Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: PAKATAN dekati pengundi muda

KIMANIS, 5 JAN: Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menggunakan pendekatan tersendiri dengan bersemuka dengan pengundi muda bagi memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Ketua Pemuda PAKATAN yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata terdapat kira-kira 6,000 pengundi muda di bawah umur 35 tahun di Parlimen Kimanis, yang perlu didekati bagi mengetahui aspirasi dan permasalahan mereka.

“Pemuda PAKATAN akan gempur untuk berjumpa mereka dengan pelbagai pendekatan antaranya rumah ke rumah, warung ke warung, pejabat ke pejabat untuk memahami permasalahan mereka.

“Beri khidmat sebaik mungkin…kita ingin memperkasa politik khidmat supaya akhirnya anak muda lihat kita ini mendengar dan cuba selesaikan masalah mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pemuda PAKATAN bagi PRK Parlimen Kimanis di sini, hari ini.

Turut hadir, calon Warisan Datuk Karim Bujang dan Ketua Bahagian Bersatu Kimanis Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

PAKATAN merupakan rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Warisan diwakili Karim yang ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Januari, manakala pengundian awal pada 14 Januari bagi PRK ini, melibatkan 29,664 pemilih berdaftar.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata pendekatan seumpama itu bukanlah baharu dan tidak hanya ketika pilihan raya, sebaliknya sudah digunakan sebelum ini, sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Katanya sebagai menteri, sebelum PRK ini, beliau sudah tiga kali datang ke Parlimen Kimanis termasuk mengadakan sesi ‘town hall’ di Membakut pada tahun lepas.

Beliau berkata beberapa perkara mengenai pembangunan belia di kawasan Parlimen Kimanis perlu diberi perhatian, termasuk berkaitan isu akses kepada pendidikan, kos sara hidup, perumahan serta berhubung sukan dan belia.

Dalam pada itu, Syed Saddiq meminta ahli Pemuda PAKATAN di Sabah supaya tidak terlalu yakin bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut, walaupun Warisan adalah parti pemerintah di negeri ini.

“Kita perlu kerja keras. Lakukan kerja dengan ikhlas dan pergi jumpa seramai pengundi muda yang boleh, dengar masalah mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: Kerjasama Warisan, PAKATAN, UPKO mampu bawa kejayaan

BEAUFORT, 4 JAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin kerjasama parti itu dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memberi kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata formula kerjasama itu sudah terbukti sebelum ini terutamanya ketika PRK Parlimen Sandakan pada 11 Mei 2019 dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“(Kita) tidak harus selesa dan tidak perlu angkuh dengan cara kita (ketika berkempen). (Yang penting) kita perlu yakin untuk bawa perubahan kepada Sabah dan kita akan lakukan secara baik.

“Saya yakin kerjasama semua parti PAKATAN, sama ada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah kita akan terjemahkan (dengan kemenangan),” katanya yang juga Ketua Menteri Sabah pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Kimanis di sini, hari ini.

PAKATAN adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, UPKO.

Terdahulu, Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari@Jupry Etok mengumumkan PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, yang akan ditentang calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Januari manakala hari pengundian awal pada 14 Januari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN komited bantu calon Warisan menang PRK Kimanis

BEAUFORT, 4 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) komited membantu bagi memastikan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PAKATAN berkata sebagai rakan kepada PAKATAN, pakatan itu akan berusaha agar calon Warisan berkenaan meraih kejayaan tersebut.

PAKATAN adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Ini (PRK Parlimen Kimanis) satu lawan satu antara Warisan dan BN (Barisan Nasional). Selalunya di Sabah ada banyak (calon) Bebas tetapi pada kali ini (berbeza) sebab apabila diumumkan (calon bertanding) tidak ada Bebas. Hanya satu lawan satu.

“Kita (akan bantu) menangkan Karim sebagai calon Warisan yang turut dianggap sebagai calon PAKATAN,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Membakut dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah adalah antara pemimpin kanan PAKATAN bersama Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengiringi Karim ke pusat penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir di sini.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat berkata proses penamaan calon yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini memperlihatkan kematangan dalam kalangan penyokong kedua-dua parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Januari manakala hari pengundian awal pada 14 Januari.

Calon Warisan, Datuk Karim Bujang (kanan) dan calon Barisan Nasional, Datuk Mohamad Alamin (kiri) mengangkat tangan selepas diumumkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis selepas selesai penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir Beaufort pada 4 Januari 2020. Foto BERNAMA

PRK di kawasan Parlimen itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Semalam, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak usaha terakhir Anifah Aman untuk menyemak semula keputusan dibuat mahkamah sama yang membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14, yang menyaksikan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: Patuhi peraturan, etika kempen

KIMANIS, 3 JAN: Semua pihak diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan ataupun wang yang boleh mempengaruhi pengundi adalah salah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengingatkan sebarang tindakan atau pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihan secara bebas juga satu kesalahan di bawah akta sama.

