Categories
NASIONAL

PKPS: Usah resah jika tiada akaun bank di luar negara

PUTRAJAYA, 10 FEB: Pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak perlu resah sekiranya tidak memiliki sebarang akaun bank di luar negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini berikutan PKPS adalah proses pemutihan cukai untuk membantu mereka yang membuka akaun di luar negara dengan wang pendapatan daripada Malaysia yang masih belum dilapor atau dicukai.

“Jika pendapatan ini telah dilaporkan kepada LHDN atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, maka segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

“Prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam di peringkat antarabangsa yang mana butiran lanjut pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas pihaknya menerima banyak pertanyaan individu yang telah menerima surat serta e-mel PKPS daripada LHDN.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dilaporkan berkata, pihaknya memperkenalkan inisiatif PKPS sebagai salah satu kaedah penyelesaian cukai untuk mereka yang mempunyai pendapatan dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dicukai dan disimpan di akaun bank di luar negara tetapi pendapatan terbabit masih belum dilaporkan kepada LHDN.

Di bawah program terbabit, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac dan 15 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata, di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani oleh lebih 100 negara, LHDN telah mula menerima maklumat kewangan khususnya membabitkan pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September tahun lalu.

“Dalam erti kata lain, PKPS menawarkan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang ada akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDN.

“Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta menerusi e-mel atau surat LHDN untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan terbabit kepada LHDN,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara boleh membuat pelaporan secara sukarela melalui PKPS jika terdapat pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun bank luar negara tetapi belum dilapor atau dikenakan cukai.

“Saya juga telah meminta LHDN mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawainya yang cuba mengambil kesempatan di atas pelaksanaan PKPS dengan menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan,” katanya.

Lim turut menegaskan bahawa tiada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai yang berkuat kuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia dan masih menggunakan struktur penalti sama.

“Perubahan tindakan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan mengenakan topeng muka sebelum ini (iaitu) operasi Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET),” katanya.

Susulan itu, katanya, satu e-mel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDN untuk menggantikan surat edaran PKPS sebelum ini bagi mengelak sebarang salah faham.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penerima e-mel, surat PKPS diminta hubungi LHDN

PUTRAJAYA, 1 FEB: Pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dinasihati untuk tidak berasa bimbang, sebaliknya menghubungi LHDN bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, program terbabit menawarkan kadar penalti serendah 10 peratus dan 15 peratus ke atas amaun cukai tambahan perlu dibayar yang merangkumi beberapa kategori pembayar cukai.

Kategori terbabit adalah pembayar cukai berdaftar yang gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)/Borang Nyata Petroleum (BNP)/Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) secara teratur.

Tawaran itu turut diberi kepada pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT namun tidak membuat pengisytiharan cukai yang betul seperti terdapat keraguan amaun pendapatan/ keuntungan pelupusan harta tanah (terkurang lapor pendapatan) atau keraguan amaun perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dituntut (terlebih tuntut) dan pembayar duti yang gagal membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan.

“Kira-kira 8.3 juta surat dan e-mel yang dikeluarkan LHDN kepada pembayar cukai berdaftar adalah makluman berkenaan PKPS yang mula dilaksanakan pada 3 November tahun lalu dan akan berakhir pada 30 Jun ini seperti telah diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019,” katanya, lapor BERNAMA.

Bagaimanapun, Sabin berkata, pembayar cukai yang telah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai sepatutnya kepada LHDN serta telah membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan, boleh mengabaikan surat atau e-mel pemakluman berkenaan.

Beliau berkata, pengakuan secara sukarela yang dibuat dalam tempoh program terbabit juga akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada LHDN.

Pada masa sama, LHDN turut menasihatkan pembayar cukai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program berkenaan.

“Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut mengenai program ini dengan mengunjungi Pejabat LHDN berhampiran, menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau menghantar e-mel pertanyaan kepada: [email protected],” katanya.

Selain Malaysia, program itu telah dilaksanakan oleh lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Indonesia bagi memberi peluang rakyat tampil membuat pengakuan sukarela.

Sabin berkata, ini juga selaras inisiatif Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam melaksanakan pertukaran maklumat di bawah Country-by-Country Reporting (Pelaporan Mengikut Setiap Negara) yang bermula di Malaysia pada September tahun lalu.