Categories
NASIONAL

UPM tolak amalan plagiat hasil kerja pelajar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: Universiti Putra Malaysia (UPM) memandang serius amalan eksploitasi, plagiat atau mencuri hasil kerja pelajar oleh golongan akademik di universiti.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, amalan tidak beretika itu sememangnya ditolak UPM kerana akan mencemarkan integriti dan reputasi universiti serta institusi pendidikan negara.

Katanya, justeru pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib terhadap staf mahupun pelajar yang didapati terbabit dalam kes berkenaan.

“UPM ingin menegaskan bahawa kami mempunyai saluran aduan yang boleh dicapai oleh semua staf, pelajar dan juga orang awam.

“Antara saluran yang disediakan ialah melalui Sistem U-Respon yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan kebebasan bersuara dalam kalangan pelajar, staf mahupun orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berkaitan isu integriti akademik dilaporkan sebuah media pada 29 Jun lalu.

Aini berkata, UPM melalui Unit Integriti Sekolah Pengajian Siswazah Bahagian Kemasukan dan Pusat Pembangunan Akademik telah bekerjasama untuk mengambil langkah pencegahan dan inisiatif bagi memupuk kesedaran.

Katanya, langkah sebegini membuktikan komitmen UPM dalam mengukuh dan memartabat universiti sebagai institusi pendidikan berintegriti.

“Justeru UPM sekali lagi ingin menzahirkan komitmen bahawa akan sentiasa memelihara integriti akademik dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku integriti akademik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

UPM lancar penemuan baharu Orkid ‘Vanilla Norashikiniana’

OLEH SABIRAH AZIZ

SERDANG, 3 NOV: Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan penemuan baharu bunga Orkid Vanilla yang diberi nama ‘Vanilla Norashikiniana’ sempena nama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, penemuan orkid itu merupakan spesis baharu hasil penyelidikan UPM yang terdapat di dua hutan Semenanjung Malaysia.

“Memandangkan orkid ini mempunyai tempoh bunga mekar yang lama, berbunga lebat dan memiliki kecantikan warna tersendiri, UPM dan JPNS memohon perkenan menamakannya sempena nama Tengku Permaisuri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-41 serta Pemasyhuran Bunga Orkid Vanilla Norashikiniana, di sini.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Pemasyhuran Bunga Orkid Vanilla Norashikiniana.

Sementara itu, Pensyarah Biologi Fakulti Sains UPM, Prof Dr Rusea Go berkata, pihaknya mengambil masa lama untuk mengesahkan spesis baharu vanilla diraja itu.

“Spesis anggerik baharu ini ditemui tidak berbunga pada tahun 2011 di sebuah Hutan Simpan Semenanjung semasa ekspedisi botani bersama kakitangan JPNS, kemudian ditanam di nurseri UPM dan mula berbunga pada tahun 2015.

“Pihak kami juga akan mengkomersialkan penghasilan bunga Orkid Vanila ini bagi tujuan hiasan dan produk makanan,” katanya yang turut mengesahkan pokok bunga tersebut hanya mempunyai lapan spesis sahaja di Malaysia.

Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-41 diadakan di Bukit Eskpo dari 3 hingga 8 November, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Bertemakan ‘Ihsan: Kecemerlangan & Cabaran’, ekspo itu mengetengahkan pameran dan aktiviti berteraskan pertanian seperti jualan hasil pertanian dan produk hiliran serta turut menawarkan peluang kepada pengunjung memenangi hadiah melalui aktiviti disertai.