Categories
AGENDA SUKANKINI

Kedah julang Piala FA 2019 tewaskan Perak 1-0

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Jaringan pemain muda meningkat naik, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 menjulang Kedah muncul juara Piala FA 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan di hadapan 83,520 penyokong di stadium kebanggaan rakyat Malaysia itu, sekali gus meranapkan impian skuad ‘The Bos Gaurus’ untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir mendakapnya pada 2004.

Kejayaan skuad kendalian ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak itu juga menyaksikan Kedah berjaya menyamai rekod kejuaraan lima kali Selangor dalam saingan Piala FA, selepas skuad Lang Merah itu turut meraih gelaran pada 1996, 2007, 2008 dan 2017.

Aksi final edisi ke-30 itu, menyaksikan pertembungan sengit dua gergasi dari Utara dengan kedua-dua pasukan menampilkan permainan berhati-hati dalam memburu gol sehingga perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan selepas aksi 90 minit masa sebenar berakhir dengan keputusan tanpa jaringan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiket Final Piala FA di Shopee bermula esok

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Penyokong pasukan Kedah dan Perak boleh mendapatkan tiket final Piala FA 2019 yang akan berlangsung pada 27 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, secara dalam talian di Shopee bermula esok.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Shopee menerusi kenyataan bersama berkata, pengguna baharu platform itu juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak RM8 dengan memasukkan kod SHMFL1ST ketika pembelian.

“Dengan hampir 10,000 tiket dijual pada final Shopee Piala FA tahun lalu, MFL memiliki perancangan untuk mencapai pertumbuhan 50 peratus dalam jualan tiket dalam talian. Pada 2018, Shopee menjual lebih 30,000 tiket liga dan menjual 3,000 tiket Piala Malaysia dalam masa 1.5 minit.

“Susulan jualan tiket yang menggalakkan oleh Shopee pada 2018 dan 2019, ini membuktikan bahawa kadar penggunaan pasaran dalam talian semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan semakin banyak orang membeli-belah dalam talian.

“Matlamat MFL dan Shopee adalah untuk menyediakan pengalaman membeli yang lancar kepada peminat dan memudahkan mereka untuk menyokong pasukan kegemaran mereka,” menurut kenyataan itu.

Juara empat kali Kedah mara ke final selepas mengetepikan Felda United berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 3-3, manakala juara dua kali, Perak mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas juara bertahan, Pahang.

Sebanyak 80,000 keping tiket termasuk 2,000 untuk kanak-kanak dengan harga RM50 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, disediakan untuk aksi final tersebut.

Skuad Lang Merah dan skuad Seladang, masing-masing diperuntukkan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket untuk kanak-kanak, manakala selebihnya dijual secara dalam talian.

– BERNAMA