Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Tiga jalan di Klang Utara ditutup

SHAH ALAM, 9 OKT: Tiga jalan di Klang Utara ditutup susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata ia melibatkan Jalan Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Lorong Perak di Taman Bukit Kuda.

“Selain itu, terdapat dua sekatan jalan raya melibatkan Jalan Bukit Kuda berhadapan Emy Cookies & Food dan satu lagi berdekatan simpang Lorong Lintang Raksa 2.

“Orang ramai yang ingin keluar masuk ke kawasan itu perlu mendapatkan surat kebenaran dari balai polis bergerak dan khemah disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya mematuhi arahan PKPB atau bakal dikenakan kompaun.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-32913344.

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis cari lelaki tempatan, bantu kes tetak pengawal keselamatan

KLANG, 12 JUN: Polis menjejaki seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes tetak seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di sini sehingga mangsa putus kedua-dua pergelangan tangan pada 4 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata siasatan mendapati lelaki yang dijejaki, G.Seva Shangar, 33, dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

Beliau berkata pengawal keselamatan terbabit turut mengalami kecederaan di kepala, kaki, bahu dan muka.

“Dalam kejadian itu, mangsa didatangi dua lelaki memakai topi keledar warna gelap, muka ditutup sapu tangan dan bersenjatakan parang lalu menyerangnya sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek tidak mencederakan rakan mangsa yang bertugas bersamanya di pondok keselamatan sekolah itu,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Nurulhuda berkata siasatan mendapati mangsa sebelum ini berselisih faham dengan seorang suspek utama kejadian itu yang masih bebas berkaitan isu lot tanah yang diusahakan untuk menternak lembu.

Beliau berkata suspek utama mengupah dua lelaki terbabit dengan bayaran RM10,000 untuk mencederakan mangsa sebagai amaran kepadanya berkaitan isu lot tanah tersebut.

Susulan itu, katanya polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang warga India berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kes tetak tersebut.

Beliau berkata semakan mendapati tiga suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemuanya direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Nurulhuda berkata sebanyak 2.6 kilogram dadah jenis metamfetamin dan 1.4 kilogram heroin yang dianggarkan bernilai RM176,370 dirampas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Klang Utara dalam beberapa serbuan sejak Januari hingga awal bulan ini.

“Dalam tempoh sama juga, kita menyelesaikan 13 kes narkotik dengan penahanan 22 warga tempatan dan seorang warga Thailand. Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tahan pelanggan, pekerja premis hiburan langgar arahan PKPB

SHAH ALAM, 9 JUN: Sebuah premis hiburan keluarga di Klang yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran diserbu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata pemeriksaan menemui empat simulator berunsur perjudian sedang berfungsi dan dimainkan seorang pelanggan lelaki berusia 66 tahun.

“Siasatan juga mendapati lesen premis tamat Disember lalu. Penjaga premis warga Indonesia pula tidak mempunyai permit kerja sah dan pas lawatan tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurulhuda berkata, pekerja dan pelanggan ditahan sementara mesin simulator dan wang berjumlah RM87 dirampas.

“Pelanggan turut dikenakan kompaun mengikut Peraturan 3 Halangan dan Kawalan Pergerakan Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan,” katanya.

Kerajaan memutuskan pusat hiburan termasuk dalam senarai larangan dibuka mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak penularan Covid-19.

Categories
SELANGOR

Kurang patuh arahan PKP, polis Klang Utara tutup jalan

SHAH ALAM, 31 MAC: Polis Klang Utara terpaksa menutup beberapa jalan di kawasan pentadbirannya bermula esok hingga 14 April ini susulan kedegilan orang awam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua polisnya, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira statistik Kementerian Kesihatan Malaysia dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Selepas 14 hari, kami lihat tahap kepatuhan PKP masih belum memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara lokasi ditutup di Kilometer (KM) 3.5 Jalan Shahpadu Lama, KM3.7 Jalan Shahpadu Lama ke Rantau Panjang, jamabagan ketiga Klang (Jambatan Raja Muda Nala), Jambatan Musaeddin di Jalan Batu Tiga Lama dan Jalan Paip di Meru.