Categories
SELANGOR

Netizen seronok MB sarapan dengan rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 12 APR: Perkongsian gambar sarapan pagi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di instagram peribadi miliknya menerima pelbagai komen daripada netizen, terutamanya rakyat Selangor.

Amirudin memuat naik gambar sarapan paginya iaitu Roti Canai Terowong yang dinikmatinya ketika Program Jelajah Maju Bersama di Daerah Kuala Langat, hari ini.

Salah seorang pemilik akaun instagram, @nekmajuwitaku berkata, untunglah Menteri Besar (MB) awal-awal pagi sudah mengunjungi perkampungan kecil.

“Mana hendak cari MB macam ini,” tulisnya.

Gara-gara seronok melihat pemimpin nombor satu Selangor itu menikmati sarapan, ada juga di antara netizen yang mengajak Amirudin mencuba sarapan pagi di tempat mereka.

Kata @ct_saleh, sepatutnya MB ke Kampung Parit Baru Sabak Bernam mencuba sarapan pagi.

“Jom MB ke tempat saya pula,” tulisnya.

“YB, nasi sambal sotong Pekan Banting lagi padu,” tulis @tohbern110.

Amirudin sebelum itu dilaporkan berkunjung ke Firdaus Cafe yang juga gerai popular di Banting apabila roti canai uniknya menjadi tumpuan pelanggan.

Gerai terbabit turut menyediakan pelbagai variasi roti canai, antaranya roti canai paip pecah, raksaksa, mata air, hot, fiedol, mata hari serta rama-rama.

Sebelum itu, Amirudin turut menunaikan solat subuh bersama penduduk di Masjid As-Solihin.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pendapat rakyat penting, bukan ‘aras 21’

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 APR: Lebih 100 penduduk dan pemimpin masyarakat akar umbi mengambil peluang menyuarakan pendapat dan saranan kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerusi Sesi Town Hall.

Sesi berkenaan adalah sesi penutup di daerah Kuala Langat yang diadakan sempena Program Jelajah Maju Bersama.

Amirudin berkata, ia diadakan bagi memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan pandangan supaya setiap cadangan boleh dimasukkan dalam pelan perancangan atau penyelesaian.

“Namun, ia bukan bukan penyelesaian satu atau dua hari tetapi membabitkan sistem yang membabitkan banyak pihak dan sistem pembaikan.

“Setakat ini, dengan pengalaman lebih 10 tahun mentadbir, Kerajaan Negeri berada di landasan tepat dan boleh meneruskan usaha dirancang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, cadangan dan saranan itu akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2020.

“Melalui jelajah ini, kita secara perlahan-lahan merangka apakah yang terbaik untuk dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2020.

“Kemajuan bukan hanya pemikiran aras 21 sahaja tetapi kita mengambil kira pendapat dan saranan rakyat.

“Saya percaya kita tidak akan berjaya jika kerja seorang tanpa pembabitan dan sokongan padu pihak berkuasa tempatan serta dokongan rakyat,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)