Categories
SELANGOR

Pindaan PCA dibimbangi disalahgunakan

jenayah2 pcaSHAH ALAM 3 OKT : Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara terbuka kepada penyalahgunaan kerajaan Umno-BN seperti yang terjadi kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut NGO, Lawyers For Liberty (LFL) berkata, apa yang dibimbangi pindaan PCA itu adalah individu yang tidak bersalah yang akan ke penjara dan kegagalan dalam melaksanakan keadilan.

“Kenapa undang-udang yang menyekat hak asasi manusia dijadikan pilihan untuk mencegah jenayah ?, seluruh masyarakat perlu terlibat dalam mencegah jenayah,” kata LFL dalam twitternya.

Menurut pengguna Facebook, Radin Muhd Imaduddin dalam responnya berkata, penyalahgunaan akta itu boleh berlaku apabila tafsiran undang-undang itu yang longgar dan subjektif kepada kuasa eksekutif.

Katanya, alasan meluluskan penahanan tanpa bicara bagi membolehkan Polis membanteras jenayah berat adalah ganjil sedangkan terdapat tindakan lain yang boleh digunakan seperti operasi cantas khas Polis.

“Teringat filem “Minority Report”, lakonan Tom Cruise dengan berbeza konteks, tapi hampir serupa matlamatnya,” kata beliau.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim beliau berkata, beliau sentiasa percaya bahawa undang-undang yang adil amat diperlukan untuk mengatur ketertiban hidup manusia.

“Namun saya amat terganggu dengan manusia yang ‘beriman’ dengan undang-undang ciptaan manusia seolah-olah ia sesuatu yang sakral sehinggakan apa yang tersurat dalam Akta dan Peraturan itu wajib diikut buta-buta tanpa budi bicara dan pertimbangan keadilan,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan angkuh serta mengenepikan prinsip keadilan sejagat.

Katanya pindaan PCA melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi manusia.