Categories
AGENDA NASIONAL

‘Saya masih lagi pengerusi’ – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Jawatan Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada dalam perlembagaan parti dan tiada kuasa untuk memecat ahli, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemecatan beliau sebagai pengerusi parti dan empat lagi pemimpin parti semalam adalah satu perkara di luar kebiasaan dan menyifatkan keputusan itu tidak sah.

“(Jawatan) setiausaha kerja tiada dalam perlembagaan parti dan dia tidak mempunyai apa-apa kuasa pun berdasarkan perlembagaan. Dia cuma menjalankan tugas dan arahan tyang diberi oleh setiausaha.

“Tiba-tiba semalam saya dapat surat setiausaha kerja pecat saya, pengerusi boleh kena buang oleh setiausaha kerja,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Semalam, keahlian Dr Mahathir dan empat pemimpin lagi dihentikan serta-merta kerana mereka menyertai blok pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini.

Empat lagi ialah Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar). Dr Mahathir merupakan Anggota Parlimen Langkawi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau juga telah membuat keputusan untuk melucutkan jawatan Muhammad Suhaimi sebagai setiausaha kerja Bersatu dan digantikan dengan Datuk Sazmi Miah berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai status jawatannya di parti itu, Dr Mahathir berkata beliau masih lagi pengerusi Bersatu yang sah.

“Saya masih pengerusi kerana apabila mereka cuba mengeluarkan saya, ia tidak sah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sarapan percuma diteruskan, hanya untuk pelajar miskin

SHAH ALAM, 16 JAN: Program Sarapan Pagi (PSP) akan diteruskan seperti dijadual pada Isnin ini, kata perdana menteri.

Bagaimanapun, program itu dikhususkan kepada pelajar yang tidak berkemampuan sahaja, lapor Berita Harian.

“Kita akan teruskan program yang ada sekarang kepada mereka yang tidak mampu, tapi nak bagi kepada semua bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah pun dapat juga. Itu tidak adil,” kata Tun Dr Mahathir selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Ulang Tahun Ke-70 TNB di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menjelaskan pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah dibuat secara berfasa dengan tumpuan kepada sekolah yang merekodkan jumlah murid dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tertinggi.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tsunami Rakyat bakal melanda negara 9 Mei ini – Tun M

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad percaya ‘Tsunami Rakyat Malaysia’ akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, Hulu Kelang, beliau kagum dengan kehadiran hampir 50,000 rakyat bagi menyatakan sokongan kepada PAKATAN.

“Saya tidak pernah melihat begitu ramai orang berdiri dalam hujan bukan untuk mendengar syarahan tetapi mengatakan sokongan terhadap perubahan rakyat,” katanya.

Katanya, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan beliau adalah pahlawan Bugis tetapi hakikatnya takut dengan diri sendiri apabila wajah beliau terpaksa ditutup di poster sepanjang tempoh berkempen.

“Sudah lama kita menderita, kita lihat PM cuba beli undi. Undi itu percuma,
Najib tidak payah guna duit banyak, turun salam dengan orang cukup tapi dia jawab ‘Cash Is King’.

“Mereka dapat duit lupa segalanya. Duit tidak boleh beli segalanya, syurga di akhirat,” katanya.

Dalam ucapannya Mahathir menggesa rakyat supaya keluar mengundi dan memberikan majoriti kemenangan besar kepada PAKATAN supaya dapat membentuk kerajaan baru buat Malaysia.