Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga bekas pesakit Covid-19 di Terengganu sertai kajian rawatan

KUALA NERUS, 24 DIS: Tiga bekas pesakit Covid-19 di Terengganu sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai program kajian rawatan Covid-19 dan seorang daripadanya sudah menderma plasma darah untuk tujuan itu, kata Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr Mohd Muhaimin Kambali.

“Setakat ini, kerjasama daripada bekas pesakit Covid-19 yang sanggup menderma plasma itu adalah memuaskan. Namun, tidak semua layak untuk menderma plasma ini kerana perlu memenuhi kriteria yang sesuai termasuk kandungan antibodi dalam darah dan perlu memenuhi kelayakan asas untuk menderma darah,” kata Dr Mohd Muhaimin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program derma darah Raia Hotel dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu dan Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohd Muhaimin berkata trend menderma darah di Terengganu menunjukkan penurunan sejak awal bulan ini dan ia dikhuatiri akan menyebabkan stok darah terus merosot.

Beliau berkata kebiasaannya mereka memperoleh purata antara 300 hingga 400 beg darah setiap minggu namun berkurangan kepada 150 beg kebelakangan itu.

“Tambahan pula ramai penuntut Intitusi Pengajian Tinggi Awam tidak berada di kampus ketika ini, mereka juga adalah antara penyumbang terbesar stok darah HSNZ.

“Status bekalan darah ketika ini masih mencukupi dan kami berharap lebih banyak program sebegini akan dilakukan dalam masa terdekat untuk menampung penggunaan purata darah sebanyak 1,500 beg setiap bulan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata kesibukan dalam mengurus banjir di negeri itu bukanlah halangan untuk anggotanya menderma darah hari ini.

“Program derma darah APM Terengganu dijalankan sebanyak empat kali dalam setahun. Ini juga adalah sebahagian tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat khususnya pesakit yang memerlukan,” katanya yang menderma darah sebanyak 78 kali setakat ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pesakit Covid-19 digesa mohon segera insentif RM1,000

SHAH ALAM, 22 JULAI: Bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 yang berasal dari Selangor digesa membuat permohonan bagi mendapat bantuan khas RM1,000.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata insentif Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua itu menerima 349 permohonan dengan 195 individu mendapat manfaat setakat ini.

“Jumlah permohonan agak sedikit kerana Kerajaan Negeri menghadapi kekangan untuk mendapat data pesakit yang tertakluk dalam akta perlindungan peribadi.

“Justeru, kami berharap bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 yang sudah meninggal dunia membuat permohonan segera,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Dr Siti Mariah berkata bantuan khusus untuk tahun ini boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com

“Hanya warganegara yang bermaustautin di Selangor lebih lima tahun dan disahkan positif wabak oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar sahaja layak memohon,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.8 juta kepada mangsa Covid-19 melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

12 lagi dijangkiti Covid-19 hari ini

PUTRAJAYA, 10 MAC: Sebanyak 12 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini meningkat kepada 129 kes.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kes-kes positif itu adalah dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), kontak rapat dan mereka yang terlibat dengan misi bantuan kemanusiaan.

“Manakala seorang, iaitu kes ke-87 telah pulih dan dibenar keluar hospital.

“Ini menjadikan setakat ini seramai 25 orang telah pulih sepenuhnya ,” menurut kenyataan itu.

Menurut PMO, kerajaan Malaysia sentiasa dalam keadaan berjaga dan mempunyai kaedah-kaedah untuk menangani situasi itu sekiranya kejadian Covid-19 di negara ini menjadi lebih serius.

“Kerajaan Malaysia akan terus mempertingkatkan kapasiti sedia ada di pelbagai kementerian dan agensi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan Covid-19 menjadi lebih meruncing.

“Ini termasuk meningkatkan aspek sumber manusia, kemudahan makmal, klinik kesihatan dan hospital bagi merawat kes Covid-19,” katanya.

– BERNAMA