Categories
AGENDA JENAYAH

Penjenayah miliki 21 rekod lampau ditahan samun warga asing

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Dua lelaki yang masing-masing mempunyai 21 dan 19 rekod jenayah ditahan polis, kerana disyaki terbabit dalam kes ragut di hadapan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, di sini Rabu lepas.

Kedua-dua lelaki terbabit, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 pagi semalam, di kawasan Bandar Tun Razak, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian samun pada pukul 3.40 petang Rabu itu, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri seorang wanita warga China dan seorang daripada lelaki terbabit menarik beg tangan wanita itu.

Beliau berkata antara barang yang dilaporkan hilang termasuklah pasport, telefon bimbit, gelang tangan perak dan wang tunai berjumlah RM4,000.

“Pemeriksaan polis terhadap kedua-dua lelaki terbabit menemui lapan paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine, lima telefon bimbit dan beberapa peralatan yang dipercayai diguna untuk kegiatan mencuri motosikal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ujian saringan awal kencing yang dijalankan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit positif dadah dan direman tujuh hari mulai hari ini. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi lelaki maut lemas dalam baldi di taska

SHAH ALAM, 26 JUL: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan maut, dipercayai lemas dalam baldi berisi air di dalam tandas sebuah taska di Seksyen 32 di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, bayi itu ditemui pengasuh taska dalam baldi kecil berisi air dengan keadaan kepala telangkup ke bawah dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

“Sebelum itu pemilik taska berusia 30 tahun dan tiga pengasuh (taska) menjalankan aktiviti memancing di sebuah bilik aktiviti di taska tersebut.

“Seorang daripada pengasuh kemudian menyedari kejadian itu apabila memasuki tandas dan melihat bayi di dalam baldi kecil berisi air dengan kepalanya ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu pemilik taska bertindak membawa mangsa ke Klinik Desa di Jalan Kebun untuk mendapatkan rawatan.

Baharudin berkata, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 4 petang.

“Pemilik taska turut menghubungi ibu mangsa berusia 37 tahun bagi memaklumkan keadaan anaknya.

“… dan bedah siasat yang dijalankan pada 9 pagi semalam mendapati tiada kesan penderaan fizikal terhadap mangsa,” katanya.

Baharudin berkata, bayi itu baru 10 hari dihantar ke taska terbabit dengan bayaran RM300 dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

Tambahnya, ketika kejadian hanya ada 10 anak asuhan yang sedang dijaga di premis berkenaan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti punca kejadian dan sama ada wujudnya kecuaian.

“Pemilik taska juga telah ditahan kira-kira 10 malam tadi (semalam) untuk siasatan lanjut, ” katanya. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Video Seks: Polis ambil keterangan ADUN

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Polis telah mengambil keterangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ADUN yang berusia 34 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira 10 pagi hari ini dan selesai memberi keterangan selama sejam setengah.

“Selain itu, tempoh tahanan reman seorang lelaki yang ditahan di Shah Alam Jumaat lepas yang tamat hari ini, disambung dua hari lagi sehingga Rabu (24 Julai),” katanya ketika dihubungi.

Sehingga kini, polis telah menahan 11 individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan tujuh daripadanya dibebaskan selepas tempoh reman tamat serta keterangan diambil.

Baru-baru ini, klip video seks memaparkan aksi dua lelaki tular di media sosial dan Haziq Abdullah pada 12 Jun lepas mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam rakaman itu.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kuala Koh bebas daripada zon merah bermula esok

GUA MUSANG, 7 JUL: Larangan zon merah bagi Kampung Kuala Koh, yang menjadi penempatan bagi masyarakat Orang Asli suku Batek, ditarik balik bermula 8.00 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Gua Musang di Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Gua Musang di sini, hari ini selepas kawasan itu disahkan selamat daripada sebarang wabak penyakit berjangkit.

Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang memaklumkan berpuas hati dengan tahap kesihatan masyarakat Orang Asli di perkampungan itu yang kembali pulih seperti sediakala.

“Justeru, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan mengawal laluan masuk ke perkampungan itu di Felda Aring 10 akan menghentikan operasi mereka bermula pagi esok.

“Kita juga sudah memaklumkan perkara itu kepada semua agensi terbabit dan orang awam tidak mempunyai halangan lagi untuk ke Kampung Kuala Koh bermula tempoh itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Pada 12 Jun lepas, Polis Kelantan menguatkuasa larangan terhadap orang awam yang cuba memasuki perkampungan dengan mengisytiharkan Kampung Kuala Koh sebagai zon merah bagi mengelakkan penularan wabak demam campak yang menjangkiti masyarakat Orang Asli suku Batek.

