Categories
NASIONAL

BN pertahan kerusi Parlimen Kimanis

BEAUFORT 18 JAN: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis menerusi kemenangan calonnya, Datuk Mohamad Alamin, 47, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 2,029 undi.

Pegawai Pengurus PRK, Jupery Etok mengumumkan Mohamad diisytihar pemenang dengan memperoleh 12,706 undi, lapor BH ONLINE.

Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan peratusan keluar mengundi pada 79.92 peratus dengan 320 undi ditolak.

Mohamad menewaskan calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang, 66, apabila memperolehi 10,677 undi dalam pertembungan satu lawan satu.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: Pengundi mahu wakil rakyat menang tunai janji

KIMANIS, 18 JAN: Pasangan kembar tiga, Zaki, Zaidi dan Zakaria Muhamud dari Kampung Kelatuan di sini, antara yang mencuri perhatian orang ramai di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan hari ini.

Ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, tiga beradik berumur 34 tahun itu yang tiba dengan gaya sedondon memakai topi memberitahu bahawa mereka tidak pernah ketinggalan mengundi pada setiap kali pilihan raya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008.

Zaidi berkata, mereka bertiga akan datang bersama-sama setiap kali pilihan raya dan tiba awal di pusat mengundi bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Beliau, yang berniaga makanan di Pantai Manis di Pimping, Membakut turut meletakkan harapan tinggi kepada bakal wakil rakyat kawasan berkenaan supaya bersikap “walk the talk” dalam menunaikan janji untuk memastikan hak setiap penduduk di Kimanis terbela.

“Kami anak muda mahu lebih banyak peluang pekerjaan atau platform menambah pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu Zakaria berharap isu pendatang asing di negeri ini dapat ditangani segera oleh pihak yang berkenaan.

“Kehadiran mereka ini membimbangkan dan semakin tidak terkawal. Pihak berkuasa perlu memantau lebih lanjut pergerakan mereka,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Jabatan Air Negeri Sabah.

Sementara itu, seorang warga emas Chung Chin Pin, 80, dari Kampung Kelatuan mahu calon yang menang mengotakan janji ketika berkempen pada PRK itu.

“Kebajikan warga emas jangan diabaikan dan pekebun kecil juga perlu diberi bantuan,” katanya yang mengusahakan tanaman lemon di kawasan Kelatuan.

Sementara itu, Juanis Puduk, 72, seorang pesara poli berkata wakil rakyat yang dipilih hendaklah membawa pembangunan kepada kawasan Kimanis.

Juanis yang berasal dari Kampung Kelatuan, adalah pengundi paling awal tiba di pusat mengundi berkenaan pada 7.32 pagi bersama-sama isterinya Marlina Mantil, 70.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: Pengundian bermula hari ini

KIMANIS, 18 JAN: Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Parlimen Kimanis bermula pada 7.30 pagi ini dan dijangka berakhir 5 petang.

Kawasan pilihan raya kecil itu merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri – Bongawan dan Membakut – dengan seramai 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 68 saluran untuk mempercepatkan proses pengundian.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

PRK itu merupakan yang ke-10 sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifahsebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: 29,619 orang mengundi esok

KIMANIS, 17 JAN: Seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka, esok.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 68 saluran akan dibuka dari 7.30 ‪pagi hingga 5‬ petang bagi membolehkan pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar.

Parlimen Kimanis mempunyai 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan berdasarkan jumlah itu lapan daripada sembilan orang sudah mengundi awal pada Selasa lepas, manakala 35 adalah pengundi pos dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) yang berada di luar negara.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik 653 petugas pilihan raya bagi mengendalikan proses pengundian esok.

Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK Parlimen Kimanis ialah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu adalah kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumumkan sebelum 10 malam.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak hari penamaan calon pada 4 Januari lalu akan berakhir pada 11.59 malam ini (17 Januari).

