itu sebaiknya.

“Daripada segi penguatkuasaan, walaupun isu ketirisan baja tidak berada pada tahap yang terlalu mengancam, namun kita cuba bendung di peringkat awal, kerana program ini bagi manfaat besar kepada golongan petani.

“Petani yang layak terima subsidi baja ini, sebaiknya manfaatkan untuk tanaman padi supaya hasil mereka lebih baik dan meningkat sehingga enam tujuh tan (sehektar),” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Nafas sudah kemuka pelan perniagaan kepada MOA

JOHOR BAHRU, 27 MEI: Kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah mengemukakan pelan perniagaannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, pelan tersebut meliputi empat bidang iaitu padi, ternakan, agro makanan dan perikanan.

“Saya telah melihatnya dan mengkajinya, dan saya beri keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan Nafas yang baharu, untuk mereka membuat pelbagai inisiatif.

“Kementerian akan membantu dari aspek kepakaran seperti melibatkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Kasih Peladang Parlimen Pulai, ketika diminta mengulas sejauh mana peranan Nafas ketika ini.

Menurutnya, pelan perniagaan itu juga akan dihadam dan direalisasikan dalam beberapa insiatif dan strategi, yang sekali gus dapat meningkatkan sektor makanan negara pada masa akan datang.

Namun menurutnya apa yang penting, Nafas yang baru dipulihkan dengan pembentukan kepimpinan baharu itu, dapat menjadi ‘payung’ kepada hampir 900,000 peladang di seluruh negara.

Katanya proses penstrukturan kembali pertubuhan itu sedang berjalan, sejak Nafas bebas daripada penggantungan, 15 Januari lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga dua nelayan, yang ditemukan meninggal dunia selepas hilang di perairan Pulau Pisang dekat Pontian, dan kementerian akan meneliti bantuan kepada keluarga kedua-dua mangsa.

Khamis lepas, Mohd Yusni Mohd Yusof, 43, dan sepupunya Mohd Khair Ismail, 38, dilaporkan hilang selepas menjaring ikan di perairan Pulau Pisang.

Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya menemukan mayat kedua-dua mereka terapung di kedudukan kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat dan kira-kira 1 batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut, dekat Pontian, pagi tadi. – BERNAMA