Categories
PBT SELANGOR

Smart Gen MPSJ 2019 bina persekitaran sekolah sejahtera

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SUBANG JAYA, 16 APR: Ke arah membina generasi yang peka terhadap kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Program Generasi Bestari (Smart Gen) MPSJ 2019.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, seramai 1,876 peserta dari 56 buah sekolah merangkumi 36 sekolah rendah dan 20 sekolah menegah sekitar MPSJ menyertai pertandingan terbabit.

Katanya, bagi mencapai objektif program dalam mewujudkan persekitaran sekolah sejahtera, tiga modul dan 11 aktiviti dibentuk pada program itu.

“Dalam modul Kesihatan Persekitaran, aktiviti yang dinilai adalah pencegahan denggi, penarafan bintang tandas sekolah dan kantin.

“Bagi modul Alam Sekitar pula, kitar semula, kompos sisa organik kantin, program minggu alam sekitar dan kebun komuniti adalah antara kegiatan yang dijalankan.

“Seterusnya modul Cintai Perbandaran, empat perkara yang perlu dilaksanakan iaitu kebudayaan warisan, gaya hidup rendah karbon, cabaran minda hijau dan program sahabat pena Malaysia-Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perlancaran Program dan Konvensyen Generasi Bestari (Smart Gen) MPSJ 2019, di The Summit USJ, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, tema program ‘Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’ beraspirasikan membina dan mendidik masyarakat bermula dari usia muda.

Pertandingan yang sudah memasuki tahun ketiga itu akan berlangsung selama 10 bulan iaitu berakhir pada November depan.

Hadiah yang diperuntukkan secara keseluruhan bagi penerima Anugerah Sekolah Sejahtera 2019 adalah sebanyak RM9,000 manakala RM4,600 bagi setiap modul.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Jaya, Perbadanan Pengurusan Summit USJ dan Fraser and Neave (F&N).

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Serdang, Norhayaty Asin berkata, program itu secara tidak langsung memberi pendedah kepada pelajar mengenai keperluan menjaga kebersihan dan alam sekitar.

“Aktiviti sebegini perlu diteruskan, kerana kita boleh didik pelajar. Sebab kalau tiada pertandingan mereka tiada semangat untuk buat perkara itu,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)