Categories
SELANGOR

PAS Selangor: Pilihan raya tak beri penambaikan sistem penyampaian PBT

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 8 FEB: Pilihan raya kerajaan tempatan dilihat tidak mampu membantu dalam penambahbaikan sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada masyarakat.

Pengerusi PAS Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, hal itu berikutan langkah terbabit hanya melibatkan pemilihan Ahli Majlis sahaja dan tidak meliputi kakitangan PBT.

logo PBT“PAS Selangor bersama pusat kerana fokusnya bukan pemilihan Ahli Majlis tetapi penambahbaikan perkhidmatan.

“Kini, Ahli Majlis dari segi akauntabilitinya memang tinggi dan kita kena pastikan kakitangan PBT serta sistem penyampaiannya diberi penambahbaikan lagi.

“Penyampaian diperbaiki bukan melalui Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tetapi melalui usaha yang lain,” katanya yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Kerajaan Selangor.

Iskandar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penerangan Majlis Perundingan Rakyat Pandan (MPRP) di Dewan Ahli Majlis Pandan Indah, di sini, semalam.

yb iskandar 1Katanya, PBT dan Kerajaan Negeri perlu fokus berkenaan bagaimana meningkatkan keberkesanan terhadap sistem penyampaian agensi itu sendiri.

Terdahulu, DAP menuntut Kerajaan Selangor mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan seperti terkandung dalam manifesto antara parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, perkara itu belum diputuskan Kerajaan Negeri sehingga mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) hari ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pilihan raya PBT kukuh demokrasi bukan kepentingan parti

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 FEB: Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mampu memperkukuhkan sistem demokrasi di Malaysia dan tidak membabitkan kepentingan DAP.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, terdapat banyak tempat di kawasan bandar yang tidak mempunyai suara untuk diwakili di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bagi menyatakan masalah dan pandangan mereka.

Ong Kian Ming 01Katanya, sebagai contoh, pasti terdapat kumpulan yang akan mencalonkan ahli sendiri untuk melawan isu berbangkit seperti Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) jika pilihan raya PBT dilaksanakan di Petaling Jaya.

“Itu bukan memihak kepada parti tertentu tetapi ia ‘grass root movement’ demi membantah projek yang memerlukan permohonan untuk dilanjutkan daripada PBT.

“Memang ada kumpulan yang akan mencalonkan dan berkemungkinan memenangi kerusi ahli majlis di kawasan bandar seperti di Petaling Jaya atau Subang Jaya. Ia tidak mewakili kaum tertentu sebaliknya isu termasuk alam sekitar dan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Forum Masyarakat Majmuk dan Demokrasi di Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, semalam.

jalan sultan mbpjPakar strategi DAP itu juga berkata, pilihan raya PBT berupaya memberi peluang kepada rakyat majmuk untuk menyuarakan pandangan berbeza terhadap sesuatu perkara.

Beliau juga yakin tidak akan berlaku rusuhan kaum seperti yang didakwa kerana rakyat Malaysia kini semakin matang menerima pembaharuan.

“Apabila kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah ditukar kepada Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008, tiada perusuhan kaum berlaku. Saya yakin, rakyat Malaysia matang untuk menghadapi pilihan raya PBT tanpa melibatkan rusuhan serta boleh menuju kepada demokrasi matang,” katanya.

-NFN-