Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: LHDN beri kelonggaran bayar cukai, penalti

PUTRAJAYA, 3 JUN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti kepada pembayar cukai yang pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

LHDN berkata kelonggaran yang ditawarkan adalah penangguhan pembayaran penalti yang berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022, dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang perlu dijelaskan.

Penalti yang termaktub dalam tawaran tersebut adalah penalti yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949, katanya.

“Kelonggaran ini bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai mereka,” kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

LHDN berkata pihaknya juga membuat pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Pertimbangan penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh.

“Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes,” katanya.

LHDN menegaskan kelonggaran tersebut hanya terpakai kepada pembayar cukai yang terjejas pendapatannya akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkuat kuasa.

“Pembayar cukai yang berhasrat untuk memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka,” katanya.

LHDN berkata pihaknya mengeluarkan soalan lazim berkaitan urusan percukaian dalam tempoh sekatan pergerakan penuh selain isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan.

Soalan lazim yang dikeluarkan itu boleh didapati melalui pautan http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf untuk versi Bahasa Melayu dan http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.p versi Bahasa Inggeris.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada sindiket tipu guna nama LHDN kembali aktif

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini mengingatkan orang ramai agar berwaspada berikutan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai LHDN kembali aktif sejak akhir-akhir ini.

Dalam kenyataannya, LHDN berkata antara modus operandi sindiket ialah memaklumkan kepada mangsa ada tunggakan cukai dan mangsa dikehendaki membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDN bagi menjelaskan tunggakan itu.

“Selain itu, mangsa juga menerima panggilan memaklumkan dia terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Ada juga segelintir mangsa dihubungi sindiket menyamar pegawai polis memaklumkan mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi palsu Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan penyiasatan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, sindiket menghubungi mangsa menerusi talian telefon mirip nombor telefon LHDN menggunakan teknik “spoofing”.

Orang ramai turut dinasihati agar menyemak panggilan, mesej, e-mel atau surat meragukan daripada LHDN dengan menghubungi Hasil Care Line di 03-89111000/ 603-89111100 (luar negara), Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDNM atau hadir ke cawangan LHDNM berdekatan.

“Jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan, jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel meragukan, pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDN, jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta pemanggil yang tidak dikenali, jangan buat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali serta semak nombor telefon LHDN di portal rasmi LHDN,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penerima e-mel, surat PKPS diminta hubungi LHDN

PUTRAJAYA, 1 FEB: Pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dinasihati untuk tidak berasa bimbang, sebaliknya menghubungi LHDN bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, program terbabit menawarkan kadar penalti serendah 10 peratus dan 15 peratus ke atas amaun cukai tambahan perlu dibayar yang merangkumi beberapa kategori pembayar cukai.

Kategori terbabit adalah pembayar cukai berdaftar yang gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)/Borang Nyata Petroleum (BNP)/Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) secara teratur.

Tawaran itu turut diberi kepada pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT namun tidak membuat pengisytiharan cukai yang betul seperti terdapat keraguan amaun pendapatan/ keuntungan pelupusan harta tanah (terkurang lapor pendapatan) atau keraguan amaun perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dituntut (terlebih tuntut) dan pembayar duti yang gagal membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan.

“Kira-kira 8.3 juta surat dan e-mel yang dikeluarkan LHDN kepada pembayar cukai berdaftar adalah makluman berkenaan PKPS yang mula dilaksanakan pada 3 November tahun lalu dan akan berakhir pada 30 Jun ini seperti telah diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019,” katanya, lapor BERNAMA.

Bagaimanapun, Sabin berkata, pembayar cukai yang telah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai sepatutnya kepada LHDN serta telah membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan, boleh mengabaikan surat atau e-mel pemakluman berkenaan.

Beliau berkata, pengakuan secara sukarela yang dibuat dalam tempoh program terbabit juga akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada LHDN.

Pada masa sama, LHDN turut menasihatkan pembayar cukai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program berkenaan.

“Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut mengenai program ini dengan mengunjungi Pejabat LHDN berhampiran, menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau menghantar e-mel pertanyaan kepada: [email protected],” katanya.

Selain Malaysia, program itu telah dilaksanakan oleh lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Indonesia bagi memberi peluang rakyat tampil membuat pengakuan sukarela.

Sabin berkata, ini juga selaras inisiatif Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam melaksanakan pertukaran maklumat di bawah Country-by-Country Reporting (Pelaporan Mengikut Setiap Negara) yang bermula di Malaysia pada September tahun lalu.

 

Categories
NASIONAL

My@MPSJ permudah urusan atas talian

MPSJ kiosk 1

SUBANG JAYA 25 OKT : Pembayar cukai di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak perlu lagi datang ke pejabat untuk sebarang urusan pembayaran cukai kerana boleh dilakukan secara atas talian di My@MPSJ.

Yang DiPertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata MPSJ akan melaksanakan sistem butiran bil pembayaran cukai secara elektronik yang dihantar terus kepada pelanggan, mulai pada tahun depan.

“Justeru, kita menggalakkan orang ramai membuat pendaftaran ini dengan segara. Aplikasi melalui rekod pembayar akan memudahkan kita menghantar bil berkenaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketia sidang media selepas pelancaran Kempen Daftar My@MPSJ yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Katanya, perkhidmatan atas talian yang disediakan adalah bagi pembayaran cukai taksiran, kompaun trafik, sewaan, bil air, cagaran, tempahan gelanggang, pembaharuan lesen dan semakan status pembayaran kontraktor.

“MPSJ juga menyediakan alternatif untuk pendaftaran keahlian di kaunter ibu pejabat MPSJ dan mereka yang mendaftar berpeluang mendapat hadiah cabutan bertuah sehingga RM20,000,” katanya.

Syarat untuk menjadi ahli My@MPSJ adalah dengan menyertakan salinan kad pengenalan, salinan sijil pendaftaran perniagaan atau yang berkenaan yang perlu dihantar ke Kaunter Hub My@MPSJ, Jabatan Teknologi Maklumat, Kaunter Informasi MPSJ atau e-mel kepada [email protected] dan melalui talian faksimili 03-8024 6612.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan My@MPSJ boleh melayari di laman sesawang MPSJ http://www.mpsj.gov.my dan datang ke Jabatan Teknologi Maklumat MPSJ, di sini.

-NFN-