Categories
NASIONAL

Anwar dengar keluhan pemandu teksi Port Dickson

PORT DICKSON, 2 OKT: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim hari meneruskan siri kempennya dengan bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat di pusat bandar Port Dickson.

Memasuki hari keempat berkempen, beliau meluangkan masa hampir dua jam pagi ini mengunjungi premis perniagaan dan bertemu orang ramai termasuk pemandu teksi yang menjadi penggerak industri pelancongan di sini.

Pada pertemuan dengan kira-kira 30 anggota Persatuan Kebajikan Tuanpunya dan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Port Dickson, Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN mengambil kesempatan mendengar rintihan pemandu-pemandu teksi yang menghadapi persaingan dengan perkhidmatan e-hailing.

Pengerusi persatuan itu, Rosli Latif, 55, berkata dalam pertemuan itu beliau menyuarakan perasaan sedih ahli persatuannya mengenai situasi semasa yang dihadapi pemandu teksi dan berharap tindakan sewajarnya diambil bagi memberi keadilan kepada mereka.

“Kami bukan mahu e-hailing dihentikan, tetapi biarlah mengikut sistem yang diguna pakai oleh pengusaha teksi seperti membawa kenderaan melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan pemandu perlu melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada pemberita.

Beliau turut mengadu bahawa sejak perkhidmatan e-hailing beroperasi, pendapatan pemandu teksi berkurangan ekoran pengunjung yang datang ke Port Dickson lebih gemar memilih perkhidmatan e-hailing.

“Sebelum ini, pendapatan pengusaha teksi di daerah ini boleh menampung perbelanjaan dengan pendapatan kira-kira RM100 sehari, tetapi kali ini kita hanya dapat satu hingga dua trip untuk satu hari dengan pendapatan harian kini menjadi RM20 sahaja,” katanya.

Rosli berkata, Anwar memberi reaksi positif terhadap permasalahan itu dan berjanji akan membawa perkara itu ke Parlimen sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu nanti.

PRK Port Dickson ditetapkan 13 Okt susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar, yang telah menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, untuk kembali ke Parlimen.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Port Dickson: BERSIH 2.0 lancar pemantauan dan ikrar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 OKT: BERSIH 2.0 mengambil inisiatif menyediakan ikrar pilihan raya bersih dan adil bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan berkata, ikrar itu akan dihantar kepada semua calon PRK Port Dickson dan mereka perlu memulangkannya semula dalam tempoh tiga hari.

Katanya, ia bertujuan memberi penegasan dan peringatan kepada semua calon supaya komited terhadap pilihan raya bersih dan adil serta tidak melakukan kesalahan pilihan raya.

“Ikrar ini akan dihantar kepada semua calon pada 1 Oktober (hari ini) dan BERSIH 2.0 akan memberi tempoh tiga hari untuk semua calon menandatangani ikrar berkenaan serta diserahkan semula kepada BERSIH 2.0.

“BERSIH 2.0 menyeru semua pihak termasuk calon, parti politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan supaya mematuhi peraturan pilihan raya serta memastikan PRK Port Dickson dijalankan dengan bersih juga adil,” katanya.

Di samping itu, BERSIH 2.0 juga akan menjalankan pemerhatian terhadap SPR, parti politik dan calon dalam proses penamaan calon, kempen pilihan raya serta mengundi yang akan diadakan, pada 13 Oktober ini.

Katanya, fokus pemerhatian terarah kepada 10 aspek antaranya rasuah dan beli undi, penjamuan makanan dan pemberian hadiah, pemberian dan pengaruh tidak wajar oleh kerajaan, penggunaan aset kerajaan untuk kempen pilihan raya serta perbelanjaan berlebihan.

“Selain itu, pemantauan turut membabitkan intimidasi, keganasan, dan gangguan dalam kempen, kelakuan berat sebelah pegawai institusi awam, undi awal dan undi pos, masalah daftar pemilih dan pengundi hantu serta masalah pada hari mengundi,” katanya.