Wabak berkenaan mengakibatkan 15 individu daripada masyarakat berkenaan meninggal dunia manakala 112 orang lagi menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli suku Batek di perkampungan itu termasuk menjalankan aktiviti gotong-royong di kawasan berkenaan boleh berbuat demikian bermula esok. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perhimpunan Sekretariat Suara Rakyat: Polis akan panggil Lokman

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Polis akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran anjuran Sekretariat Suara Rakyat hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata perhimpunan itu berlangsung tanpa sebarang pemberian notis kepada polis seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata perhimpunan yang bermula pada kira-kira 5 petang tadi disertai lebih kurang 30 orang dan polis akan menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Sepanjang perhimpunan berlangsung, PDRM telah mengaturkan anggota yang mencukupi bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Perhimpunan itu berlangsung kira-kira 30 minit dalam keadaan aman sebelum Lokman bersama pengikutnya bersurai sekitar 6 petang. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bakar kenderaan Mufti Perlis: Suspek terakhir diberkas

KANGAR, 6 JUL: Seorang duda yang merupakan suspek terakhir disyaki terlibat dalam kes membakar kenderaan rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin diberkas awal pagi ini.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohd berkata suspek diberkas oleh pasukan polis Perlis dengan kerjasama polis Kedah di sebuah rumah di Kampung Sekolah, Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah kira-kira pukul 4 pagi ini.

Katanya suspek berusia 48 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, direman empat hari di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, bermula hari ini.

“Dalam siasatan awal polis duda itu mengaku membakar kereta Mufti Perlis bersama seorang rakannya pada Mac lepas. Ujian air kencing yang dibuat mendapati beliau positif dadah jenis methamphetamine.

Oleh kerana kes itu berlaku di Perlis, suspek dibawa balik ke Perlis untuk tindakan lanjut” kata Noor Mushar dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas satu unit telefon bimbit berserta dua kad sim dan satu kad memori daripada lelaki itu yang turut dikehendaki pihak berkuasa kerana terlibat dalam beberapa kes jenayah dan pernah dihukum oleh mahkamah.

Kereta Honda Accord milik Kerajaan Negeri Perlis yang digunakan Mohd Asri dibakar di bahagian enjin manakala cermin depan dan belakang kenderaan itu dipecahkan oleh beberapa lelaki di rumah rasmi mufti itu di Jalan Persiaran Wawasan, Seriab, di sini kira-kira pukul 5.45 pagi 22 Mei lepas.

Keesokannya (23 Mei) polis memberkas seorang peniaga pasar malam, Mohd Azimar Abd Razak, 36, dan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kangar pada 24 Mei lepas atas pertuduhan membakar kenderaan itu tetapi beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mohd Azimar didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Empat lagi suspek kes itu telah ditangkap tetapi kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dua penganggur ditahan dipercayai proses ketum

IPOH, 5 JUL: Dua penganggur ditahan ketika dipercayai sedang memasukkan botol minuman yang disyaki berisi air ketum ke dalam sebuah tong di rezab sungai Kampung Behrang Ulu, Behrang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 32 dan 34 tahun itu ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Muallim dan Balai Polis Behrang pada kira-kira pukul 2.30 petang.

“Polis turut merampas 30 botol plastik minuman berisipadu 1.5 liter berisi cecair yang disyaki air ketum serta tong berwarna jingga berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati cecair itu dimasak sendiri dan bekalan daun ketum pula diperoleh dari kebun rezab sungai di kampung berkenaan.

“Suspek yang beralamat di Felcra Nasaruddin Belia Bota Kanan dan Kampung Sungai Sekiah Behrang Ulu itu menanam lebih kurang 200 pokok dan memproses daun ketum di lokasi itu,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek mendapati salah seorang daripadanya positif dadah dan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lima anggota Black Ruger aktif samun bersenjata ditahan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun bersenjata di daerah Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Gombak susulan penahanan lima anggota kumpulan ‘Black Ruger’ dalam serbuan di Sungai Buloh dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak 28 Mei lepas sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata lima lelaki berumur 22 hingga 37 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Merbau Indah Merbau Sempak, Sungai Buloh pada 27 Mei lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, dua suspek yang memakai topi keledar dengan seorang daripadanya telah mengacukan senjata menyerupai pistol ke arah mangsa yang bekerja sebagai penyelia di stesen minyak itu.

