Categories
SELANGOR

Bayi lebam pada anggota badan selepas dihantar pertama kali kepada pengasuh

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan lebam pada muka, pipi, telinga kiri dan paha kiri selepas dihantar kepada seorang pengasuh di Taman Selayang Jaya, Selayang, dekat sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata kesan lebam itu disedari ibu bayi berkenaan yang berumur 40 tahun selepas mengambil anaknya yang berada di bawah jagaan pengasuh tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah pengasuh tersebut buat pertama kali pada kira-kira 9 pagi dan diambil semula oleh ibunya pada 4.30 petang hari yang sama.

“Semasa berada di rumah, ibu bayi tersebut menyedari kesan lebam kemerahan pada anggota badan anaknya lalu membuat laporan polis pada 6.30 petang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zainal Mohamed berkata pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada paha kiri serta bahagian muka sebelah kiri dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selayang.

“Keterangan suspek iaitu seorang wanita tempatan berumur 60 tahun telah dirakam bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (pengabaian kanak-kanak) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan tujuh individu samun, cedera lelaki di Gombak

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Tujuh individu termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes samun dan mencederakan mangsa, ditahan dalam serbuan berasingan di Gombak, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, semua suspek berusia 24 hingga 43 tahun itu ditahan di dua rumah di Batu Caves dan Gombak dalam operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 5 pagi.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan penemuan seorang lelaki dalam keadaan cedera dengan kesan tetakan di sebuah stesen minyak di Taman Greenwood, Gombak pada Sabtu lepas.

“Siasatan mendapati mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kenalannya, untuk berjumpa di kawasan berhampiran stesen minyak tersebut.

“Semasa mangsa menghampiri kenalannya di kawasan tersebut, lima lelaki memukulnya dan salah seorang daripada suspek telah melibasnya dengan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, mangsa cedera di bahagian lutut dan jari manakala motosikal, telefon bimbit dan beg dompet, turut dilarikan suspek.

Arifai berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga motosikal, satu telefon bimbit serta sebilah parang dan pemeriksaan mendapati, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, dengan tiga daripada suspek dikehendaki polis melibatkan kes dadah di Selayang dan Jinjang.

Katanya, kesemua suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine itu ditahan reman lima hari hingga esok, untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, empat lelaki termasuk tiga warga asing ditahan, kerana disyaki terbabit dalam kes pecah masuk kedai serbaneka di Jalan Dataran Selayang, Batu Caves yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.

Arifai berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 26 tahun, ditahan pada Ahad lepas di Jalan Besar Selayang Indah, Batu Caves dan Segambut, dalam operasi bermula 1.30 tengah hari itu.

“Kita merampas 66 karton rokok, 264 kotak rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM1,800 yang disyaki hasil jualan rokok yang dicuri, daripada kedai serbaneka itu,” katanya.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lelaki alih batu penghadang ditahan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Polis menahan seorang lelaki kerana mengalihkan batu penghadang jalan di laluan pintas Garing Utama dekat Rawang, malam tadi.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sepasukan anggota polis yang membuat pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Rawang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.05 malam.

“Apabila tiba di lokasi, penduduk kawasan tersebut menyerahkan seorang lelaki yang didapati mengalihkan batu berkenaan.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Rawang untuk siasatan lanjut kerana ingkar PKP dan sengaja melakukan perbuatan khianat dengan mengalihkan batu tersebut,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, batu penghadang itu diletakkan bagi mengawal pergerakan keluar masuk orang awam berikutan pelaksanaan PKP.