Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru rakyat kemuka cadangan sempena Belanjawan Selangor 2021

SHAH ALAM, 3 SEPT: Rakyat diseru mengemukakan cadangan sempena Belanjawan Selangor 2021 yang akan dibentang pada 30 Oktober ini di Dewan Negeri Selangor bermula jam 3 hingga 5 petang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta orang ramai berbuat demikian menerusi portal rasmi www.amirudinshari.com/selangor2021.

“Portal ini adalah platform rasmi yang disediakan bagi mengumpul semua cadangan daripada seluruh rakyat Selangor sempena Belanjawan Selangor 2021.

“Saranan dan aspirasi rakyat di semua lapisan wajar diteliti agar denyut nadi semua pihak dapat difahami dengan jelas seterusnya diterjemahkan ke dalam polisi yang lebih pro rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan portal berkenaan juga akan menyampai maklumat mengenai belanjawan secara komprehensif kepada rakyat di dalam dan luar negeri.

Tambahnya, inisiatif itu penting supaya rakyat terutama warga Selangor memahami objektif penyaluran serta tunggak utama belanjawan dan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada semua.