Categories
AGENDA NASIONAL

Dua gerabak terbakar, khidmat monorel tergendala

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Dua gerabak monorel terbakar di Stesen Monorel Jalan Maharajalela menghala ke KL Sentral hari ini menyebabkan perkhidmatan tren itu tergendala.

Tiada kecederaan dilapor dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu.

Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Mohamad Iqbal Zakaria berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 7.27 pagi dan menggerakkan lima jentera bersama 21 anggota ke lokasi.

“Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 8.56 pagi. Kesemua penumpang dikeluarkan dari gerabak oleh petugas Stesen Monorel Jalan Maharajalela sebelum bomba sampai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu gerabak berkenaan dikatakan mendengar bunyi letupan ketika pengangkutan awam itu sedang bergerak menuju ke Stesen Monorel Jalan Maharajalela.

“Kerana tidak mahu mengambil risiko, pemandu itu menghentikan gerabak di stesen itu bagi menurunkan sembilan penumpang walaupun pada masa itu monorel berkenaan belum terbakar. Ketika pasukan bomba tiba, api sudah marak,” katanya dan menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad menerusi kenyataan menjelaskan satu daripada 64 tayar yang digunakan oleh tren empat gerabak itu meletup dan terbakar, dipercayai kerana tekanan angin tayar yang rendah.

Menurut kenyataan itu, kesemua penumpang selamat diturunkan di Stesen Maharajalela sebelum tren itu terbakar.

Berikutan kebakaran itu, perkhidmatan tren ulang-alik diaktifkan pada 7.38 pagi untuk perkhidmatan antara Stesen Titiwangsa dengan Stesen Hang Tuah.

“Pada masa sama, perkhidmatan van perantara percuma turut disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen Monorel KL Sentral, Tun Sambanthan dan Maharajalela.

“Tren itu ditunda keluar dari Stesen Maharajalela pada 10.59 pagi ke depoh untuk siasatan lanjut. Penumpang yang terjejas ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel. Rapid KL kesal dan memohon maaf atas insiden berkenaan dan kesulitan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Kekerapan tren, bas di Lembah Klang dikurangkan – Prasarana

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kekerapan perkhidmatan tren LRT, MRT dan monorel akan dikurangkan mulai esok sehingga arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ke atas Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berakhir.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia (Prasarana) Datin Norlia Noah berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.

“Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini bagaimanapun akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara 2.8 dan 9.9 minit, bergantung pada waktu puncaknya.

“Kekerapan yang ditetapkan ini bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren di semua laluan dipantau rapi Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” katanya.

Pada masa sama, Norlia memaklumkan kekerapan bagi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB ini, termasuk pada waktu puncak.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Jumlah penumpang pengangkutan awam menurun

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mencatatkan penurunan jumlah penumpang harian lebih 30 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula Selasa.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu melibatkan perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di bawah seliaanya.

Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam. Tinjauan itu bermula dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan Covid-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

Tambahnya, pihaknya juga memastikan kakitangan di stesen sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan getah apabila perlu, serta mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata perkhidmatan bas Rapid turut menggunakan aplikasi Google Map, Moovit, MyRapidBus Kiosk untuk membantu merancang perjalanan bagi mengelakkan pengguna menunggu terlampau lama di kawasan awam.

“Hanya kapten bas yang sihat dan lulus saringan dibenarkan memandu bas,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Uji wibawa pandu monorel

Oleh Norhidayu Zainal

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Bukan mudah bergelar pemandu tren monorel. Tambahan pula, pengangkutan awam itu masih menggunakan 100 peratus khidmat pemandu dari segi kawalan.

Berkongsi pengalaman, seorang pemandu tren monorel Ramli Masdar berkata tanggungjawab beliau selain menjaga kawalan seperti mengemudi dan had kelajuan, beliau juga melakukan pengumuman stesen dan mengawal sistem pintu serta penumpang.

