Categories
NASIONAL

Anwar hubungi Mahathir selepas menang PRK Port Dickson

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 13 OKT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad gembira dengan keputusan kemenangan PRK Port Dickson sekaligus mengesahkan kembalinya ke Parlimen, Isnin ini.

 

“Saya baru menghubungi Tun Mahathir dan beliau amat gembira dengan keputusan tersebut, saya percaya semangat muafakat Pakatan Harapan (PAKATAN) dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PD Waterfront, malam ini.

Anwar yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Isnin ini yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Katanya, beliau tidak sabar untuk berkhidmat bersama rakan yang lebih senior termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menjadikan agenda reformasi berkesan.

 

Categories
NASIONAL

Kemenangan luar jangka, undi Melayu dan Tentera meningkat

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menggambarkan kepercayaan pengundi kepada Pakatan Harapan (Pakatan).

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga tidak menyangka keputusan yang diterima kerana undi popular Pilihan Raya Umum hanya mencecah 48 peratus berbanding PRK kali ini iaitu 70 peratus.

“Pengundi di Port Dickson ini memberikan kepercayaan kepada saya dan Pakatan.

“Keputusan ini cukup memuaskan hati kami yang bertungkus lumus bekerja sama ada di peringkat pusat mahupun negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya, di Bilik Gerakan Utama, di sini.

Anwar turut berpuas hati dengan kemenangan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini tewas.

Malah, katanya, undi Melayu di beberapa kawasan tewas turut menang besar pada PRK itu.

“Dua DUN ini kira menang dengan penuh bergaya. Kita perhatikan juga undi Melayu yang memihak kepada kita.

“Manakala, undi tentera yang tidak memihak kepada kita dahulu kini bertambah 122 peratus,” katanya.

Pada PRK kali ini, Anwar meraih undi sebanyak 31,016.

Majoriti undi yang diterimanya iaitu sebanyak 23,560 melebihi undi majoriti diperoleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu iaitu hanya 17,710.

Categories
NASIONAL

Lima calon bebas hilang deposit

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 13 OKT: Kelima-lima calon bebas hilang deposit selepas bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Katanya, calon tersebut termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang memperolehi undi sebanyak 4,207 undi.

“Begitu juga bagi Saiful Bukhari Azlan, 82 undi, Lau Seck Yan, 214, Kan Chee Yuen 154 dan Stevie Chan, 353.

“Namun calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar tidak kehilangan deposit kali ini,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman PRK Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini.

Pada masa sama, Azhar berkata, kesemua calon bebas menjalankan kempen selama 14 hari dengan baik dan lancar.

“Ia membuktikan amalan demokrasi matang dan saya berharap supaya amalan ini akan diteruskan dengan baik dalam pilihan raya seterusnya,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Port Dickson: Anwar Ibrahim menang dengan majoriti lebih besar

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan meraih undi sebanyak 31,016.

Majoriti undi yang diterimanya iaitu sebanyak 23,560 melebihi undi majoriti diperoleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu iaitu hanya 17,710.

Pegawai Pengurus Pilihanraya, Khairy Maamor memaklumkan secara rasminya di Pusat Penjumlahan Undi Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Anwar juga akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Isnin ini yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRK kali ini, selain Anwar, Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad; Calon Pas Mohd Nazari Mokhtar dan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan.

Manakala, tiga calon bebas yang lain adalah Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Stevie Chan.

Pada pengumuman itu juga, Isa memperolehi 4,207 undi, Saiful 82, Nazari 7,431, Kar Chee 154 dan Stevie 353 serta Lau Seck 214.

