Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Ambil iktibar PKPD Sabak Bernam, jangan sambil lewa

SABAK BERNAM, 12 JUN: Penduduk sekitar Sabak Bernam disaran mengambil iktibar daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Mei lalu.

Ahli Dewan Negeri Sabak berkata penduduk tidak boleh bersikap sambil lewa berikutan virus itu menyebabkan tiga kematian di kawasan terbabit.

“Saya melihat ramai penduduk mulai sedar betapa seriusnya kes Covid-19. Jika sebelum ini ada yang ambil sikap sambil lewa untuk membuat ujian saringan tetapi kali ini tidak lagi,” kata Ahmad Mustain Othman.

Beliau bercakap pada sidang media penamatan PKPD Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di Pusat Kawalan Operasi Bencana Sabak Bernam di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berharap orang ramai tidak mengambil kesempatan untuk bergerak bebas selepas PKPD ditamatkan.

“Seluruh negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 28 Jun. Teruskan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), sayangi diri dan orang sekeliling kita,” katanya.

PKPD di tiga taman perumahan di Sabak Bernam sejak 30 Mei akan ditamatkan jam 11.59 malam ini, mengambil kira penurunan kes Covid-19 hasil disiplin penduduk mematuhi SOP.

Seramai 5,235 penduduk menjalani saringan Covid-19 dengan 164 individu disahkan positif.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD tiga taman perumahan di Sabak Bernam tamat malam ini

SABAK BERNAM, 12 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga taman perumahan di Sabak Bernam ditamatkan jam 11.59 malam ini.

PKPD selama 14 hari sejak 30 Mei melibatkan Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata keputusan mengambil kira penurunan kes Covid-19 berikutan penduduk disiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Justeru, setelah membuat penilaian bersama agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara, kita setuju untuk menamatkan PKPD di ketiga-tiga lokasi mulai malam ini,” katanya dalam sidang media di sini.

PKPD dikenakan di ketiga-tiga kawasan terbabit berikutan peningkatan ketara kes Covid-19 dalam tempoh singkat iaitu 113 jangkitan daripada 1,237 saringan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Sabak Bernam: 90 peratus penduduk selesai jalani ujian Covid-19

SHAH ALAM, 5 JUN: Hampir 90 peratus penduduk di tiga taman perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabak Bernam telah menjalani saringan Covid-19, setakat semalam.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata kes sembuh pula meningkat kepada 115 berbanding 112 dicatatkan pada Khamis.

“Manakala, kes aktif juga menyaksikan penurunan daripada 40 kepada 36 kes. Mungkin tempoh PKPD boleh ditamatkan lebih awal namun bergantung kepada keputusan Pejabat Kesihatan Daerah sebagai pihak bertanggungjawab berhubung isu ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Tiga lokasi dikenakan PKPD adalah Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima selama 14 hari bermula 30 Mei sehingga 12 Jun.

PKPD dilaksana ekoran peningkatan ketara kes positif di lokalliti itu dalam tempoh yang singkat iaitu 113 kes daripada 1,237 saringan.

Categories
SELANGOR

PKPD Sabak Bernam: 70 petugas kesihatan dibenar kerja seperti biasa

SABAK BERNAM, 2 JUN: Seramai 70 petugas kesihatan dari tiga taman perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKDP) di sini dibenarkan bekerja seperti biasa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata khidmat mereka adalah satu keperluan dan sekiranya tidak dibenarkan bekerja ia boleh mengganggu operasi hospital dan klinik kesihatan di sekitar Sabak Bernam.

“Mereka ini telah dilindungi vaksin dan sudah pasti jika mempunyai kontak rapat mereka tidak dibenarkan bekerja, namun setakat ini kesemua mereka tiada kontak rapat.

“Mereka sebenarnnya terdedah (Covid-19) bukan sahaja di sini malah lagi terdedah bila berada di hospital. Mereka ada ‘shift’ mungkin dalam satu-satu masa 20 atau 30 orang akan keluar bekerja. Bukan semua ke hospital, ada yang ditugaskan di pusat saringan di sini,” katanya di sini hari ini.