“Apa yang penting adalah fokus dan tumpuan ketika memandu. Ia sama seperti apabila kita memandu di jalan raya, tidak boleh leka agar sebarang rintangan atau masalah dapat diatasi dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, ia berbeza dengan tren yang bergerak secara automatik yang dikendalikan sepenuhnya oleh menara kawalan sekali gus lebih memudahkan.

“Namun, saya masih perlu berhubung dengan menara kawalan bagi melaporkan maklumat,” katanya.

Ramli adalah antara pemandu terawal tren monorel sejak perkhidmatan itu mula beroperasi pada 31 Ogos 2003.

Kini, monorel dengan jajaran sepanjang 8.6 kilometer (km) yang menghubungkan laluan dari KL Sentral ke Titiwangsa masih lagi menggunakan sistem sama walaupun sudah beroperasi selama 17 tahun.

“Jika dulu, memang ada banyak masalah tetapi sekarang semua operasi sudah bertambah baik. Setiap hari kita buat penyelenggaraan kerana keselamatan penumpang adalah keutamaan. Inilah kelainan bagi monorel berbanding pengangkutan awam lain mengikut kesesuaian jaraknya,” katanya.

Pemandu Tren Monorel, Ramli Masdar, 51, ketika berada di dalam tren pada temu bual bersama Bernama baru-baru ini. Foto BERNAMA

Bagaimanapun, pengalaman anak jati Batu Pahat, Johor selama 16 tahun itu turut membawanya menjadi antara lebih 500 petugas Malaysia yang terlibat dalam pengendalian selama tiga tahun pengoperasian tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), Makkah bermula 2015.

“Apabila ditawarkan untuk bekerja di Makkah, saya terus merebutnya tanpa berfikir panjang. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat di sana.

“Kerana itu, saya sentiasa bersedia untuk bertugas di Makkah bagi mengendalikan operasi haji sekiranya terdapat lagi peluang seperti ini pada masa hadapan,” katanya.

MMMSL, membabitkan jajaran sepanjang 18.1 km merentasi sembilan stesen yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, diiktiraf sebagai pengangkutan paling padat dan tersibuk di dunia.

Istimewanya, ia hanya beroperasi khusus untuk musim haji bagi membawa kira-kira dua juta jemaah dari Dunia Arab dan Asia Selatan, yang ditempatkan berhampiran stesen.

“Tren beroperasi 24 jam tetapi hanya bagi tempoh tujuh hari. Memang singkat tetapi sangat mencabar bukan sahaja kerana jumlah penumpang yang ramai pada satu-satu masa tetapi juga cuaca panas.

“Berbeza dengan tren monorel, MMMSL adalah tren yang panjang kerana mempunyai 12 gerabak dan secara keseluruhannya terdapat 120 pintu keluar masuk,” katanya.

Bukan itu sahaja, bekas tentera ini juga berkesempatan menunaikan ibadah haji sepanjang tempoh berkhidmat di sana.

“Alhamdulillah, ia (tunai haji) adalah kenangan manis yang paling saya tidak boleh lupakan. Mungkin berkat berkhidmat memudahkan tetamu Allah, Allah juga mempermudahkan urusan saya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tayar getah monorel terbakar, perkhidmatan ditangguh sementara

KUALA LUMPUR 30 MAC: Sebuah tayar getah monorel empat gerabak terbakar di stesen Titiwangsa menyebabkan perkhidmatan monorel di bandar raya ini digantung sementara mulai pukul 8.50 pagi.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Monorail Line, Abdul Hadi Amran berkata tiada sebarang penumpang di dalam tren itu semasa kejadian.

CBUI0FHU0AAIxL3Kebakaran itu menyebabkan asap tebal menyelubungi stesen bertingkat berkenaan.

“Kebakaran dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, Rapid Rail sedang melakukan siasatan dalaman insiden itu.

Gambar: Harian Metro

EZY