Orang awam boleh membuat aduan kepada BERSIH 2.0 jika mendapati sebarang kesalahan pilihan raya melalui laman sesawang aduan.pemantau.org atau menghubungi 03-7931 4444, 017-2537917 atau 017-253 7923 (whatsapp) serta email [email protected]

Categories
NASIONAL

Sentimen pengundi Port Dickson terhadap Anwar positif

PORT DICKSON, 30 SEPT: Sentimen masyarakat Port Dickson terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, dilihat positif berdasarkan dapatan awal kaji selidik yang dijalankan PKR.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata kaji selidik yang dijangka siap dalam tempoh beberapa hari lagi itu bertujuan mengetahui penerimaan pengundi tempatan terhadap Ketua Umum PKR itu.

“Dapatan awal kaji selidik kita nampak sentimen pengundi adalah positif terhadap Anwar dan ramai menyatakan kesediaan menerima beliau sebagai anggota Parlimen di sini, malah mereka teruja untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

“Selain itu, berdasarkan kehadiran penduduk pada hari penamaan calon semalam dan program parti pada hari pertama berkempen, kita dapati sambutan dan minat pengundi terhadap PH adalah baik dan memuaskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Fahmi berkata semua program kempen Anwar bagi tempoh berkempen sebelum hari pengundian 13 Okt ini akan diperhebat dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk kempen dari rumah ke rumah.

Katanya, kempen menerusi media sosial juga akan digunakan sepenuhnya terutama bagi mengajak kira-kira 30 peratus pengundi Port Dickson yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi.

Ahmad Fahmi, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap kemungkinan penyebaran berita palsu mengenai Anwar menerusi media sosial sepanjang tempoh kempen.

 

Beliau bagaimanapun berkata ia berlaku namun amaran awal perlu dinyatakan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan berita seumpama itu.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru melibatkan PH, PAS dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PRK Port Dickson: Anwar tidak akan umum peruntukan semasa kempen

PORT DICKSON, 30 SEPT: Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan menggunakan pendekatan kempen seperti kerajaan sebelum ini yang mengumumkan peruntukan dan projek setiap kali pilihan raya bagi meraih sokongan.

“Walaupun isteri saya memegang jawatan timbalan perdana menteri dan kerajaan persekutuan serta negeri ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), saya tidak akan mengumumkan sebarang peruntukan atau projek dalam kempen saya.

“Tadi saya pergi ke kuil Sikh, sebelum itu ke pesta Tanglung, esok ke tokong Cina, kemudian masjid saya tidak akan umum peruntukan atau projek sebab saya tidak mahu orang cakap Anwar menang sebab peruntukan atau projek kerajaan.

“Saya mahu pengundi beri kepercayaan kepada saya, apabila menang nanti Insyallah anda akan tengok ada perubahan di Port Dickson ini,” katanya semasa menyampaikan ceramah di Pasir Panjang, di sini, malam tadi.

Ia adalah pendekatan politik baharu kerajaan PH yang bersandarkan kepada kepercayaan pengundi terhadap calonnya dan tidak akan menggunakan pendekatan politik lama yang diamalkan kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu lagi ceramah di Bagan Pinang pula, Anwar berkata beliau berhasrat untuk memperkenal satu program khas bagi pembangunan pendidikan di Port Dickson.

Perkara itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat adalah inisiatifnya secara peribadi tanpa melibatkan kerajaan negeri.

“Saya percaya program ini akan memberi manfaat besar kepada Port Dickson dan ia saya lakukan hanya untuk Port Dickson sahaja, kawasan lain mungkin kemudian,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar tumpu pembangunan Port Dickson

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 29 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mencampuri urusan pencalonan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Sebaliknya, beliau mahu menumpukan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan.

“Saya tidak mahu campur soal itu. Saya hanya mahu menumpukan kerja saya di sini dan saya pasti kepimpinan juga mengambil keputusan yang sama,” katanya dalam sidang media selepas penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Ketika ditanya pertandingan tujuh penjuru pada PRK itu, beliau mahu kesemua jenteranya bekerja keras memastikan kemenangan Pakatan.

Katanya, ketika ini beliau menerima sokongan kuat daripada semua gabungan antaranya BERSATU, DAP dan AMANAH.

“Saya tidak menganggap laluan mana-mana pilihanraya itu mudah.