“Bertindak atas laporan penyelia stesen minyak itu, polis menahan seorang juruteknik di Jalan Kampung Baru Sungai Buloh sehari selepas kejadian dan merampas sebuah motosikal jenis Yamaha dan sebuah telefon bimbit.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki yang bekerja di kawasan sama dan kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dekat sini, hari ini.

Shafa’aton berkata tangkapan ketiga di Bandar Baru Sungai Buloh pada 17 Jun lepas melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki dalang kumpulan Black Ruger dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, hasil soal siasat, pasukan polis berjaya menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan merampas sepucuk pistol jenis Ruger buatan Amerika Syarikat.

“Pemeriksaan di dalam rumah suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau itu turut menemui satu kelopak dan 16 butir peluru hidup jenama Thai Arm,” katanya.

Menurutnya, tangkapan kelima melibatkan seorang lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori di Kampung Seri Indah, Sungai Buloh, semalam.

Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Kumpulan yang aktif sejak awal 2018 ini menyasarkan kedai runcit, stesen minyak dan samun tepi jalan serta pernah melepaskan tembakan dalam satu kejadian pada tahun lepas.

“Kumpulan ini bergerak dalam dua atau tiga orang untuk menyamun dan menggunakan motosikal serta kereta untuk melarikan diri,” katanya.

Shafa’aton berkata, pihaknya masih mencari dua anggota kumpulan itu yang identiti mereka sudah dikenal pasti.

Semua suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Judi antarabangsa: 1,228 ditahan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Kondominium, banglo mewah dan pejabat komersial dikenal pasti dijadikan pusat panggilan sindiket judi antarabangsa di negara ini untuk menarik kaki judi menerusi laman web atau aplikasi perjudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata sindiket yang kebanyakannya didalangi rakyat China dan Indonesia dengan bantuan rakyat tempatan itu dikesan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pusat khidmat.

Beliau berkata seramai 1,228 individu ditahan disyaki terlibat sindiket judi antarabangsa menerusi 75 serbuan sejak hujung tahun lepas hingga kini, dan polis merampas 4,683 unit peralatan perjudian serta wang tunai RM42,628 dan mata wang asing Yuen 6,000 (RM3,611.73).

“Kondominium serta banglo mewah dan pejabat komersial dijadikan sebagai pusat panggilan untuk menarik kaki judi di negara masing-masing menerusi laman web atau aplikasi perjudian,” katanya pada sidang akhbar khas JSJ, di Bukit Aman, di sini hari ini.

Huzir berkata peralatan komputer dan telefon bimbit yang dirampas membuktikan kegiatan judi dijalankan di China dan Indonesia dengan menggunakan kemudahan e-wallet seperti WeChat serta kemudahan perbankan internet di negara mereka.

Tiada pemain tempatan dan penggunaan akaun tempatan dikesan dan masyarakat digesa agar prihatin terhadap pergerakan rakyat asing yang mencurigakan, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, JSJ telah mengenal pasti 55 sindiket maksiat yang beroperasi di seluruh negara dengan tumpuan di beberapa kontinjen utama seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor dan Kuala Lumpur.

“Sejumlah 31 individu telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 sejak April 2014 sehingga Jun tahun ini,” katanya.

Huzir berkata tindakan drastik akan diambil termasuk penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) jika sindiket dikesan terlibat dalam jenayah terancang.

Beliau berkata sebanyak 2,537 serbuan dijalankan pada awal Januari sehingga Mei tahun ini berbanding 2,246 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Operasi tertumpu di kontinjen Johor, Selangor dan Kuala Lumpur dan majoriti tangkapan adalah warganegara asing seperti Vietnam, Thailand dan China yang menyalahgunakan pas lawatan bagi tujuan menyalahi undang-undang,” katanya.

Huzir berkata tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) akan digunakan,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PDRM perangi judi, 14,759 orang ditahan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Polis mempertingkatkan langkah memerangi kegiatan judi di seluruh negara apabila menahan 14,759 individu dan merampas wang tunai RM3.8 juta serta 10,361 peralatan perjudian dalam operasi sejak awal tahun ini.

Sebanyak 8,775 serbuan dilakukan ke lubuk-lubuk perjudian yang dikenal pasti dalam tempoh 1 Januari hingga 22 Jun lepas dan bagi mengekang sepenuhnya aktiviti itu, sebanyak 92 penganjur perjudian ditahan dalam tempoh itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata sebanyak 160 sindiket perjudian dipercayai aktif dikesan di empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.

