Categories
AGENSI SELANGOR

Polis kawal PPV Evo Mall selepas diserbu 3,000 individu

SHAH ALAM: 22 OGOS: Polis berjaya mengawal kesesakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evo Mall, Bangi selepas diserbu 3,000 orang yang mahu menerima suntikan pelalian, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata kehadiran warga tempatan dan asing dalam jumlah besar bermula kira-kira jam 9 pagi untuk mendapat vaksin secara serentak menjadi terganggu.

“Bagaimanapun pada jam 12 tengah hari keadaan kembali teratur dengan bantuan seorang pegawai dan enam anggota polis dari Balai Polis Bandar Baru Bangi,” katanya menerusi kenyataan.

Pada 17 Ogos, seramai 15,300 individu disuntik menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) di PPV Evo Mall setakat 16 Ogos, kata penyelarasnya.

Amiroel Zhafran Mohd Ismadi berkata jumlah itu merangkumi 5,000 penyertaan untuk Selvax Komuniti, manakala selebihnya Selvax Industri dengan purata sehari seramai 1,000 individu menerima pelalian.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

15,300 individu terima vaksin negeri di PPV Evo Mall setakat semalam

BANGI, 17 OGOS: Seramai 15,300 individu disuntik menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evo Mall  di sini setakat semalam, kata penyelarasnya.

Amiroel Zhafran Mohd Ismadi berkata jumlah itu merangkumi 5,000 penyertaan untuk Selvax Komuniti, manakala selebihnya Selvax Industri.

“Mereka merupakan penduduk setempat yang daftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi Selvax Komuniti dan industri yang didaftar oleh majikan.

“Secara purata kita terima sekitar 1,000 orang sehari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Amiroel Zhafran bagi memastikan kelancaran operasi, pihaknya menyediakan pintu khas kepada penerima vaksin bagi mengelak kesesakan di pintu masuk PPV yang terletak dalam pusat membeli-belah itu.

“Melalui pintu ini mereka akan terus masuk untuk pendaftaran dan kemudian terus naik ke atas bagi proses vaksinasi tanpa perlu bercampur dengan pengunjung pusat membeli-belah,” katanya.

Selangor melancarkan Selvax pada Jun lalu bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini membabitkan kos RM200 juta.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.