KEPUTUSAN/RESULT – NEGERI SEMBILAN
P132: PORT DICKSON: 75,770
1. ANWAR IBRAHIM (PAKATAN HARAPAN) 31,016
2. Lau Seck Yan (BEBAS) 214  
3. Saiful Bukhari Azlan (BEBAS) 82
4. Lt. Kol (B) Hj Nazari (PAS) 7,456
5. Tan Sri Mohd Isa Bin Abdul Samad (BEBAS) 4,230
6. Stevie Chan (BEBAS) 337
7. Kan Chee Yuen (BEBAS) 154
Jumlah mengundi/Votes Cast 43,489
Peratus/Percentage 58.2 %
Undi ditolak 598
Undi tidak dikembalikan 49
Majoriti/Majority 23,560
Penyandang/Incumbent: Daniyal Balagopal Abdullah (PKR)
Undi diperolehi/Votes polled: 36,225
Majoriti/Majority : 17,710
Categories
NASIONAL

Media mula penuhi dewan pengiraan undi sejak jam 5 petang

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 13 OKT: Pengamal media tempatan dan luar negara mula memenuhi dewan pengiraan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sejak jam 5 petang lagi.

Ia berikutan keadaan jalan raya yang sesak menyukarkan orang ramai untuk ke Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Tambah sukar apabila keadaan dewan agak sempit menyebabkan pengamal media sukar mendapatkan tempat untuk membuat liputan.

PRK Port Dickson yang berlangsung hari ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), PAS dan Bebas.

PAS mempertaruhkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, sementara lima calon yang bertanding atas tiket Bebas adalah Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.

Categories
NASIONAL

Penyokong patuhi arahan SPR, elak salah laku

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Penyokong parti KEADILAN dinasihatkan mematuhi arahan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) supaya tidak menjalankan aktiviti yang ditafsirkan sebagai berkempen.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, hal itu kerana terdapat teguran SPR yang dikatakan menyalahi peraturan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Katanya, aktiviti berkempen juga sudah tamat pada jam 12 tengah malam tadi.

“Penyokong atau jentera parti tidak seharusnya memegang bendera hampir dengan tempat mengundi.

“Mereka perlu memastikan berada sekurang-kurangnya 50 meter dari tempat mengundi bagi mengelakkan salah laku dan aktiviti berkempen.

“Jika dulu Malaysia lama bertindak menarik pengundi di pintu masuk dan masih berkempen, namun Malaysia ketika ini perlu menghentikan aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang mediannya di Bilik Gerakan Utama, di sini.

Pada masa sama, Fahmi berkata parti KEADILAN juga tidak mengarah-arahkan penyokong atau jentera berkempen pada hari ini.

Terdahulu, SPR memberi amaran kepada parti politik tidak lagi menggunakan barang kempen pada hari pengundian.

Pengerusinya, Azhar Azizan@Harun berkata, hal itu kerana beliau menerima aduan terdapat dua parti politik yang berbuat demikian.

Categories
NASIONAL

Anwar punya harapan cerah di Port Dickson – Ilham Centre

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 13 OKT : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki peluang paling besar untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, malam ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal berkata, pihaknya mendapati calon PAKATAN itu tidak berdepan saingan sengit daripada enam calon lain.

Katanya, Anwar hanya akan dicabar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, sementara calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar pula bakal hilang deposit.

“Anwar kekal menjadi calon tunggal paling terkehadapan dalam siri kempen yang dilakukan dengan gerak kerja kempen lebih tersusun, jentera yang berpusat di setiap pusat pengundian dan variasi bahan kempen yang boleh dilihat sekitar Port Dickson.

“Dapatan kajian menunjukkan 64 peratus pengundi menerima Anwar yang memilih Port Dickson sebagai tapak untuk beliau menggalas jawatan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam kenyataan.

Categories
NASIONAL

‘Buggy’ bantu pengundi di Kampung Baru Si Rusa

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 13 OKT: Pengundi Kampung Baru Si Rusa menarik nafas lega berikutan pusat mengundi di situ menyediakan perkhidmatan ‘buggy’ buat mereka.

Tinjauan SelangorKini mendapati, rata-rata warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menggunakan perkhidmatan itu untuk ke bilik mengundi yang terletak kira-kira 200 meter dari pintu masuk Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa.

Salah seorang warga emas, Radziah Ariffin, 67 berkata, dia gembira kerana kerajaan menyediakan kemudahan buat orang tua sepertinya.

“Kaki makcik selalu sakit, bila dapat naik kereta sebegini, barulah lega sedikit tak perlu jalan jauh-jauh,” katanya.

Salah seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di situ memberitahu, sebanyak dua ‘buggy’ disediakan di sekolah berkenaan.

