Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Penamaan calon bermula 9 pagi

SANDAKAN, 27 APR: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan bermula 9 pagi ini di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua di sini.

Hujan renyai-renyai tidak menghalang kehadiran penyokong parti yang bertanding untuk berkumpul sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Penyokong DAP berkumpul di BDC Light Industrial manakala penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) berhimpun di Bandar Maju, kedua-dua tempat berkenaan berdekatan dengan pusat penamaan calon.

Sementara itu, beberapa laluan menuju ke SMJK Tiong Hua ditutup dan dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal 6 pagi tadi.

Calon-calon mempunyai tempoh sejam sehingga 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi.

Setakat ini, DAP mengumumkan Vivian Wong Shir Yee, 30, anak bongsu penyandang anggota Parlimen Sandakan sebagai calon, manakala PBS mempertaruhkan bekas anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63.

Sementara, calon Bebas disebut-sebut akan bertanding pada PRK itu ialah ahli perniagaan Chia Siew Yung, bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan Sulaiman Samat dan bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Hamzah Abdullah.

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 28 Mac lepas.

Pada 5 April lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Sandakan ditetapkan hari ini, dan hari mengundi pada 11 Mei depan dengan hari pengundian awal pada 7 Mei.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Tanjong Papat dan Elopura – dengan jumlah 40,131 pemilih layak mengundi, termasuk 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Mendiang Wong dipilih sebagai anggota Parlimen Sandakan selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) apabila berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Leong Vui Keong dengan majoriti 1,088 undi.

Pada PRU14, mendiang Wong berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 10,098 undi setelah menewaskan calon BN Datuk Lim Ming Hoo.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR minta bakal calon PRK Sandakan buat semakan awal

KUALA LUMPUR, 22 APR: Semua bakal calon yang berhasrat bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan diminta membuat semakan awal pengisian borang pencalonan mereka sebelum Hari Penamaan Calon Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, semakan awal itu boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Majlis Perbandaran Sandakan atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah.

Menurut beliau, semakan awal itu bertujuan memastikan semua bakal calon mengisi borang itu dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku kesilapan pengisian borang semasa Hari Penamaan Calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Malah, ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.

Bagaimanapun menurut Azhar Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon semasa Hari Penamaan Calon.

Beliau berkata, selain itu, bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, bakal calon diminta membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal serta diminta mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong untuk memasuki Pusat Penamaan Calon pada hari berkenaan.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong susulan kematian Anggota Parlimennya Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, pada 28 Mac lepas.

SPR menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon PRK Sandakan, 7 Mei sebagai hari pengundian awal dan 11 Mei sebagai tarikh mengundi.

SUMBER: BERNAMA