Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bina Rumah 7 Keluarga Miskin Lembah Jaya

SHAH ALAM, 3 MEI: Pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan masyarakat negeri ini menerima manfaat dari program-program kebajikan yang dijalankan.

Antara program yang dijalankan termasuklah menyediakan bantuan membina rumah bagi golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan yang dijalankan di bawah program Rumah Kerajaan Perihatin.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz ketika ditemui TVS baru-baru ini.

Menurut Khasim, sehingga kini sebanyak tujuh keluarga golongan terbabit di Lembah Jaya telah menerima manfaat yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

“Program Rumah Kerajaan Perihatin ini kita sasarkan kepada golongan berpendapatan rendah yang ada memiliki tanah tetapi tidak mampu tampung kos bina rumah.

“Setakat ini kita telah bina tujuh rumah untuk golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan yang tak mampu bina rumah sendiri dan masih ada beberapa permohonan baru yang masih diteliti.

Menurut Khasim, sebanyak RM35,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi setiap unit rumah yang dibina.

“Untuk setiap rumah kita peruntukan maksima RM35,000 bergantung kepada keadaan rumah sedia ada.

“Kadang-kala ada di antara mereka dah ada rumah, tetapi tak berapa sempurna atau uzur, kita cuma baiki sahaja.

“Ada juga rumah yang ada itu terlalu uzur atau memang yang belum bina rumah, yang itu kita bina rumah baru, tetapi syaratnya tapak tersebut mesti bergeran dan dimiliki oleh pemohon,” ujar Khasim lagi.

Ketika membuat tinjauan di beberapa rumah yang dibina menerusi peruntukkan dari program Rumah Kerajaan Perihatin, mereka melahirkan rasa lega apabila kerajaan negeri menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan masalah kediaman keluarga mereka.

Menurut salah seorang penerima bantuan yang ditemui di Kampung Tasik Permai, Thiago a/l Shanmugam, kini keluarganya dapat tinggal di kediaman lebih selesa berbanding sebelumnya.

“Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan negeri sekarang kerana bantu kami bina rumah baru untuk kami sekeluarga duduk, kalau kerajaan negeri tak bantu tentu rumah kami masih macam dahulu, terlalu uzur.

“Sekarang, jauh lebih selesa. Kalau nak harap pendapatan saya tentulah kami belum duduk rumah seperti sekarang ini, tetapi sekarang saya cukup lega,” beritahu Thiago kepada TVS.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tasik Permai, Che Yusof Che Mat, sebanyak dua buah rumah telah dibina di kampung Tasik Permai dan lima lagi terletak di beberapa kampung lain sekitar Lembah Jaya.