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu ‪pada 16 Ogos‬ tahun lalu memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: Azmin seru pengundi tolak BN

KIMANIS, 17 JAN: Pengundi bagi Parlimen Kimanis diseru supaya menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian 18 April ni, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden Keadilan itu berkata pengundi tidak perlu membuat keputusan sukar, sebaliknya memilih calon Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Bukan sukar untuk (pengundi) membuat keputusan, kita ada dua pilihan (pertama) parti Warisan yang peduli rakyat dan komited membangunkan Sabah, jadi kita perlu sokong Warisan.

“(Atau) Nak pilih BN yang mana (kebanyakan) pimpinan mereka kini sedang menunggu giliran untuk masuk ke penjara (berdepan pelbagai kes mahkamah),” katanya semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Kimanis di Kampung Pimping, Membakut, malam tadi.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bawa imej parti kerajaan, kajian jangka Warisan rampas Kimanis

SHAH ALAM, 16 JAN: Tinjauan sebuah firma penyelidik menunjukkan Parti Warisan Sabah (Warisan) mendahului dan berupaya merampas kerusi Parlimen Kimanis yang dimenangi Barisan Nasional dalam pilihan raya pada 2018.

Kajian secara tatap muka oleh Ilham Centre pada 11 hingga 14 Januari lalu mendapati imej parti kerajaan memberi kelebihan apatah lagi pengundi cenderung kepada parti pemerintah.

“Pengundi beranggapan penting untuk memilih parti kerajaan supaya kebajikan, kemajuan dan pembangunan mampu dibawa ke kawasan mereka berbanding memilih parti yang bukan pemerintah,” kata firma itu.

Menurut firma itu, pengikut BN dan parti komponennya bersedia memberi undi kepada Warisan susulan penghijrahan beberapa pemimpin.

Kajian sama turut mendapati ciri tradisi politik Sabah berpaksikan personaliti masih memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kempen dan psikologi politik negeri.

“Kepimpinan dan ketokohan (Datuk Seri) Shafie Apdal, strategi menubuhkan parti lokal bersifat kenegerian serta kerjasama strategik dengan parti dalam Pakatan antara faktor utama kenapa BN Sabah yang ditunjangi Umno akhirnya kalah dan kehilangan Kerajaan Negeri,” kata firma itu.

Tinjauan Ilham Centre membabitkan 401 responden yang juga pengundi di Kimanis mewakili etnik, jantina, umur dan lokaliti.

Demografi Kimanis menunjukkan 67 peratus terdiri daripada muslim Bumiputera, bukan muslim Bumiputera (30 peratus), Cina (tiga peratus) dan lain-lain (0.3 peratus).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengundian awal PRK Parlimen Kimanis hari ini

KIMANIS, 14 JAN: Satu saluran mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut di sini mula dibuka 8 pagi ini bagi membolehkan sembilan pengundi awal melibatkan anggota polis menunaikan hak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pusat pengundian awal itu dibuka selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.

SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 18 Jan ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis ‪pada 18 Jan.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut – dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: Armada optimis Warisan mampu tewaskan BN

KOTA BHARU, 13 JAN: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) optimis calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari ini.

Ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata berdasarkan prestasi kerajaan Sabah ketika ini, tidak ada sebab pengundi di Parlimen Kimanis akan menolak Warisan yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Banyak pembaharuan di Sabah sejak Warisan mengambil alih kerajaan negeri dan ini sudah tentunya memberi impak baik di Kimanis dan insya-Allah Warisan mampu memperoleh kemenangan yang baik.

“Saya juga sudah beberapa kali ke Kimanis dan saya lihat semua pihak bertungkus lumus membantu Warisan untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas program Rapat Umum Kelantan bersama beliau di sini, malam tadi.

Pada PRK Kimanis 18 Januari ini, Karim, 67, akan dicabar calon BN Datuk Mohamad Alamin, 48.

Mengulas mengenai majlis itu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Kelantan merupakan negeri pertama diadakan jelajah rapat umum itu sebelum ke seluruh negara selepas ini.

“Saya akan ke seluruh negara untuk bertemu anak-anak muda untuk mendengar suara mereka dan Armada akan menyusun gerakan yang lebih tersusun untuk tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menjawab beberapa soalan mengenai situasi politik semasa menerusi sesi dialog.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis uji kesetiaan PPBM terhadap Warisan – Muhyiddin

KIMANIS, 12 JAN: Penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi bagi memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari ini.

