Categories
AGENDA NASIONAL

Pengundian awal PRK DUN Chini hari ini

PEKAN, 30 JUN: Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Bilik Maklumat Balai Polis Chini dekat sini dibuka pada 8 pagi ini bagi membolehkan 18 pengundi awal melibatkan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat pengundian awal itu dibuka selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

Sepanjang proses mengundi awal itu, pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 berkuat kuasa seperti jarakan sosial, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan serta saringan suhu badan.

Proses itu akan disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain turut disiarkan secara langsung atau ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, Sabtu ini (4 Julai) di pusat pengiraan undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Paloh Hinai.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

Pemilih terdiri daripada 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR jangka kos PRK DUN Chini meningkat dua kali ganda

SHAH ALAM, 14 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini meningkat hampir dua kali ganda sekitar RM4.7 juta, kata pengerusinya.

Datuk Azhar Azizan Harun berkata peningkatan itu berikutan langkah membendung Covid-19 dengan penyediaan barangan seperti cecair pembasmi kuman, sut pelindungan diri, khemah khas dan alat penyaring suhu, lapor Sinar Harian.

“Daripada semua PRK DUN sebelum ini, PRK DUN Rantau mencatatkan kos paling tinggi iaitu mencecah RM1.87 juta,” katanya.

Beliau berkata kebiasaannya kos paling tinggi adalah elaun petugas pilihan raya diikuti sewaan barangan seperti komputer dan logistik.

PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon 20 Jun dan pengundian awal 30 Jun.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK DUN Chini: Pengundi positif Covid-19 tidak dibenar mengundi

SHAH ALAM, 12 JUN: Individu positif Covid-19 tidak dibenarkan untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada 4 Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) sebelum memperhalusi pelaksanaan itu.

“Kita akan lihat senarai kes yang dikuarantin atau dimasukkan ke wad, tetapi kalau pesakit itu tenat mereka tidak dibenarkan keluar wad untuk melaksanakan tugas sebagai pengundi.

“Kita akan mengadakan SOP yang akan diteliti oleh pelbagai agensi sebelum boleh dilaksanakan bersama,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Azhar Azizan Harun berkata pengundi yang dijangkiti Covid-19, bergejala atau sedang dikuarantin atas sebab penyakit itu dibenarkan untuk mengundi pada PRK tersebut.

Bagaimanapun, kesediaan SPR memberi peluang itu kepada pengundi tertakluk kepada kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN tidak tanding PRK Chini 4 Julai depan

SHAH ALAM, 6 JUN: KEADILAN tidak bertanding bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini yang diadakan pada 4 Julai depan, kata setiausaha agungnya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dibuat bagi menjaga aspek keselamatan dan kesihatan pengundi yang masih menjadi kerisauan.

“Mengambil kira perkara berkenaan, KEADILAN dan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju bahawa KEADILAN tidak meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil Dun Chini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifudin berkata KEADILAN berpandangan tatacara operasi piawai (SOP) yang bakal dikeluarkan bagi PRK Dun Chini akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, menerusi SOP larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.