Categories
NASIONAL

‘Ok’ jika bukan pancing undi

PUTRAJAYA, 15 FEB: Aktiviti kerajaan yang berlangsung di Semenyih secara amnya tidak dianggap sebagai pelanggaran undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, hal itu kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berlangsung dalam keadaan kerajaan wujud dan DUN Selangor tidak dibubarkan.

“Bila kerajaan wujud akan terdapat aktiviti kerajaan. Kalau aktiviti itu digunakan untuk mengumpan undi, maka ia akan menjadi isu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kehadiran ramai anggota kabinet di Semenyih yang bakal menghadapi PRK, pada 2 Mac ini.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan muktamad berkenaan perkara itu terletak di tangan mahkamah jika ia dibawa ke muka pengadilan.

Ditanya berkenaan persiapan PRK DUN Semenyih, Azhar berkata, suruhanjaya itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRK yang membabitkan kos RM1.8 juta dan 992 petugas serta PRK keenam sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei 2018.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Khalid: PRK Semenyih penanda aras sokongan rakyat pada PAKATAN

PUTRAJAYA, 9 FEB: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini akan menjadi penanda aras sejauh manakah sokongan rakyat terhadap prestasi kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, PRK itu adalah pengukur sama ada ramalan firma penyelidikan, Fitch Solution bahawa populariti PH akan merosot atau sebaliknya.

“(PRK) Semenyih memang akan jadi penanda sejauh mana sokongan rakyat kepada PAKATAN, sama ada merosot atau sebaliknya.

“Kalau dilihat dari satu sudut, sekiranya (sokongan rakyat) merosot atas sebab prestasi kerajaan PAKATAN, ini adalah tidak seperti yang diharapkan, ia perlu difahami kerana kerajaan masih baharu dan masih perlu menangani pelbagai masalah yang telah diwarisi (dari kerajaan terdahulu).

“Jadi tanggapan bahawa kita (kerajaan PAKATAN) tidak ‘deliver’, ia memang adalah tanggapan kuat di kalangan masyarakat tetapi itu boleh ditangani dalam tahun-tahun dan masa akan datang. Tidak semestinya, sekiranya merosot ia adalah petanda apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Khalid berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran tasik Presint 1, di sini, hari ini.

Pertandingan Memancing Putrajaya adalah acara tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu disertai kira-kira 1,800 kaki pancing dari seluruh negara.

Baru-baru ini, media melaporkan Fitch Solution meramalkan populariti PAKATAN dijangka merudum dalam beberapa bulan akan datang kerana antara lain disebabkan perbalahan dalam gabungan politik itu dan kerajaan tidak membantu mengurangkan kos hidup.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, jangkaan dan harapan rakyat begitu tinggi ketika PAKATAN mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan selepas sembilan bulan rakyat mengharapkan segalanya berubah.

“Itu agak mustahil untuk kita lakukan dengan kadar sebegitu segera tetapi apa yang dijanjikan masih lagi menjadi sasaran dan akan kita usahakan.

“Cuma tempoh masa untuk dilaksanakan mungkin memerlukan sedikit masa kerana banyak lagi benda yang kita ‘warisi’ perlu kita selesaikan dengan baik,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPR tingkat ketelusan, siar proses PRK di ‘FB live’

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berusaha meningkatkan ketelusan di samping memberi pendedahan dan kesedaran berterusan kepada masyarakat berhubung proses pilihan raya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, antara langkah diambil ialah menyiarkan siaran langsung menerusi laman sosial facebook (FB live) proses pengiraan undi dan pengumuman keputusan pilihan raya.

“Seperti yang dilaksanakan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, PRK Semenyih juga SPR akan menyiarkan secara langsung menerusi ‘fb live’ di laman facebook SPR mengenai proses penamaan calon, pengeluaran kertas undi pos, pengundian, semakan isi peti undi, pengiraan undi dan pengumuman keputusan.

“Di samping itu, SPR juga akan menyiarkan keputusan awal PRK kepada umum iaitu keputusan yang tertakluk kepada pengesahan melalui portal SPR dan paparan skrin di pusat penjumlahan pndi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SPR di Menara SPR di sini, hari ini.

Azhar Azizan berkata, SPR turut menawarkan kepada mana-mana badan bukan kerajaan atau individu berkelayakan yang berminat menjalankan pemerhatian ke atas proses PRK bermula penamaan calon sehingga keputusan diumumkan.

Katanya, pemerhati itu akan dibenarkan memantau di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Mana-mana badan atau individu berminat untuk menjadi pemerhati PRK boleh mengemukakan permohonan kepada SPR sebelum atau pada tarikh tutup pada 31 Januari 2019,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRK Semenyih: SPR sasar 70% keluar mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada 54,503 pengundi berdaftar, keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 DUN Semenyih nanti.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR mengambil empat langkah penambahbaikan termasuk memanjangkan tempoh masa pengundian dari jam 8 pagi hingga jam 5.30 petang, berbanding hingga jam 5 petang sebelum ini bagi memudahkan urusan pengundian.

“SPR menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi dan mewujudkan satu pusat mengundi baharu, menjadikannya 26 pusat mengundi dan 31 saluran baru.

“Ia bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya 119 saluran berbanding 88 saluran, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SPR, di Menara SPR di sini, hari ini.

Azhar Azizan berkata, SPR juga menambah tiga petak undi di dalam tempat mengundi berbanding amalan sebelumnya hanya dua petak undi sahaja.

Katanya, SPR turut melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media seperti media elektronik, media sosial, media cetak, hebahan melalui siaraya dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik tumpuan awam.

“SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk media dan parti politik supaya mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi keluar mengundi,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK N.24 Semenyih akan diadakan pada 16 Febuari ini di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian sebelum hari pengundian awal pada 26 Febuari dan hari mengundi, pada 2 Mac.

Selain dijadikan lokasi penamaan calon, dewan itu juga dijadikan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRK DUN Semenyih 2 Mac

OLEH NAZLI IBRAHIM & AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 18 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi manakala penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 16 Februari 2019 bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih, Selangor.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPR selepas mempengerusikan satu mensyuarat khas pagi ini.

Proses undian awal pula akan berlangsung pada 26 Februari manakala tempoh berkempen adalah 14 hari.

Azhar Azizan berkata, pihaknya menganggarkan kos pengendalian PRK kali ini berjumlah RM1.8 juta dan daftar pemilih yang bakal digunakan sehingga suku ketiga 2018, dikemaskini sehingga 11 Januari 2019.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 orang pemilih berdaftar dengan pecahan 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

SPR yang menyasarkan 70 peratus pengundi bakal keluar menunaikan tanggungjawab turut mengumumkan Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang akan digunakan sebagai lokasi penamaan calon dan penjumlahan undi.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang, dipercayai akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar, mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memperoleh 23,428 undi menang kerusi Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM).