Categories
ADN SELANGOR

ADN mohon tambah bantuan makanan di Hulu Langat

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kerajaan Pusat digesa menambah bantuan makanan kepada penduduk di Sungai Lui, Hulu Langat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua memaklumkan penduduk di kawasan itu mengeluh kerana barangan basah dan kering yang diperoleh ketika ini tidak mencukupi.

“Setakat ini barang yang diberi terlalu asas, malah tidak cukup untuk bertahan selama dua minggu, justeru saya mohon kerajaan mahupun pihak berwajib untuk lebihkan bantuan serta pertimbangkan juga barangan lain seperti lampin dan susu,” kata Edry Faizal Eddy Yusof.

Beliau berkata pihaknya turut menyumbang 200 ekor ayam dan beberapa papan telur setakat ini untuk menampung keperluan penduduk yang terkesan.

Sementara itu, Edry Faizal berkata keadaan di Hulu Langat terkawal selepas penduduk diarah menjalani PKPD bermula 30 Mac lalu.

PKPD dikenakan di kawasan Batu 21 hingga 24, Sungai Lui susulan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengesahkan terdapat 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di situ.

Categories
ADN SELANGOR

PKPD: Penduduk Sungai Lui bakal terima keperluan barang basah

SHAH ALAM, 2 APRIL: Penduduk di Sungai Lui, Hulu Langat yang kini berdepan kekurangan bekalan barang basah bakal menerima bantuan tersebut dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata bantuan itu susulan penduduk di Batu 21 hingga 24, di situ dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 30 Mac lalu.

“Penduduk kini kehabisan bekalan barang basah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya menghantar bahan makanan asas seperti beras, justeru Kerajaan Negeri bantu mereka.

“Penduduk juga boleh memohon barangan diperlukan daripada ketua kampung sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi Selangorkini, hari ini.

Kerajaan menguatkuasakan PKPD di kawasan itu selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di Batu 23.

Susulan itu, semua penduduk serta pelawat tidak dibenarkan keluar rumah, aktiviti perniagaan dihentikan dan laluan keluar masuk ditutup.

Categories
BERITA UTAMA

Bekalan makanan diedar buat penduduk Sungai Lui malam ini – MB

SHAH ALAM, 30 MAC: Bekalan bahan makanan kepada penduduk Sungai Lui, Hulu Langat mula diedar bermula malam ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri turut bersedia menambah bekalan berkenaan sekiranya terdapat sebarang keperluan sepanjang PKPD sehingga 13 April.

“Makluman menyeluruh kepada semua terlibat dengan PKPD ini dilakukan menerusi ‘info on wheel’ Jabatan Penerangan Selangor.

“Informasi dihebahkan menerusi siaraya masjid dan surau di setiap kawasan mengenai perkara perlu dipatuhi sepanjang PKPD serta maklumat yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan luar jangka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amirudin berkata Jabatan Kesihatan Negeri juga perlu segera melakukan saringan Covid-19 kepada penduduk berisiko tinggi di kawasan berkenaan.

Katanya perkara berkenaan diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor kali ketiga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Kerajaan Negeri meneliti beberapa perkembangan terbaru dari semua agensi terlibat termasuk dapatan pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor,” katanya.

Semalam Kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor berkuat kuasa hingga 13 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan PKPD dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 71 kes positif Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.

Categories
SELANGOR

PKPD: Jalan utama hubungkan Jelebu-Hulu Langat ditutup

JELEBU, 30 MAC: Jalan utama menghubungkan daerah Jelebu dengan Hulu Langat, Selangor ditutup hari ini sebagai langkah mengekang penyebaran Covid-19 di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Nurul Huda Musa berkata penutupan itu juga selari dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan kerajaan semalam bagi kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Arahan PKPD dikeluarkan bagi kawasan itu apabila 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di kawasan tersebut.

“Jalan Genting Peres ke Hulu Langat ini laluan utama dari kawasan itu ke Jelebu. Pada mesyuarat Jawatankuasa Bencana pagi tadi dan cadangan daripada Ketua Polis Daerah Jelebu, kita ambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang kemasukan orang luar daerah ke Jelebu bagi elak penularan Covid-19 ke daerah ini.

“Jalan yang ditutup ini berada kira-kira 25 kilometer dari Hulu Langat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD yang berkuat kuasa hari ini sehingga 13 April itu, melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 10 lagi kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 172 kes.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Polis guna dron pantau kawasan PKP Diperketatkan – KPN

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Polis menggerakkan unit dron pasukan itu bagi menjalankan pemantauan di tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata penggunaan dron lebih selamat untuk memantau keadaan keseluruhan kediaman penduduk yang terlibat.

“Ini (penggunaan dron) adalah paling selamat dan kami telah pun terbangkan dron ke sana untuk melihat muka bumi dari atas supaya anggota dapat memahami taburan penduduk di kawasan itu.

“Data ini juga dapat membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Batu 21 Sungai Lui, hari ini.

Jelasnya lagi, penggunaan dron juga dijalankan di dua lokasi di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang lebih awal dikenakan PKPD iaitu bermula tengah malam 27 Mac.

Abdul Hamid berkata, kira-kira 50 anggota polis ditugaskan menjalankan kawalan di dua lokasi sekatan jalan raya di Jalan Sungai Lui iaitu di Batu 21 dan Batu 24 yang menghala keluar ke Semenyih dan Jelebu, Negeri Sembilan.

“Setakat ini persediaan anggota kami di sini berada di tahap yang terbaik. Sebuah dewan serba guna berhampiran akan kita gunakan sebagai pusat menyimpan bekalan makanan dan bilik gerakan polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 13 April, melibatkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah daripada tujuh kampung.

-BERNAMA