“Hasil pemantauan kami mendapati kegiatan judi yang paling tinggi melibatkan loteri awam dengan 120 sindiket dikesan melakukan kegiatan itu.

“Selain itu, sebanyak 37 sindiket dipercayai terlibat judi dalam talian,” katanya pada sidang akhbar khas JSJ di Bukit Aman, di sini hari ini.

Huzir berkata dalam operasi itu polis juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik dan penyewa premis yang bertanggungjawab mengubahsuai premis mereka untuk dijadikan tempat perjudian.

“Mana-mana individu yang didapati terlibat, kami akan ambil tindakan mengikut Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Beliau berkata polis dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan melakukan pemotongan utiliti dan sekatan laman web.

Polis akan meminta SKMM untuk menyekat 1,270 laman web yang dikesan mempromosi aktivti perjudian, katanya.

Huzir berkata kerjasama dengan pihak Telco seperti Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, Umobile, Digi juga akan dipergiat untuk memerangi kegiatan judi yang dijalankan secara mudah alih iaitu menggunakan kemudahan SMS untuk tujuan promosi.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinasihat untuk membatalkan premis perniagaan yang disalah gunakan oleh individu bagi tujuan perjudian seperti menjual loteri awam tanpa lesen.

“Pada masa ini, PBT di Kontinjen Johor telah memberi kerjasama yang baik dengan 10 premis telah dibatalkan lesen perniagaan iaitu lima di Johor Bahru Selatan, dua di Mersing dan tiga di Kluang,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Premis hiburan beroperasi tanpa lesen berdepan tindakan sita

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Kedegilan sebuah premis hiburan tanpa lesen menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) rakyat asing di Bandar Puchong Jaya, Puchong, meskipun pernah diserbu awal bulan ini, mengundang tindakan sita oleh pihak berkuasa tempatan.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor DSP Azmi Syukor berkata premis hiburan itu sekali lagi diserbu Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Hasil serbuan itu 20 wanita warga asing membabitkan warga Vietnam, Thailand, Indonesia dan China berusia lingkungan 20-an, disyaki berkerja sebagai GRO di premis terbabit, ditahan bersama-sama dua penjaga premis warga tempatan berusia 40-an dan dua lelaki warga Bangladesh berusia 20-an.

“Premis ini akan disita oleh pihak berkuasa tempatan, dan pihaknya sedang mengesan pemilik premis disyaki warga tempatan untuk tindakan selanjutnya.

“Serbuan pertama pada 1 Jun lalu, seramai 20 warga GRO warga asing ditahan dan premis ini masih meneruskan operasi… premis ini juga beroperasi dalam tempoh masa panjang bermula 5 petang hingga 4 pagi setiap hari,” katanya.

Azmi berkata siasatan mendapati premis terbabit menawarkan khidmat GRO kepada pelanggan dengan harga RM150 (seorang GRO) yang dipilih untuk menemani mereka bagi tempoh tiga jam.

Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk mikrofon, alat pembesar suara dan wang tunai berjumlah RM318 dalam serbuan itu, katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama, serta Seksyen 6(1) Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perempuan punca pergaduhan sekumpulan remaja

KUANTAN, 20 JUN: Perselisihan faham akibat perempuan dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan remaja lelaki di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera di Sungai Isap di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kejadian yang berlaku pada 1 pagi itu, dipercayai melibatkan 12 remaja berumur antara 19 dan 20 tahun, yang berasal dari sekitar daerah ini, Pekan, dekat sini dan Kangar, Perlis.

Katanya, mangsa yang berusia 20 tahun dan masih belajar itu mendakwa dihubungi oleh seorang lelaki tidak dikenali pada 8 malam sebelumnya yang memperkenalkan diri sebagai bapa saudara kepada bekas tunangnya dan mahu berjumpa.

“Mangsa mendakwa dia dan dua rakan berada di kawasan letak kereta itu apabila dihampiri tiga kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki dengan salah seorang suspek bertanyakan nama mangsa.

“Lelaki itu didakwa terus menumbuk muka dan menendang pinggang mangsa dengan diikuti suspek lain yang secara bertubi-tubi menyerang mangsa dan rakannya, sebelum pergaduhan dileraikan orang awam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata mangsa membuat laporan polis kira-kira sejam selepas kejadian dan mendakwa perbuatan suspek menyebabkan dia dan seorang rakan berusia 19 tahun lebam di muka, kepala dan badan.

Beliau berkata enam remaja berumur antara 19 dan 20 tahun ditahan antara 4.50 petang dan 6.45 petang semalam, di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, selepas dipanggil memberi keterangan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA