Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan bola sepak digesa peka isu bayaran gaji

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Bantuan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah US$456,214.48 (kira-kira RM1.88 juta) kepada pemain tempatan kurang bernasib baik perlu dilihat secara serius bagi mengatasi masalah pengurusan pasukan dan kelab di negara ini.

Walaupun ia perkembangan menggembirakan, namun Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail menyifatkan perkara itu menandakan masih terdapat tugas besar perlu dilaksanakan pasukan dalam meningkatkan kualiti pengurusan.

Beliau berkata ia juga menjadi isyarat kepada setiap pihak supaya lebih peka terhadap isu hak dan kebajikan pemain khususnya bayaran gaji, selain usaha lebih giat perlu dibuat dari sudut pemerkasaan tadbir urus pasukan, sistem pelesenan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Ia bagi memastikan ekosistem bola sepak Malaysia berada dalam keadaan stabil sekali gus memastikan kelestarian yang berpanjangan buat mereka terlibat secara aktif dalam arena bola sepak negara.

“…dan tanggungjawab ini harus didukung semua pemegang taruh bola sepak negara secara kolektif, bukan disandarkan kepada pihak tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan seramai 147 pemain tempatan daripada lima pasukan di negara ini yang ‘gulung tikar’ akan menerima bantuan antara US$1,227.67 (kira-kira RM5,000) hingga US$9,227.67 (kira-kira RM38,000) selepas permohonan mereka diluluskan FIFA.

Lima pasukan tersebut adalah Terengganu City FC, Perlis, Marcerra United FC, Kuantan FA serta Hanelang FC dan kesemua pasukan itu kini sudah ditutup.

Sementara itu, Izham berkata sebanyak 139 daripada keseluruhan 147 permohonan itu dibuat menerusi PFAM dan mengakui dana tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban sedia ada pemain meskipun bantuan diterima bukanlah merupakan jumlah penuh.

Beliau berkata usaha untuk menuntut baki bayaran akan terus dibuat dengan PFAM sentiasa berusaha menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi tujuan tersebut.

“Bagi pihak yang menjadi punca kepada permasalahan ini, PFAM benar-benar menyeru dan menggesa untuk tampil bersemuka dengan pemain dan seterusnya benar-benar mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini,” kata Izham.

Bantuan dana daripada FIFA itu adalah menerusi program ‘FIFA Fund for Football Players’ (FIFA FFP) yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FAM komited atasi masalah pemain bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Isu jadual bola sepak yang tidak menentu dan masalah tunggakan gaji adalah antara perkara dibincangkan dalam perjumpaan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu dan MFL, selaku pentadbir Liga Malaysia, komited dalam mengukuhkan kerjasama dengan PFAM bagi mengatasi beberapa masalah yang membelenggu arena bola sepak di negara ini, terutama melibatkan pemain tempatan.

“Lantaran itu, kerjasama penting untuk kita menambah baik gerak kerja kedua-dua organisasi demi memelihara kepentingan pemain serta memperkasakan mutu bola sepak negara.

“Kami juga berbincang dan memberi cadangan untuk mengukuhkan cara serta pemahaman pengurusan penswastaan kelab kerana ia penting untuk pembangunan pemain serta bidang bola sepak secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM selepas perjumpaan tersebut yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Dalam pada itu, Hamidin turut menekankan kepentingan pengurusan pasukan dan pemain untuk memberi sokongan antara satu sama lain dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

“Dalam situasi ini, pemain khususnya perlu faham terutama membabitkan isu soal kontrak dan gaji.

“Secara keseluruhan, pasukan dan pemain pasti ada luahan dan tanggapan masing-masing, maka kerjasama dan persefahaman antara mereka penting demi menyelesaikan sesuatu kes dan kelangsungan industri bola sepak negara,” katanya.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan.

PFAM diwakili Presidennya, Safee Sali, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail bersama ahli exconya yang juga bekas pemain kebangsaan Razman Roslan, Shahrom Kalam dan S Subramaniam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain profesional tempatan sedia harungi norma baharu bola sepak

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) percaya pemain profesional tempatan bersedia menerima norma baharu dalam saingan bola sepak di negara ini, termasuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

PFAM dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan kerajaan memberi lampu hijau untuk menjalani latihan di padang terbuka dalam tempoh terdekat merupakan tonik besar buat keseluruhan komuniti sukan bola sepak tanah air terutama pemain profesional.

“Sudah semestinya, sebagai rakyat Malaysia, kita masih berada dalam ‘kerisauan’ dan ‘ketakutan’ memandangkan kita masih belum memenangi ‘perang pandemik’ ini secara mutlak.

“Namun begitu, PFAM percaya usaha keras yang digerakdayakan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dalam merangka SOP akan senantiasa memastikan kesemua pemegang taruh bola sepak, terutamanya para pemain dan pegawai pasukan, dalam keadaan yang selamat dan terhindar daripada segala ancaman jangkitan,” jelas PFAM.

Dalam pada itu, PFAM percaya keputusan kerajaan membenarkan saingan Liga Malaysia diteruskan pada September ini bakal mengurangkan kerugian komersial yang ditanggung pasukan terlibat sejak saingan liga ditangguhkan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican hari ini memaklumkan pihaknya memberi lampu hijau kepada skuad kebangsaan, pasukan negeri atau kelab di bawah MFL serta akademi bola sepak yang berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan badan mengikut SOP Am Individu dan SOP Pengurusan.

-BERNAMA