Categories
NASIONAL

PLUS sedia hadapi kemeriahan aliran trafik sempena Aidilfitri

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 24 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya pada setiap hari puncak sepanjang musim perayaan pada taahun ini.

Ketua Pegawai Operasi, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 1.7 pengguna pada hari biasa.

“PLUS telah membuat pelbagai persediaan dari segi operasi dan strategi pengagihan trafik dalam usaha membantu pelanggan bergerak dengan selamat dan selesa di samping menjaga mereka sepanjang perjalanan di musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media persediaan PLUS menghadapi pertambahan Trafik dan Kempen Aidilfitri di Dewan Bankuet, Persada PLUS, hari ini.

Menurutnya, PLUS akan menggunakan drone untuk memantau aliran trafik di lokasi tertentu di samping menyediakan kira-kira 5,000 kakitangan bertugas di lebuh raya.

Jumlah itu membabitkan penyediaan 245 pasukan PLUSRonda berbanding 219 pasukan pada hari biasa, menambah 28 peratus kakitangan di Pusat Kawalan Trafik selain menyediakan tambahan kren dan trak tunda.

“PLUS menghentikan kerja menaik taraf di sepanjang lebuh raya dari 31 Mei sehingga 10 Jun.

“Penutupan 73 Lorong Tambah Nilai di Plaza Tol juga dilakukan bermula 30 Mei sehingga 11 Jun bagi mengelakkan kesesakan. Pengguna boleh membuat tambah nilai kad Touch N Go menerusi 67 mesin kiosk layan diri di sepanjang lebuh raya selain di stesen minyak dan kedai serbaneka terpilih,” katanya.

Zakaria berkata, pengguna boleh memuat turun applikasi PLUS App (Official) di Google Play atau Apps Store bagi mendapatkan info lanjut mengenai jadual waktu perjalanan dan melaporkan kejadian kecemasan.

PLUS App (Official) juga membolehkan pengguna mengutip mata ganjaran dan menebus semula bagi mendapatkan hadiah menarik.

Sempena Aidilfitri juga, PLUS menawarkan kopi ‘o’ percuma bermula jam 10 malam di 24 hentian Rehat dan Rawat (R&R) pada 1 hingga 3 Jun ini.

Tidak ketinggalan, tawaran set ‘Value Meals’ di semua R&R dari 1 hingga 3, 8 dan 9 Jun pada harga RM6.90.

Categories
NASIONAL

PLUS sumbang 10 kenderaan penguatkuasa kepada JPJ

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 16 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyerahkan 10 kenderaan jenis Honda CRV kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai usaha meningkatkan keselamatan di lebuh rayanya.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, kerjasama PLUS-JPJ serta agensi penguatkuasaan lain dan inisiatif keselamatan jalan raya yang dilaksanakan oleh PLUS, menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan.

“Penyampaian kenderaan ini akan meningkatkan keselamatan di lebuh raya kami melalui penguatkuasaan secara kerap oleh JPJ. Penyerahan kenderaan kepada JPJ adalah inisiatif untuk membantu pihak berkuasa menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya.

“Sebanyak 14,532 kemalangan dilaporkan pada 2016 dan angka itu menyusut kepada 13,269 pada tahun 2018.

“Kami juga menyediakan 2 buah Stesen JPJ di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil dan Gunung Semanggol untuk membantu JPJ dalam menjalankan program advokasi dan keselamatan jalan raya di lebuh raya.

“Manakala, Stesen Penguatkuasaan JPJ ketiga di R&R Pagoh akan dibuka tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Kenderaan dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta terbabit diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Zamakhshari Hanipah oleh beliau sendiri di Persada PLUS dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Haji Kamarudin Jaffar dan Pengerusi PLUS, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Pada masa sama, beliau berkata, PLUS bakal membiayai pemasangan 11 kamera AWAS tambahan di kawasan berisiko kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

“Kehadiran pihak berkuasa di lebuh raya dapat mengurangkan kesalahan lalu lintas seperti penyalahgunaan lorong kecemasan, pemanduan tidak berhemah dan melebihi had laju,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

PLUS umum lima rakan niaga baharu

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 18 APR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan penambahan lima rakan niaga baharu bagi memantapkan lagi operasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

Rakan niaga baharu itu terdiri daripada jenama produk makanan terkenal iaitu Sushi King, My Laksa, Bon 900 Cafe, Daily Fresh dan Family Mart.

Majlis menandatangani perjanjian bersama itu berlangsung pada Persidangan Rakan Niaga PLUS 2019 dan pelancaran Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) di Pusat Konvensyen Setia Alam melibatkan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail serta wakil syarikat produk makanan.

Majlis pelancaran BPIP disempurnakan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dato’ Sr Aziz Abdullah.

Secara keseluruhan PLUS mempunyai lebih 450 rakan niaga dengan 20 jenama produk makanan terkenal juga telah mula beroperasi di R&R dan hentian.

Ketika ini, lebih daripada 700 gerai makanan dan minum di R&R PLUS yanga menawarkan pelbagai makanan di 24 buah R&R, 46 hentian dan empat restoran jejantas.

