Categories
AGENDA NASIONAL

Sarapan percuma diteruskan, hanya untuk pelajar miskin

SHAH ALAM, 16 JAN: Program Sarapan Pagi (PSP) akan diteruskan seperti dijadual pada Isnin ini, kata perdana menteri.

Bagaimanapun, program itu dikhususkan kepada pelajar yang tidak berkemampuan sahaja, lapor Berita Harian.

“Kita akan teruskan program yang ada sekarang kepada mereka yang tidak mampu, tapi nak bagi kepada semua bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah pun dapat juga. Itu tidak adil,” kata Tun Dr Mahathir selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Ulang Tahun Ke-70 TNB di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menjelaskan pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah dibuat secara berfasa dengan tumpuan kepada sekolah yang merekodkan jumlah murid dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tertinggi.

Categories
BERITA UTAMA

Kerajaan ada bajet laksana program sarapan percuma

HANOI, 28 OGOS: Kerajaan mempunyai bajet untuk melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun depan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan boleh menggunakan dana disatukan daripada pelbagai kementerian dan agensi untuk pelaksanaan program PSP yang akan memanfaatkan murid sekolah rendah kerajaan serta bantuan kerajaan.

Ditanya sama ada kerajaan mempunyai sumber kewangan untuk pelaksanaan program PSP termasuk dengan menggunakan kutipan cukai gula, Dr Mahathir berkata, semua cadangan akan diperhalusi.

“Semua cukai dikutip akan diagihkan kepada kementerian dan agensi mengikut keperluan. Kalau ada keperluan untuk peruntukan tambahan, kita akan pertimbangkan, kalau kita mampu, kita akan bagi.

“Tetapi kita harus ingat kerajaan terdahulu meninggalkan banyak hutang dan kerajaan kini kena bayar (hutang),” katanya kepada pemberita Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam di sini, hari ini.

Ditanya menu yang sesuai untuk sarapan murid, Dr Mahathir berkata banyak menu sihat yang sesuai untuk program PSP.

Isnin lepas, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mendapat sajian sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.

Media melaporkan kerajaan dijangka perlu membelanjakan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun, bergantung kepada menu sajian PSP.

Sementara itu, dalam akaun Facebook dan Twitter, Maszlee berkata kementerian masih meneliti kos bersesuaian bagi pelaksanaan PSP.

Sebuah jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi membincang secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan, termasuk penggunaan dana daripada cukai gula.

– BERNAMA