Categories
AGENDA NASIONAL

Dua gerabak terbakar, khidmat monorel tergendala

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Dua gerabak monorel terbakar di Stesen Monorel Jalan Maharajalela menghala ke KL Sentral hari ini menyebabkan perkhidmatan tren itu tergendala.

Tiada kecederaan dilapor dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu.

Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Mohamad Iqbal Zakaria berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 7.27 pagi dan menggerakkan lima jentera bersama 21 anggota ke lokasi.

“Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 8.56 pagi. Kesemua penumpang dikeluarkan dari gerabak oleh petugas Stesen Monorel Jalan Maharajalela sebelum bomba sampai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu gerabak berkenaan dikatakan mendengar bunyi letupan ketika pengangkutan awam itu sedang bergerak menuju ke Stesen Monorel Jalan Maharajalela.

“Kerana tidak mahu mengambil risiko, pemandu itu menghentikan gerabak di stesen itu bagi menurunkan sembilan penumpang walaupun pada masa itu monorel berkenaan belum terbakar. Ketika pasukan bomba tiba, api sudah marak,” katanya dan menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad menerusi kenyataan menjelaskan satu daripada 64 tayar yang digunakan oleh tren empat gerabak itu meletup dan terbakar, dipercayai kerana tekanan angin tayar yang rendah.

Menurut kenyataan itu, kesemua penumpang selamat diturunkan di Stesen Maharajalela sebelum tren itu terbakar.

Berikutan kebakaran itu, perkhidmatan tren ulang-alik diaktifkan pada 7.38 pagi untuk perkhidmatan antara Stesen Titiwangsa dengan Stesen Hang Tuah.

“Pada masa sama, perkhidmatan van perantara percuma turut disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen Monorel KL Sentral, Tun Sambanthan dan Maharajalela.

“Tren itu ditunda keluar dari Stesen Maharajalela pada 10.59 pagi ke depoh untuk siasatan lanjut. Penumpang yang terjejas ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel. Rapid KL kesal dan memohon maaf atas insiden berkenaan dan kesulitan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Prasarana komited sedia perkhidmatan terbaik pengangkutan awam

GEORGE TOWN, 3 JUN: Prasarana Malaysia Berhad terus komited menyediakan perkhidmatan terbaik, seterusnya meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata sebagai organisasi yang diamanahkan kerajaan untuk mentransformasikan sistem pengangkutan awam negara, pihaknya bertekad menyediakan perkhidmatan terbaik, dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Antara transformasi yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Rapid Penang, adalah sistem bas integrasi atau “Bus Integrated System” atau BIS yang kini digunakan sepenuhnya, selepas melalui beberapa fasa.

Selain itu semua bas Rapid Penang juga dilengkapi dengan sistem pungutan tambang automatik, untuk membantu menjimatkan masa penumpang melalui transaksi yang lebih efisien. Prasarana kini dalam era pembayaran tanpa tunai sepertimana yang dipratikkan negara-negara berkelas dunia,” katanya semasa berucap pada majlis Iftar Rapid Bersama Media di sini malam ini.

Mohamed Hazlan berkata selain pengangkutan bas, Prasarana turut berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan feri dengan melaksanakan pelepasan feri mengikut jadual.

“Sejak mengambil alih pengoperasian feri bermula 1 Mei 2018, Rapid Ferry telah meletakkan sasaran meningkatkan mutu perkhidmatan dengan melaksanakan pelepasan feri mengikut jadual. Ketepatan waktu feri berlepas telah meningkat daripada 78.5 peratus kepada 94.9 peratus pada bulan Disember 2018. Ini adalah satu pencapaian yang sangat dibanggakan Prasarana,” katanya.

Beliau berkata bagi operasi tahun kedua, Rapid Ferry mensasarkan ketepatan waku pelepasan yang lebih baik, dengan beberapa inisiatif baharu termasuklah pemantauan waktu berlepas secara harian, dan penjadualan pembaikan feri di luar waktu operasi.

“Rapid Ferry turut melaksanakan beberapa inisiatif lain untuk menjadikan perkhidmatan feri mesra pelanggan. Ini termasuk pembangunan aplikasi mudah alih jadual feri dan paparan masa pelepasan feri di kedua-dua terminal Pengkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim. Ini membolehkan para pengguna feri mendapatkan maklumat awal, bagi merancang perjalanan mereka dengan lebih baik,” katanya.

Mohamed Hazlan berkata sebagai oganisasi yang komited untuk menyediakan perkhidmatan berkelas dunia kepada para pelanggannya, Rapid Penang dan Rapid Ferry akan terus memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kelancaran operasi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Yazurin Sallij berkata Rapid Penang sedang merancang merasionalisasi laluan-laluan melalui konsep ‘hub & spoke’ terutama di kawasan Bayan Baru dan Bayan Lepas.

“Rancangan merasionalisasi laluan-laluan ini, bertujuan meminimumkan pertindihan sumber atau laluan sedia ada, melancarkan trafik, meningkatkan keberkesanan rangkaian laluan seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan bas. Oleh itu perancangan ini bakal mengurangkan masa perjalanan penumpang untuk ke sesuatu destinasi. Ia bakal dibentangkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang tidak lama lagi,” katanya. – BERNAMA