Categories
SUKANKINI

Piala FAM: PJ Rangers umum tarik diri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Pasukan PJ Rangers secara rasmi mengumum penarikan diri daripada saingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bagi musim 2019.

Perkhabaran itu menyaksikan mereka hanya mampu bertahan lebih tiga tahun dalam kancah liga tempatan, sejak kali pertama menyertai pertandingan itu, pada 2015.

“Dengan berat hatinya kami mengumumkan penarikan diri daripada saingan Piala FAM untuk musim 2019.

“Namun, PJ Rangers akan terus menurunkan pasukan bagi saingan Liga Super Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2019 yang akan dibarisi sebahagian besar pemain AirAsia Allstars,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, penarikan diri pasukan itu dari saingan Piala FAM tidak akan menjejaskan perancangan akar umbi khususnya membabitkan pasukan bawah umur.

“Komitmen kami untuk pembangunan akar umbi tetap kekal untuk musim depan apabila enam skuad (lelaki B-8, lelaki B-19, lelaki B-12, lelaki B-14 dan wanita B-16) akan beraksi dalam Liga Remaja Kuala Lumpur AirAsia,” katanya.

Sebelum ini, PJ Rangers dikenali sebagai Air Asia FC sebelum dijenamakan semula, pada 2016.

Categories
SELANGOR

Air Asia sedia bas percuma di Petaling Jaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 DIS: Kumpulan Air Asia Berhad bakal menyediakan kemudahan perkhidmatan bas percuma kepada warga Petaling Jaya, bermula tahun hadapan.

Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandes berkata, keperluan itu dilaksanakan sebagai rangka promosi pasukan PJ Rangers melalui penjenamaan baru kelab bola sepak itu.

Beliau berkata, ia juga dilaksanakan atas prinsip tanggungjawab sosial syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.

“Kita meneruskan inisiatif baru dengan menawarkan perkhidmatan bas percuma dari Petaling Jaya ke KLIA 2 (Kuala Lumpur International Airport) kepada warga bandar ini.

“Ini dilaksanakan juga bagi memastikan warga Petaling Jaya dapat menggunakan akses perkhidmatan pengangkutan terbaik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Air Asia di Ibu Pejabat MBPJ, semalam.

Kerjasama bagi tempoh lima tahun itu bakal menyaksikan peruntukan RM5 juta disalurkan Air Asia bagi proses penjenamaan PJ Rangers dan program pembangunan setempat membabitkan kedua-dua pihak.

Selain itu, MoU turut mefokuskan kepada kerja-kerja pembaikan dan fasiliti Stadium MBPJ di Kelana Jaya yang diiktiraf sebagai ‘Home Ground’ pasukan bola sepak berkenaan.