Katanya ia termasuk tindakan atau pernyataan yang bertujuan atau cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum selain yang mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi.

“(Selain itu) tindakan mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi.

“Tindakan atau pernyataan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai dia atau mana-mana orang akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata SPR juga mengingatkan calon atau parti yang diwakili supaya tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Segala arahan pihak berkuasa, terutama daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi,” menurutnya.

Sementara itu, Azhar berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau berkata segala perbuatan membabitkan amalan rasuah harus dilapor kepada SPRM, manakala bagi kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

Beliau juga mengingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi.

“Ini termasuk melalui saluran media sosial. Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuhi peraturan semasa penamaan calon PRK Kimanis – SPR

KOTA KINABALU, 2 JAN: Calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis serta parti politik perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pada hari penamaan calon Sabtu ini (4 Januari), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan mulai 9 pagi sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

Katanya, kertas penamaan calon boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Sekiranya mana-mana bakal calon telah membayar Deposit Pilihan Raya terlebih dahulu, perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, SPR berhasrat agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Beliau mengingatkan semua calon dan parti politik yang terlibat untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan pada hari penamaan calon.

Menurutnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] mengenai larangan semasa penamaan calon.

Antara lain, penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan, katanya.

Azhar berkata, orang ramai serta penyokong parti politik dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Katanya, jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen itu, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sepatutnya.

Menurutnya, parti politik yang terlibat bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa bagi menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan berlangsung dalam suasana yang selesa dan aman.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: BN pilih Ketua UMNO Kimanis sebagai calon

KIMANIS, 1 JAN: Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu.

Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membuat pengumuman calon BN itu pada sidang media di Pusat BN Kimanis di sini, hari ini.

Mohamad, 48, merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada calon Parti Warisan Sabah, Dr Daud Yusof.

Bung Moktar berkata, BN Sabah membuat empat tapisan bagi mencari calon yang menepati kriteria ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

“Mohamad dipilih kerana menepati kriteria ditetapkan dan mampu menjadi pilihan rakyat di Parlimen Kimanis,” katanya.

Sebelum pengumuman dibuat, BN Sabah turut mengadakan mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Mohamad berterima kasih kepada pimpinan BN pusat dan Sabah atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai calon BN pada PRK Parlimen Kimanis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini manakala penamaan calon pada 4 Januari dan pengundian awal pada 14 Januari.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam PRU14 pada Mei 2018.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas menteri luar bertanding atas tiket BN dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi.

Anifah mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018 dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis mengandungi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: Kerja keras pastikan kemenangan calon PAKATAN

KLANG, 31 DIS: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bekerja keras bagi memenangkan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata beliau sendiri akan turun padang memberi sokongan pada hari penamaan calon, 4 Januari ini.

“Saya juga akan hadir pada hari penamaan calon dan jentera kita akan bekerja kuat bagi memastikan calon dari PAKATAN menang,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan Amal Wanita Selangor, Sumbangan Perayaan Krismas oleh Kasih Malaysia dan Penyerahan Geran Tahunan kepada Ketua Kampung dan Ketua Komuniti India di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja di sini hari ini.

PRK Kimanis diadakan berikutan Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai tidak sah dan batal.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen dikemukakan bekas calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu, sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal dan pengundian biasa masing-masing pada 14 dan 18 Januari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: SPR hantar 29,663 kad pengundi

KOTA KINABALU, 31 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 29,663 pengundi, meliputi 29,654 pengundi biasa dan sembilan pengundi awal, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata ia merupakan usaha bagi menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada PRK Parlimen Kimanis yang telah ditetapkan pada 14 Januari bagi pengundian awal dan 18 Januari sebagai hari mengundi.

“Kad pengundi terbabit yang diedarkan bermula semalam (30 Disember), mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

“Pengundi yang menerima kad pengundi ini, tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR, untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih, kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata pada hari mengundi, pengundi diingatkan untuk membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diminta membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih, bagi memudahkan semakan.

Katanya pengundi yang tidak menerima kad pengundi, boleh membuat semakan berkaitan maklumat pengundian, di portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari

PUTRAJAYA, 16 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah pada 18 Januari.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun pada sidang media hari ini berhubung pengurusan pilihan raya kecil itu di sini hari ini berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis itu dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi.

PRU14 menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Anifah bersama calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail memperoleh 1,300 undi.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.

Anifah pula mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018.

PRK Parlimen Kimanis ialah PRK ke-10 diadakan sejak Pakatan Harapan memenangi PRU 14 pada 9 Mei, 2018.

PRK terakhir diadakan sebelum ini ialah PRK Tanjung Piai pada bulan lepas.

-BERNAMA