“Perkhidmatan ini juga disediakan di beberapa tempat lain, ia bermula dari jam 8 pagi hingga tamat mengundi pada jam 5.30 petang nanti,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

PRK Port Dickson: Anwar doa yang terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Calon Pakatan Harapan (Pakatan) P 132, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin peratusan mengundi meningkat dari masa ke semasa.

Katanya, peratusan peningkatan itu dilihat daripada sambutan sesetengah tempat.

“Saya tidak dapat menjangkakan berapa peratus tetapi dari kita lihat ia akan meningkat.

“Ini berdasarkan sambutan yang diterima sesetengah pusat mengundi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat mengundi di Sek Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa, di sini.

Anwar turut mendoakan yang terbaik pada pengundian hari ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan sebanyak 17 peratus keluar mengundi pada jam 10 lagi tadi.

SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pihaknya akan melaksanakan ‘Jom Kita Undi’ melalui pelnagai saluran media di lokasi-lokasi strategik di tempat tumpuan awam.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Keputusan PRK berkenaan dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.

Seramai 1,403 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan di 32 pusat pengundian itu.

Sebanyak 32 pusat mengundi, 154 saluran mula dibuka di Parlimen Port Dickson seawal 8 pagi tadi.

Pada PRK P 132 Port Dickson ini, seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018.

Categories
NASIONAL

32 pusat mengundi PRK Port Dickson dibuka 8 pagi

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Sebanyak 32 pusat mengundi, 154 saluran mula dibuka di Parlimen Port Dickson seawal 8 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P 132 Port Dickson ini, seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemaskini sehingga 11 September lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memaklumkan pemilih berdaftar itu terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

Terdahulu, PRK kali ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta iaitu melebihi PRK lalu kerana Parlimen ini mengandungi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya di mana kawasannya agak luas.

SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pihaknya akan melaksanakan ‘Jom Kita Undi’ melalui pelnagai saluran media di lokasi-lokasi strategik di tempat tumpuan awam.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Keputusan PRK berkenaan dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.

Seramai 1,403 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan di 32 pusat pengundian itu.

Manakala, seramai 800 anggota polis ditugaskan menjaga perjalanan proses pengundian itu termasuk dalam aspek keselamatan lalu lintas.

 

Categories
NASIONAL

Hari penentuan PRK Port Dickson bermula

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 13 OKT: Akhirnya hari penentuan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bermula hari ini.

Tinjauan SelangorKini mendapati keadaan cuaca pagi ini mendung dengan hujan renyai-renyai.

Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) turut meramalkan keadaan cuaca mendung pada pagi ini namun kemudiannya berubah ribut petir pada petang.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon buat PRK Port Dickson pada 29 September, dengan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari.

Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi akan dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, sementara Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus PRK kali ini.

Daftar pemilih dimaklumkan seramai 75,770 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Amirudin: Keluar mengundi pada PRK istimewa

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari, menyeru pengundi P.132 Port Dickson turun menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan, beberapa jam lagi.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, PRK Port Dickson agak istimewa kerana Pakatan Harapan (PAKATAN) menawarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Datuk Seri Anwar juga adalah calon Perdana Menteri kelapan. Jadi,saya harap orang Port Dickson akan turun memberikan undi.

“Jika rasa tertarik untuk memilih Perdana Menteri dari Port Dickson, maka pilihlah Datuk Seri Anwar,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada lawatan kerja beliau, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, semua ejen calon khususnya daripada PAKATAN juga perlu berhati-hati dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin bagi kelancaran PRK Port Dickson.

“Elak mengeluarkan sebarang provokasi khususnya daripada ejen yang tidak bertanggungjawab. Walaupun pertandingan ini membabitkan tujuh penjuru tetapi kita tidak anggap mudah atau pandang mudah.

“Namun, dengan keupayaan dan kemampuan PAKATAN juga jentera kami, maka saya kira kita akan berdepan dengan laluan mudah jika semua pihak melaksanakan tanggungjawab yang diberikan untuk memastikan kemenangan PAKATAN kekal, di Port Dickson,” katanya.