Justeru, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pimpinan dan ahli parti berkenaan khususnya di negeri ini memberi tumpuan dan perhatian bagi membantu dan melaksana tanggungjawab tersebut atas dasar persahabatan yang akrab dengan parti tempatan Sabah itu.

“Situasi ini (PRK) penting dan perlu kita tunjuk semangat setiakawan antara Bersatu dan Warisan serta parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Persahabatan kita (Bersatu) dengan Warisan adalah serius. Kebetulan berlaku ketika PRK (Parlimen Kimanis) yang menguji kesetiaan kita untuk membantu Warisan menang,” katanya pada majlis santai petang Bersatu Sabah di kediaman Ketua Bahagian Bersatu Kimanis Datuk Mohd Arifin Mohd Arif di Membakut di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden PAKATAN berkata masa depan Sabah adalah penting kerana gabungan pakatan itu mempunyai tanggungjawab dan perancangan yang perlu ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan di negeri ini.

“Sejak menang pada Pilihan Raya Umum lepas, kita diberi amanah dan rakyat mahu melihat usaha selesaikan masalah dan kehidupan lebih baik dari masa lampau (semasa kerajaan Barisan Nasional).

“Kami di (kerajaan) pusat dan negeri (di bawah Warisan) memberi komitmen bersama-sama kepada usaha ini…yang penting kerjasama erat untuk menentukan tindakan disusun di Sabah dapat dilaksana dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan PAKATAN tidak terpesong dengan matlamat untuk memulihkan keadaan negara ini yang ditinggalkan oleh BN dengan beban hutang, gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata walaupun pembangkang sering membangkitkan pencapaian kerajaan di bawah PAKATAN, mereka jangan lupa dengan tinggalan hutang mereka selama 61 tahun memerintah negara.

“Sebab itu rakyat perlu faham bahawa kita tidak terpesong dengan matlamat untuk memulihkan keadaan negara dan ini juga memerlukan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya.

Pada PRK Kimanis 18 Januari ini, Karim, 67, akan dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48 tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kempen di Kimanis semakin rancak dengan pelbagai isu

KIMANIS, 11 JAN: Tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang memasuki fasa kedua hari ini semakin rancak dengan kedua-dua calon bertanding memperhebatkan usaha untuk menambat hati pengundi melalui setiap peluang yang ada.

Selepas tujuh daripada 14 hari tempoh kempen PRK itu berlangsung semalam, kedua-dua parti bertanding iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) semakin giat mengadakan ceramah dan perjumpaan bagi menyampaikan mesej kepada pengundi selain menangkis serangan daripada pihak lawan.

Selain deretan bendera putih dan biru, kawasan sekitar Kimanis juga semakin sibuk dan meriah apabila kenderaan pacuan empat roda milik jentera kempen kedua-dua parti politik mula memasuki kawasan-kawasan yang disasarkan.

Kehangatan suasana kempen juga dirasai apabila kedua-dua parti saling berdebat berhubung dasar dan rekod prestasi masing-masing dengan isu seperti Pas Sementara Sabah (PSS) dan Lebuhraya Pan Borneo, di samping menyentuh aspek pembangunan negeri.

Bagi calon Warisan Datuk Karim Bujang, beliau berpuas hati dengan gerak kerja yang ditunjukkan jentera Warisan setakat ini, termasuk dengan bantuan rakan sekutu mereka, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya gembira dengan perkembangan mutakhir ini, mudah-mudahan dalam masa berbaki beberapa hari lagi (berkempen), kita akan terus tingkatkan prestasi kerja.

“(Saya juga mendapati) Sokongan (pengundi) amat menggalakkan apabila mereka keluar beramai-ramai di tempat perjumpaan dan ceramah kita,” menurutnya.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan BN.

