Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pentadbiran Selangor stabil, jangan terikut rentak politik tempat lain

SHAH ALAM, 31 JAN: Pentadbiran Kerajaan Selangor kekal stabil di sebalik ketidaktentuan hala tuju politik negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah pentadbiran negeri ini oleh gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu membawa kebaikan kepada semua.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2022 hari ini, beliau turut menjelaskan situasi politik di tempat lain tidak seharusnya menjadi ikutan.

“Kita harus sedar dan tidak terikut-ikut situasi di tempat dan kawasan lain. Selangor adalah sebuah negeri yang pelbagai, penuh dengan keunikan dan kerencamannya, sebuah ‘melting pot’ negara Malaysia,” katanya.

Amirudin berkata Kerajaan Selangor sentiasa menjaga dan memelihara kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Kepentingan semua terutamanya rakyat dan komuniti yang amat memerlukan merupakan dorongan kepada pentadbiran ini untuk meneruskan tekad supaya Selangor Bangkit dan kita Maju Bersama,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Tahun Baharu Cina disambut penuh tradisi, beri kegembiraan kepada keluarga

SHAH ALAM, 31 JAN: Peluang mengunjungi ibu bapa dan keluarga di rumah memberi kegembiraan kepada masyarakat Tionghoa sempena Tahun Baharu Cina kali ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin sambutan kali ini meriah selepas tidak berpeluang meraikan secara tradisional tahun lalu susulan pandemik Covid-19.

“Saya pasti sambutan kali ini akan penuh meriah selepas situasi tahun lalu yang tidak memberi ruang untuk Tahun Baru Cina disambut dengan penuh tradisional memandangkan situasi pandemik Covid-19 pada ketika itu.

“Walaupun terdapat beberapa tatacara operasi piawai (SOP) yang masih perlu kita tepati pada ketika ini, namun ruang mengunjung ke rumah ibu bapa serta keluarga sudah pasti membawa kegembiraan kepada komuniti Cina sempena sambutan tahun baharu ini,” katanya.

Berikut perutusan Amirudin sempena Tahun Baharu Cina 2022:

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2021 kepada seluruh komuniti Tionghoa khususnya di Selangor serta seluruh negara.

Saya pasti sambutan kali ini akan penuh meriah selepas situasi tahun lalu yang tidak memberi ruang untuk Tahun Baru Cina disambut dengan penuh tradisional memandangkan situasi pandemik COVID-19 pada ketika itu.

Walaupun terdapat beberapa Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang masih perlu kita tepati pada ketika ini, namun ruang mengunjung ke rumah ibu bapa serta keluarga sudah pasti membawa kegembiraan kepada komuniti Cina sempena sambutan tahun baharu ini.

Ini kerana aspek yang sentiasa diketengahkan pada setiap sambutan Tahun Baharu adalah keluarga dan kepentingan mentaati ibu bapa, salah satu elemen terpenting dalam ajaran Confucius.

Menurut astrologi Cina, terdapat 12 haiwan yang menggambarkan tanda-tanda Zodiak Cina. Tahun 2022 melihat Harimau Air kembali setelah 60 tahun berlalu. Ini disebabkan setiap haiwan dikatakan mempunyai 5 unsur menurut fahaman astrologi Cina, iaitu kayu, api, tanah, logam, dan air.

Harimau Air tahun ini menggambarkan sifat kecekalan dan kekuatan yang berlandaskan tindakan khususnya keberanian melakukan perubahan serta menjauhi perkara-perkara buruk.

Sifat-sifat ini penting untuk kita hayati dan contohi lebih-lebih lagi selepas menghadapi dwi-krisis pandemik Covid-19 serta musibah banjir yang melanda negeri Selangor pada akhir tahun lalu.

Alhamdulillah sehingga akhir bulan Januari, Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 berjaya diberikan kepada 53,908 keluarga yang terkesan dengan peruntukan RM54.038 juta termasuk bantuan kepada keluarga yang kehilangan ahli tersayang akibat banjir.

Usaha-usaha pembersihan terutamanya di kawasan yang paling terkesan banjir telah siap sepenuhnya dan kini kita memasuki fasa pemulihan infrastruktur termasuk jalan-jalan negeri, infrastruktur komunikasi serta saliran dan rumah-rumah yang hanyut akibat banjir.

Harimau (虎) melambangkan keberanian, daya saing dan keyakinan diri serta dianggap Raja Rimba. Kerajaan Negeri turut mempunyai aspirasi yang serupa untuk Belanjawan Tahun ini. Ini diterjemahkan dalam penerokaan lebih berani dalam agenda digitalisasi dengan penubuhan Selangor Digital School serta peruntukan yang signifikan untuk E-Sukan (RM1.2 juta) selain penerusan Geran Padanan Digital SIDEC yang telah memberi lonjakan yang banyak kepada komuniti usahawan digital.

Golongan perniagaan dan industri dijangka turut mendapat limpahan manfaat Belanjawan 2022 kelak hasil daripada peruntukan awalan RM5 juta untuk Pembangunan Kompleks Perumahan Pekerja Selangor di atas 145 ekar tanah yang telah dikenalpasti di seluruh negeri bagi menepati Akta 446 yang mampu menjanjikan keselesaan yang lebih baik untuk para pekerja.

Iltizam yang sama dapat dirasai dengan sejumlah RM65 juta diperuntukkan untuk Kesihatan Awam dan RM27.5 juta untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang telah ditambahbaik, serta RM1 juta untuk Kehidupan Berdikari (Independent Living Centre) yang mampu melegakan banyak pihak.

Dalam segala ketidaktentuan termasuk hala tuju politik negara yang kian hari seolah-olah tidak memajukan negara, pentadbiran di Selangor yang kukuh, stabil dan mempunyai idea serta visi yang realistik diharapkan dapat memberi contoh kepada rakyat bahawa kaedah pentadbiran di Selangor oleh gabungan Pakatan Harapan mampu membawa kebaikan untuk semua.

Kita harus sedar dan tidak terikut-ikut situasi di tempat dan kawasan lain. Selangor adalah sebuah negeri yang pelbagai, penuh dengan keunikan dan kerencamannya, sebuah ‘melting pot’ negara Malaysia.

Yang dijaga dan dipelihara bukan satu komuniti atau segelintir pihak sahaja. Kepentingan semua terutamanya rakyat dan komuniti yang amat memerlukan merupakan dorongan kepada pentadbiran ini untuk meneruskan tekad supaya Selangor Bangkit dan kita Maju Bersama.

Pada hari pertama Tahun Baru Cina iaitu 1 Februari, Kerajaan Negeri akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina secara maya melalui platform digital bermula jam 9 malam. Saya menjemput anda semua untuk sama-sama menyertai sambutan ini selepas juadah bersama keluarga masing-masing.

Saya mengharapkan yang terbaik untuk semua, agar dalam keadaan wabak yang masih menghasilkan varian baharu agar kita terus cekal, tidak putus asa dan terus bekerja bagi meneruskan kehidupan kita. Dengan doa dan harapan tersebut, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua.

_Xin Nian Kuai Le,_
_Yi Ben Wan Li,_
_Zhu Bao Ping An._

_Gong Xi Fa Cai_ kepada anda semua.