Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji, fahami sumbangan Prof Diraja Ungku Aziz – tokoh

SHAH ALAM, 16 DIS: Tokoh wartawan menyeru semua pihak mengkaji dan memahami sumbangan diberikan Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz kepada negara dalam pelbagai bidang.

Tan Sri Johan Jaaffar mahu pemikiran ilmuwan ulung itu didedahkan kepada penuntut di institusi pengajian tinggi supaya generasi muda sedar Ungku Abdul Aziz adalah ikon yang tiada galang ganti.

“Saya percaya beliau sebelum ini menelaah atau mengkaji haiku Jepun dan sebagainya untuk mencerminkan pemikiran orang Jepun sebab itu beliau menggunakan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu, ‘The Genius of the Malay Mind’.

“Jadi ini adalah kekuatan yang ada pada Pak Ungku,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beliau berkata pembinaan monumen minda dalam kalangan masyarakat juga penting kerana tokoh akademik dan ekonomi itu pernah menekankan aspek tersebut sebelum ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Prof Diraja Ungku Aziz selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jenazah Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira 9.50 malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan berkenaan pada kira-kira 9.15 malam selepas disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada 8.55 malam.

Pengebumian dihadiri ahli keluarga serta rakan Allahyarham dan dijalankan mengikut tatacara operasi piawao (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Allahyarham Ungku Abdul Aziz, 98, meninggal dunia di sini, kira-kira 4 petang tadi.

Bekas pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM) Dr Syed Husin Ali menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang sangat mementingkan soal kemasyarakatan khususnya melibatkan kemiskinan penduduk di luar bandar.

“Malah, Allahyarham juga merupakan individu pertama memperjuangkan soal bahasa Melayu di UM dan menguruskan kongres bahasa di Singapura dan Johor Bahru pada waktu itu (sekitar 1950-an),” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham Ungku Abdul Aziz.

Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Mohamad Ali Hasan menyifatkan Malaysia bukan sahaja kehilangan tokoh akademik terulung, tetapi juga ‘pejuang’ gerakan koperasi di negara ini.

“Allahyarham amat menggalakkan penubuhan koperasi, termasuk di sekolah. Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai koperasi di sekolah.

“Hampir 98 peratus sekolah menengah mempunyai koperasi, kebanyakan koperasi di sekolah mampu mengagihkan pulangan lebih RM1 juta sama seperti pulangan bagi koperasi di luar sana,” katanya.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia di sini, pada kira-kira 4 petang tadi.

Allahyarham yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922 adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar yang kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Jasa dan sumbangan Ungku Aziz kepada umat Islam dan ekonomi orang Melayu tiada tolok bandingnya kerana Allahyarham merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap penubuhan Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji) pada November 1962.

Komitmen Ungku Aziz dalam memperkasakan ekonomi masyarakat begitu signifikan. Selain penubuhan Tabung Haji, Allahyarham juga pengerak sektor koperasi negara dan merupakan presiden Angkasa selama kira-kira 38 tahun, sejak 1971.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan zahir takziah kepada keluarga Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz

SHAH ALAM, 15 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan takziah kepada waris Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia petang tadi.

Dalam titah perutusan, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih serta dukacita dengan pemergian Allahyarham ke Rahmatullah pada usia 98 tahun.

Baginda berdua yang mengenali Allahyarham sebagai seorang tokoh pendidikan dan pembangunan ekonomi Melayu serta umat Islam mengakui kagum dengan pemikiran, aspirasi termasuk idea Ungku Abdul Aziz yang merentas masa dan zaman.

“Baginda sentiasa mengikuti rapat pandangan-pandangan dan buah fikiran Allahyarham semasa hayatnya dalam pelbagai isu yang dekat dengan rakyat jelata yang seharusnya diteladani.

“Secara peribadi, baginda juga mengenali dan pernah bertemu Allahyarham yang turut mempunyai kediaman berhampiran Istana Pantai Bahagia di Morib serta anak Allahyarham iaitu bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz,” titah baginda menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah serta ditempatkan dalam kalangan solihin.

Ungku Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang tadi di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur akibat sakit tua.

Allahyarham yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 adalah seorang tokoh negara paling disegani.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB zahir ucapan takziah pemergian Prof Diraja Ungku Abdul Aziz

SHAH ALAM, 15 DIS: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid petang tadi.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Menerima berita duka Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia sebentar tadi. Takziah diucapkan kepada keluarga,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Beliau juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh pendidikan yang banyak berjasa dan antara sosok terlibat dengan penubuhan Tabung Haji.

“Negara kehilangan seorang tokoh yang telah banyak menabur bakti. Takziah diucapkan kepada keluarga. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” kata beliau.

Ungku Abdul Aziz, 98, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang tadi di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur akibat sakit tua.

Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 adalah seorang tokoh negara paling disegani.

Sebagai tokoh pendidikan dan ekonomi, Ungku Aziz mencetuskan pelbagai idea praktikal demi memajukan ekonomi khususnya pendidikan dan ekonomi orang Melayu serta umat Islam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Tokoh akademik Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, 98, meninggal dunia di sini, kira-kira 4 petang tadi.

Jurucakap Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata perkara itu disahkan isterinya yang juga bekas Naib Yang Dipertua Angkasa Rahaiah Baheran.

“Dukacita dimaklumkan, saya telah mendapat maklumat daripada isterinya iaitu bekas Naib Yang Dipertua Angkasa Rahaiah Baheran bahawa Prof Diraja Ungku Abdul Aziz telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang tadi.

“Marilah kita bersama-sama membacakan surah al-Fatihah agar rohnya dicucuri rahmat,” kata jurucakap itu ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922 adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar yang kini merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Prof Ungku Abdul Aziz merupakan seorang tokoh disegani terutamanya dalam bidang pendidikan, selain menjadi tokoh penting di sebalik penubuhan Tabung Haji dan Angkasa

Allahyarham juga merupakan ahli ekonomi dan pernah dianugerahi gelaran ‘Profesor Diraja Ekonomi’ pada 17 Jun 1978 serta Tokoh Koperasi Negara pada Julai 2002, selain Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada 1993 .

-BERNAMA