Amirudin berkata pihaknya juga menyediakan bas untuk membawa petugas kesihatan terus ke hospital atau klinik kesihatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini hari ini.

Pada lawatan itu beliau turut mengagihkan 750 bakul makanan dan 1,000 barangan basah yang disediakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kepada penduduk.

Seramai 3,900 penduduk Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima daerah itu dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 30 Mei.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata PKPD melibatkan 876 rumah dihuni kakitangan hospital, pejabat tanah dan institusi pendidikan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Sabak Bernam: 3,900 individu disaring, 152 positif Covid-19

SABAK BERNAM, 2 JUN: Semua 3,900 penduduk dari tiga taman perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini telah menjalani saringan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu 152 didapati positif manakala 150 lagi belum menerima keputusan.

“Hari ini adalah hari keempat PKPD di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di mana penduduk di sini telah lengkap di saring dengan 152 didapati positif termasuk tujuh pada hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengagihkan pek makanan kepada penduduk di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sempena Program Agihan Bakul Makanan pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Turut merekodkan satu kematian dari kluster di sini dan seorang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini hari ini.

Pada lawatan itu beliau turut mengagihkan 750 pek makanan dan 1,000 barangan basah yang disediakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kepada penduduk.

“Terdapat lebih 800 rumah tetapi kita edar kepada 750 rumah sahaja kerana selebihnya mereka tidak berada di rumah ketika PKPD dilaksana.

“Untuk makluman mereka ini telah disaring lebih awal dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) tahu di mana mereka berada. Kita ikuti tempat ini sebelum PKPD dan saringan menyeluruh telah dibuat,” katanya.

PKPD di tiga taman perumahan itu dikenakan selama 14 hari bermula 30 Mei sehingga 12 Jun ini selepas berlaku peningkatan ketara kes positif di lokalliti itu dalam tempoh yang singkat iaitu 113 kes daripada 1,237 saringan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI peruntuk lebih RM80,000 bantu penduduk terlibat PKPD Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) memperuntuk RM87,600 bagi membantu penduduk yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabak Bernam.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menyumbang 376 pek makanan berupa beras, tepung, minyak dan sardin selain 500 pek daripada EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

“Seramai 3,900 daripada 876 rumah menerima manfaat ini. Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka dalam mendepani situasi PKPD ketika ini,” katanya kepada SelangorKini.

Tiga lokasi iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di Sabak Bernam dikenakan PKPD yang berkuat kuasa dua minggu mulai hari ini.

Sehingga semalam, sebanyak 135 kes positif dikesan daripada 2,538 individu yang disaring di tiga taman perumahan tersebut, selain satu kematian membabitkan warga emas berusia 74 tahun.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata kawad duri sepanjang empat kilometer dipasang dan hanya satu laluan dijadikan pintu utama untuk kawalan keselamatan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

3,900 penduduk tiga taman perumahan di Sabak Bernam terlibat PKPD

SABAK BERNAM, 30 MEI: Seramai 3,900 penduduk di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di Sabak Bernam terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata PKPD yang berkuat kuasa selama dua minggu mulai hari ini membabitkan 876 rumah yang dihuni kakitangan hospital, pejabat tanah dan institusi pendidikan.

“Sehingga semalam kes positif Covid-19 adalah sebanyak 135 kes dari 2,538 saringan di ketiga-tiga taman setakat ini. Terdapat satu kematian membabitkan warga emas berusia 74 tahun yang mengalami komplikasi darah tinggi dan kencing manis.

“Berdasarkan bancian Majlis Daerah Sabak Bernam majoriti penduduk adalah Melayu dan terdiri daripada golongan warga emas berusia lingkungan 56 tahun ke atas,” kata Amri Ismail pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam berkata kawad duri sepanjang empat kilometer turut dipasang dan hanya satu laluan dijadikan pintu utama untuk kawalan keselamatan.

Menurutnya, pejabat kesihatan juga menyediakan dua pusat saringan iaitu di Surau Taman Pertama dan Padang Taman Serendah.

“Setakat ini penduduk memberi kerjasama yang baik dan kami yakin proses saringan itu akan selesai mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.