“Saya mengambil pandangan sengit atau tidak kita perlu kerja kuat dan saya berterima kasih kepada semua jentera dan penyokong yang memberi sokongan penuh pada pilihanraya kali ini,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) P 132 Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru diantara Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS dan lima orang calon bebas.

Antara calon yang akan bertanding selain Anwar dan Saiful adalah, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Manakala, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong bertanding tiket bebas, selain Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Port Dickson: Pertembungan tujuh penjuru

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 29 SEPT: Pilihan Raya Kecil (PRK) P 132 Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru diantara Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS dan lima orang calon bebas.

Terdahulu, Anwar yang memakai sepasang baju Melayu biru KEADILAN memasuki dewan penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson dan menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.11 pagi.

Calon Pakatan Harapan (Pakatan) itu bakal turut berdepan dengan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (9.16 pagi).

Pertembungan Anwar dan Saiful itu dilaporkan kali pertama selepas kes mahkamah mereka.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad (9.01 pagi) menawarkan diri untuk memberi saingan atas tiket bebas selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan memboikot pilihan raya itu.

Manakala, calon PAS pula ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (9.04 pagi)

Personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong (9.04 pagi) bertanding tiket bebas, selain Lau Seck Yan (9.02 pagi) dan Kan Chee Yuen (9.06 pagi).

Pegawai Pengurus PRK, Khairy Maamor dalam pengumumannya memaklumkan kesemua calon layak bertanding pada PRK kali ini.

Proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson bermula jam 9 pagi.

Kerusi Port Dickson kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Danyal menang dengan majoriti 17,710 menewaskan calon BN, Datuk VS Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU-14.

Tiga PRK yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, semuanya di Selangor.

Kira-kira jam 8 pagi tadi, kira-kira 1,000 penyokong Pakatan berarak ke pusat penamaan calon, melaungkan reformasi dan memukul gendang.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari turut hadir.

Categories
NASIONAL

Saiful bertanding, Anwar enggan komen

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 28 SEPT: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberi komen berhubung hasrat Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, esok.

Ketika ditanya berkenaan hasrat itu, beliau hanya mengangkat bahu.

Terdahulu, beliau menghadiri Perasmian Bilik Gerakan Utama dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan, di PD Waterfront, di sini.

Hadir sama, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Saiful, 33, sebelum itu berkata keputusannya untuk menjadi calon tidak ada kaitan dengan isu peribadi atau politik kepartian, tetapi meraikan demokrasi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu penyokong parti itu bahawa pihaknya akan menjalan kempen secara bersih tanpa menyerang peribadi mana-mana individu.

Pada masa sama, difahamkan, PRK terbabit akan ditandingi tujuh penjuru termasuk Tan Sri Isa Samad atas tiket bebas.

Categories
NASIONAL

Tak patut boikot PRK PD tetapi hormati hak demokrasi BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 SEPT: Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) kerusi terbabit, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, beliau menghormati hak demokrasi parti itu.

“Sepatutnya tidak harus boikot tetapi tak apalah ini negeri demokrasi, bertanding atau tidak itu hak mereka,” kata Anwar pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Biro Politik di ibu pejabat KEADILAN di sini, malam tadi.

Anwar berkata, beliau dan PAKATAN tetap akan bekerja keras pada kempen PRK Port Dickson nanti walaupun tanpa kehadiran BN.

Sementara itu pada sidang media sama, Anwar mengumumkan Ketua PAKATAN Negeri Sembilan merangkap Menteri Besar, Aminuddin Harun dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Parlimen Port Dickson.

Categories
NASIONAL

PRK PD: Anwar alukan pertandingan tetapi gembira jika tiada

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak meletakkan calon di kerusi itu.

Anwar berkata, bagaimanapun beliau masih tetap perlu berhadapan dengan calon bebas pada PRK itu.

“Sudah tentu saya mengalukan pertandingan tetapi saya gembira (jika) tiada pertandingan namun saya masih berhadapan dengan calon bebas,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan bertajuk Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa pada program Syarahan Negarawan 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Anwar berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak berhak meletakkan calon pada PRK Port Dickson.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan memboikot serta tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata

Presiden UMNO itu berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC.