Categories
SELANGOR

Enam lelaki ditahan, bantu siasatan kes pukul warga asing

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Polis menahan enam lelaki disyaki terbabit dalam insiden memukul seorang lelaki warga asing di kawasan kaki lima Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun terbabit ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.

Beliau berkata seorang daripadanya telah dijamin polis semalam memandangkan dia merupakan pemilik premis di tempat kejadian.

“Manakala lima yang lain dibawa ke Mahkamah Kajang dan dibenarkan reman selama sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam tular sebuah video dipercayai dirakam berdurasi selama seminit 21 saat memaparkan seorang warga asing dipukul sekumpulan lelaki di kaki lima sebuah kedai dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.

Antara individu dipercayai terlibat insiden pukul terbabit ialah pengerusi sebuah persatuan dan beberapa pengikutnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramai buat laporan palsu elak didenda MyKad hilang

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 18 laporan palsu mendakwa disamun kerana enggan membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad) direkodkan di Kajang pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang berkata 13 kes sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, manakala bakinya dalam siasatan, lapor Harian Metro.

“Bagi tahun ini, sehingga Februari lalu, sebanyak tujuh laporan palsu berkaitan direkodkan dan daripada jumlah itu, dua kes sudah dituduh di mahkamah mengikut seksyen sama, manakala selebihnya masih disiasat,” kata Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Jelasnya, terdapat peningkatan taktik sedemikian dan siasatan mendapati kebanyakan mereka enggan didenda ketika memohon semula MyKad yang hilang akibat kecuaian sendiri.

Mohd Zaidi berkata orang ramai diberi amaran tidak membuat laporan palsu bagi mengelak berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kanak-kanak lelaki ditemui terbaring di kawasan loji

SHAH ALAM, 24 SEPT: Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua atau tiga tahun dijumpai terbaring di kawasan loji Taman Jugra Jaya, Kajang pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata ketika ditemui pada jam 9.40 pagi, kanak-kanak terbabit memakai baju-t merah, berseluar putih dan tidak berselipar.

“Dia dihantar ke Hospital Kajang dan kini menerima rawatan di Bahagian Kecemasan. Tiada sebarang info peribadi kanak-kanak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohd Faeez Norzah di talian 013-2773407 atau mana-mana balai berdekatan.

Categories
SELANGOR

Pemandu rempuh polis hingga maut dihadap ke mahkamah esok

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Lelaki yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis hingga maut dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang 3 Mei lepas, akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan hari ini berkata lelaki itu akan dituduh dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kajang pada pukul 9 pagi.

“Lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu tanpa lesen sah.

Selain itu, lelaki itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, atas kesalahan berada di luar rumah tanpa alasan munasabah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam insiden pada 2.11 pagi 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu.

Sebelum ini, lelaki terbabit ditahan reman enam hari yang berakhir Jumaat lepas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula pada hari yang sama dia dibebaskan untuk disiasat di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan nyawa.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Kajang buru penyamun menyamar kontraktor TNB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Polis memburu seorang lelaki tempatan dipercayai menyamar sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang giat membuat pemeriksaan di premis sebelum mencuri dan menyamun barang berharga.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzafir Mohd Yussof berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu dipercayai memperdaya mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai kontraktor syarikat bekalan elektrik itu sebelum meminta kebenaran untuk memeriksa meter di premis yang disasarkan.

“Suspek akan minta untuk menutup meter elektrik dan menyuruh semua staf atau pemilik premis keluar supaya tidak tercedera semasa proses pemeriksaan dibuat. Setelah semua keluar, suspek akan menggeledah premis dan mencuri barang berharga dan wang tunai daripada premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek turut memperkenalkan diri sebagai kontraktor bangunan iaitu wakil pemaju untuk memeriksa bangunan.

Ahmad Dzafir berkata sebanyak empat laporan polis diterima berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku sejak Disember lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Budak perempuan ditemui orang awam sudah dituntut penjaga

SHAH ALAM, 11 JAN: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dijumpai orang awam di Jalan Taman Megah 2A, Kajang diserahkan kepada ibu bapanya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata ibunya yang berusia 35 tahun menghubungi polis selepas berita itu tular di media sosial.

“Hasil keterangan, kanak-kanak perempuan itu dipercayai keluar sendirian untuk bermain di luar rumah melalui pintu hadapan yang tidak dikunci.

“Dia diserahkan semula kepada ibu bapa kandungnya dan dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir turut berterima kasih kepada media dan orang ramai yang membantu menyebarkan berita kehilangan kanak-kanak itu sehingga diserahkan semula kepada keluarganya.

SelangorKini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan ditemui bersendirian dalam keadaan ketakutan dan menangis di Taman Megah, Batu 9, Cheras, semalam.

Kanak-kanak memakai baju-T berwarna hitam dengan tulisan ‘Puma’ serta berseluar panjang warna hitam ditemui pada 2 petang oleh seorang warga emas berusia 70 tahun.