Warisan mempertaruhkan Karim, 67, manakala BN meletakkan Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

Pensyarah Geografi Politik, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Fadilah Sarbi berpendapat kedua-dua parti kini masih dalam ‘kajian’ untuk mengklasifikasikan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) mana bakal dimenangi dan kawasan mana memerlukan lebih perhatian.

“Saya pasti parti yang bertanding mempunyai strategi tersendiri dan cara paling sesuai untuk pecutan terakhir ini adalah untuk terus dekati pengundi dengan pelbagai pendekatan.

“(Tetapi) parti juga harus ingat bahawa pertarungan ini bukan hanya di lapangan tetapi di media sosial. Jentera media sosial parti juga perlu memainkan peranan kerana ini adalah platform bagi pengundi yang berada di luar kawasan untuk mendapatkan akses dan maklumat,” katanya.

SPR menetapkan hari pengundian pada 18 Januari manakala pengundian awal pada 14 Januari. Tempoh berkempen bagi PRK Kimanis adalah 14 hari bermula selepas penamaan calon pada 4 Januari dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 17 Januari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: Jangan percaya helah pembangkang burukkan PM

KIMANIS, 8 JAN: Rakyat Sabah diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pelbagai tuduhan pembangkang yang sengaja memburukkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Dr Mahathir adalah pemimpin yang memahami kehendak dan aspirasi negeri ini dan banyak kebaikan yang sudah dilakukan kepada Sabah.

“Misalnya saya minta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) itu dikembalikan kepada Sabah, dan beliau (Dr Mahathir) meluluskan. Begitu juga pengurusan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di Semporna, sebelum ini mengurusnya bukan kita (Sabah) tetapi Majlis Keselamatan Negara.

“Kita minta dengan Tun Dr Mahathir, tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dia putuskan pengurusan dan pentadbiran pulau itu diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Krismas di Kuala Pos Bongawan Estate dekat sini, semalam.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), berkata terdapat banyak lagi rundingan dilakukan kerajaan Sabah bersama Dr Mahathir.

“Banyak sudah kita (Sabah) minta, tetapi tidak cukup. Maknanya apa yang rakyat bagi undi dengan kita (pada Pilihan Raya Umum Ke-14), sedikit sebanyak dalam satu tahun lebih (memerintah) sudah ada hasil,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksana di kawasan Parlimen Kimanis, penduduk perlu menterjemahkan sokongan dengan mengundi dan memberi kemenangan kepada calon Warisan Datuk Karim Bujang pada PRK Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan hari pengundian awal pada 14 Januari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: SPR keluarkan 36 kertas undi pos

BEAUFORT, 5 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan sebanyak 36 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan berkata pengeluaran kertas undi pos itu bermula pada jam 11 pagi dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Pejabat Daerah Beaufort di sini.

“Daripada jumlah itu, 35 pengundi adalah petugas pilihan raya dan pegawai SPR, manakala terdapat seorang Pengundi Tidak Hadir (PTH) yang merupakan penjawat awam berkhidmat di luar negara,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) diwakili Datuk Karim Bujang yang ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata tiada permohonan pengundi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan) diterima.

Katanya pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada BN serta Warisan, dan disiarkan secara langsung atau ‘live streaming’ di Facebook SPR bagi menunjukkan proses tersebut dilakukan secara telus dan adil.

Selain itu, beliau berkata ia juga bertujuan meningkatkan lagi kefahaman masyarakat mengenai proses pilihan raya.

Beliau berkata tiga sampul undi pos iaitu satu sampul keutamaan PTH dan dua sampul keutamaan Petugas SPR diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama (hari ini) untuk dihantar kepada pengundi berkenaan.

Sementara, 33 sampul keutamaan undi pos bagi petugas SPR yang lain juga akan diserahkan oleh Pegawai Pengurus melalui serahan tangan mulai hari ini selepas tamat proses pengeluaran kertas undi pos, katanya.

SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis sebelum jam 5 petang pada hari pengundian 18 Januari ini.

Azhar berkata pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Sekiranya perbuatan itu dilakukan, tindakan undang-undang boleh diambil dan jika didapati bersalah dan disabitkan boleh dikenakan hukuman sewajarnya, kata beliau.

-BERNAMA