Categories
NASIONAL

Persimpangan Bertingkat Simpang Ampat ditutup sementara esok

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 5 APR: Bersempena Le Tour De Langkawi persimpangan Bertingkat Simpang Ampat di Kilometer (km) 217 di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup sementara, esok.

Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini, penutupan itu bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal itu yang akan melalui Jalan Persekutan 1 Alor Gajah-Melaka.

Katanya, kenderaan dari arah Seremban dan Kuala Lumpur yang menghala ke Alor Gajah atau Tampin dinasihatkan supaya keluar melalui Plaza Tol Pedas Linggi.

“Manakala, bagi kenderaan dari selatan (Johor) yang menghala ke Alor Gajah atau Tampin dinasihatkan agar keluar melalui Plaza Tol Ayer Keroh,” katanya.

Pada masa sama, PLUS menasihatkan pemandu supaya merancang perjalanan dan menggunakan aplikasi mudah alih seperti Waze dan Google Maps.

Pemandu juga boleh mengikuti laman Twitter @plustrafik atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000 bagi mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS.

Categories
NASIONAL

PLUS naik taraf R&R tahun ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

DENGKIL, 4 MAC: Demi memenuhi keperluan pelanggan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memulakan projek menaik taraf kawasan rehat dan rawat (R&R) di beberapa tempat, bermula tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, projek itu akan memberi peluang kepada pelanggan menikmati keselesaan bertaraf dunia.

Katanya, syarikat itu akan memberi wajah baharu kepada beberapa R&R supaya tampil lebih moden dan kontemporari.

“Projek naik taraf ini secara total meliputi rekabentuk sekali gus menepati citarasa pelanggan lebuh raya masa kini.

“Bermula dengan R&R Seremban arah selatan dan sasarannya lima buah R&R dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Pembangunan Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS di R&R Dengkil arah selatan, di sini.

Majlis pelancaran program disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan projek naik taraf itu, usahawan di R&R dapat meningkatkan lagi hasil perniagaan sekali gus mempertingkat mutu kehidupan mereka.

Categories
NASIONAL

PLUS peruntuk RM5 juta perkasa usahawan wanita

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

DENGKIL, 4 MAC: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan Program Keusahawanan Wanita (WEP) dalam memperkasakan lebih ramai usahawan wanita di kawasan rehat dan rawat (R&R) dikendalikannya.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, program julung kali itu juga menawarkan latihan, bimbingan mentor dan bantuan perniagaan kepada 20 wanita setiap tahun.

Katanya, sasaran utama WEP adalah kaum wanita yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari lebuh raya seperti ibu tunggal, golongan B40 dan wanita berusia 23 hingga 36 tahun.

“Mereka yang terpilih akan diberikan latihan, bimbingan mentor, bantuan perniagaan, pendedahan dan kemahiran tentang aspek perniagaan.

“Selain itu, mereka juga berpeluang menjalankan perniagaan makanan dan kraftangan berkonsepkan Push Cart atau kiosk di kawasan R&R PLUS selama dua tahun program berlangsung,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran WEP PLUS di R&R Dengkil arah selatan, di sini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Mohd Sheriff berkata, menerusi WEP, usahawan wanita turut berpeluang mengembangkan perniagaan mereka dan memasarkan produk secara terus kepada pelanggan lebuh raya atau hentian sebelah.

Pada masa sama, katanya, R&R PLUS memainkan peranan penting dalam mewujudkan kira-kira 5,500 peluang pekerjaan.

“Ketika ini, terdapat lebih 600 gerai beroperasi di R&R PLUS, daripada jumlah itu sebanyak 46 peratus diusahakan wanita dan tujuh peratus terdiri daripada ibu tunggal.

“Penduduk sekitar diberi peluang berniaga di 24 R&R PLUS, empat restoran jejantas serta 46 hentian sebelah di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS,” katanya.

Pendaftaran program WEP itu akan dibuka pada 15 April ini dan pengambilan pertama bermula pada Ogos depan.

Categories
NASIONAL

PLUS beri diskaun tol 10 peratus pada 5 Febuari

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 FEB: Pelanggan kenderaan kelas satu yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS dan lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) berpeluang menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus pada 5 Februari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, pelanggan lebuh raya akan diberikan diskaun tol sebanyak 10 peratus ketika membayar tol di antara jam 12 pagi hingga 11.59 malam.

“Ini diberikan sebagai penghargaan terhadap sokongan pelanggan serta meraikan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, diskaun tol ini diberikan kepada pelanggan kenderaan kelas satu ketika mereka membayar atau membuat transaksi tol di lebuh raya PLUS iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Diskaun itu turut membabitkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Sebagai contoh, sekiranya pelanggan mula memasuki lebuh raya pada jam 8 malam pada 4 Februari tetapi keluar dari lebuh raya dan membuat bayaran/transaksi tol pada jam 1 pagi pada 5 Februari, mereka akan tetap layak menikmati diskaun terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, diskaun itu tidak diberikan bagi transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang yang sedang menikmati diskaun tol 20 peratus sedia ada.