Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perubahan monsun bawa risiko banjir di Selangor

SHAH ALAM, 17 NOV: Penduduk negeri ini dinasihat bersedia terhadap insiden banjir kilat dan tanah runtuh sepanjang tempoh Monsun Timur Laut antara bulan ini hingga Mac 2022.

Unit Pengurusan Bencana Negeri turut mengingatkan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri mengarahkan semua pihak terlibat membuat persediaan awal bagi menghadapi banjir, banjir kilat, tanah runtuh, ribut dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut tinjauan jangka panjang taburan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Selangor) membabitkan daerah di negeri ini.

Purata hujan bagi November antara 250mm–370mm, Disember 2021 (200mm–300mm), Januari 2022 (150mm–230mm), Februari 2022 (140mm–210mm) dan Mac 2022 (200mm–300mm).

Selain Selangor, hujan lebat turut dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai bulan ini hingga awal Januari 2022, manakala Sarawak dan Sabah awal Januari dan Februari 2022.

Berikut kawasan berisiko banjir mengikut daerah (Selangor):

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Terowong SMART siap siaga hadapi perubahan monsun

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pihak terowong Lebuhraya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) melakukan pemeriksaan dan pemantauan yang menyeluruh terhadap pintu kawalan banjir, pintu kawalan jalan raya dan semua pintu kedap air dalam bersiap siaga menghadapi perubahan angin monsun yang menyebabkan hujan lebat berlaku tanpa dijangka.

Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya SMART Mohd Noor Mohd Ali berkata pemeriksaan itu dilakukan pada 20 Okt lepas semasa Ujian Bulanan Terowong SMART.

“Ia bertujuan bagi memastikan sistem banjir pada terowong berada dalam keadaan yang baik dan mengikut keperluan yang ditetapkan meliputi pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap sistem pam terowong SMART secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan SMART sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi perubahan angin monsun itu dan ujian bulanan serta pemeriksaan sistem terowong secara menyeluruh adalah bertujuan menguji tahap kecekapan anggotanya selain memastikan aset dalam keadaan baik.

Mohd Noor berkata peranan utama SMART adalah untuk mengurangkan masalah banjir di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur terutamanya di hab perniagaan utama di kawasan berhampiran pertemuan Sungai Klang dan Sungai Ampang.

“SMART dibina dengan tujuan melencongkan air berlebihan dari hulu Sungai Ampang dan Sungai Klang sebelum ia menyebabkan berlakunya banjir di sekitar pusat bandar di Jalan Tun Perak, Jalan Melaka, Leboh Ampang, Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

“SMART juga berkomunikasi secara konsisten dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan sungai di sekitar Lembah Klang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Orang awam dinasihat peka, buat persediaan awal hadapi banjir

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan penduduk yang berada di kawasan rendah, menjadi ‘hot spot’ banjir serta berhampiran sungai agar sentiasa peka dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan monsun sehingga awal November ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali berkata berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), rantau negara ini akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah bagi kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam masa singkat.

“Hujan lebat ekstrem sebegini boleh menyebabkan banjir kerana sungai tidak dapat menampung kapasiti sebegitu dalam tempoh singkat dan akan melimpahi tebing, seterusnya menjejaskan kawasan penempatan rendah terutamanya.

“Orang ramai juga diingatkan tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang, lalu memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan banjir,” katanya dalam kenyataan semalam.

Nor Hisham berkata JPS mengambil inisiatif melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), Pelan Induk Tebatan Banjir serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai persediaan menghadapi banjir.

Selain itu, pihaknya juga sentiasa melaksanakan penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur JPS secara berkala.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan dan amaran banjir, status aras air sungai dan kelebatan hujan di seluruh Malaysia di laman web Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my dan menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir.

– BERNAMA