Categories
SELANGOR

MIHAS 2019: RMS berkenan rasmikan Selangor Pavilion

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan berangkat merasmikan Selangor Pavilion di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2019).

Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim dan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Baginda selepas itu bersama-sama memotong reben diikuti menandatangani plak pembukaan sebagai simbolik perasmian di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sempena pembukaan Selangor Pavilion dengan tema ‘Made In Selangor’, turut berlangsung tiga majlis menandatangani perjanjian yang disaksikan Tengku Amir Shah, Amirudin dan Chang Khim.

Selangor Youth Community (SAY) bersama Ruang Kerjasama Ekonomi Malaysia Bahrain (MBECC) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi tujuan kerjasama untuk memasarkan produk halal yang dibangunkan usahawan dari Selangor ke pasaran Bahrain dan negara jiran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidun dan Pengarah Kanan, Dr Mohd Zulikhwan Ayub mewakili SAY manakala MBECC diwakili Pengerusi, Dato’ Ahmad Shahrizan Abd Samad serta Ketua Pegawai Eksekutif, Strategi Asia dan Institut Kepimpinan, Melissa Ong.

Majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) pula membabitkan Invest Selangor Sdn Bhd dengan Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

MOC itu bertujuan memudahkan Invest Selangor membimbing, menyediakan kemudahan khusus dan menjadi fasilitator untuk usahawan dari negeri ini mendapatkan bantuan kewangan berasaskan Islam.

Dato’ Hasan Azhari Idris selaku Ketua Pegawai Eksekutif bersama Chang Kim mewakili Invest Selangor sementara AIBIM diwakili Timbalan Presiden, Mohamed Rafe Mohamed Haneef dan Pengurus, Mazura Mohamed Jamil.

Turut berlangsung, majlis menandatangani memorandun perjanjian (MOA) antara Aspire Flagship Sdn Bhd dengan GAE Resources Sdn Bhd dengan sasaran mewujudkan kerjasama dalam menjalankan aktiviti latihan dan juruaudit Halal menggunakan ‘platform’ dalam talian yang dibangunkan Akademi Halal.

Sebelum mengiringi Tengku Amir Shah melawat ruang pameran, Amirudin dalam ucapannya berharap kerjasama strategik itu akan menjadi pemangkin lebih besar terhadap pembangunan Industri Halal Selangor di masa hadapan.

Selangor mempunyai Pavilion terbesar pada MIHAS 2019 yang akan berakhir Sabtu ini dengan pembabitan pempamer daripada lebih 40 syarikat.

 

 

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

SRA Integrasi Seksyen 19 juara Piala RMS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 NOV: Penyertaan pertama Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 ternyata berbaloi dengan kejayaan menjuarai pertandingan bola sepak bawah 12 tahun Piala Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor edisi ke-30 tajaan Kumpulan Perangsang Selangor.

Kejuaraan itu diraih selepas pasukan itu menundukan pasukan Sekolah Kebangsaan Seksyen 24 dengan jaringan 3-1 pada perlawanan akhir yang dilangsungkan di Padang Kelab SUK di sini, semalam.

Tempat ketiga dan keempat dimenangi pasukan Sekolah Subang Bestari 2 dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 20

Gol-gol perlawanan akhir dijaringkan oleh Muhammad Arif Danish Muhamad Jefri pada minit ke-14 dan 49 serta Muhammad Akid Mohd Zamri pada minit ke-37.

Sementara itu, gol saguhati pasukan Sekolah Kebangsaan Seksyen 24 pula dijaringkan oleh Muhammad Afiq Anuar pada minit ke 25.

Kejuaraan SRA Integrasi Seksyen 19 itu menjadi lebih bermakna apabila pemain tengah mereka, Muhammad Akid turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Dia berjaya mencetak 11 jaringan sepanjang kejohanan dan pemain penyerang sekolah sama, Muhammad Arif pula dinobatkan sebagai Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Manakala, penjaga gol Sekolah Kebangsaan Seksyen 20, Muhammad Syazrul Haziq Zainuddin pula menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Anugerah Penyokong Paling Meriah diberikan kepada kumpulan penyokong Sekolah Kebangsaan Seksyen 24.

Sepak mula kejohanan sebagai medan mencungkil bakat baru itu bermula pada 10 Oktober lalu dengan melibatkan 32 pasukan yang terdiri daripada 20 sekolah rendah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah lagi di bawah PPD Petaling Utama.

Kejohanan yang mendapat tajaan Perangsang Selangor sebanyak RM100,000 itu menawarkan hadiah RM4,000 bagi pasukan bergelar juara, RM3,000 naib juara, RM2,000 tempat ke-3 dan RM1,000 untuk tempat ke-4.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari.

=EZY=