Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen: Program Subsidi Petrol tidak dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi menggantikan mekanisme subsidi petrol semasa, yang diusulkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2019, tidak akan dilaksanakan, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata kementeriannya dan Kementerian Kewangan (MoF) telah bersetuju untuk tidak melaksanakan PSP.

Beliau berkata susulan daripada mesyuarat bersama pada 9 Julai lalu mengenai hala tuju PSP, pihak MoF akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk memuktamadkan pendirian kerajaan berkaitan dengan PSP tersebut.

“Sebab-sebab untuk tidak melaksanakan adalah yang pertama, untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan penduduk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana hanya penduduk Semenanjung Malaysia sahaja yang terlibat dengan subsidi ini.

“Dan (yang kedua adalah) untuk mengelakkan berlakunya jurang harga petrol yang tinggi di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PH-Setiu) berhubung perancangan baharu kerajaan untuk subisidi minyak pada masa hadapan.

Pada 18 Disember 2019, Kabinet telah memutuskan bahawa pelaksanaan PSP yang dijadualkan bermula Januari 2020 tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Rosol berkata keputusan untuk tidak melaksanakan PSP adalah juga kerana untuk mengelakkan timbulnya keraguan dalam kalangan rakyat berkenaan ketelusan dalam pemberian subsidi itu.

Terdahulu, kerajaan pada 7 Oktober 2019 telah mengumumkan pelaksanaan PSP dengan sejumlah RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan subsidi itu. Peruntukan yang disediakan menerusi Belanjawan 2020 tersebut dijangka akan memanfaatkan sejumlah lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.

Dilaporkan, jumlah penggunaan petrol RON95 negara sekitar 14.4 bilion liter setahun, sekali gus bermakna jumlah subsidi ditanggung kerajaan untuk RON95 sahaja sebesar RM4.32 bilion setahun.

Harga siiling RON95 yang ditetapkan oleh MoF adalah pada paras RM2.08 seliter.

Hari ini, harga petrol RON95 bernilai RM1.68 seliter berbanding RM1.72 seliter, minggu lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program Subsidi Petrol: Kaedah pengagihan adil, terbaik

PUTRAJAYA, 28 DIS: Menghitung hari melangkah ke tahun 2020, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia dengan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP).

PSP adalah prinsip bantuan kerajaan melalui pengagihan semula subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak dan ia juga inisiatif kerajaan meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, pelaksanaan PSP, yang menepati manifesto Pakatan Harapan di bawah Janji 7 iaitu menyediakan subsidi minyak bersasar, merupakan inisiatif dengan objektif murni untuk memastikan rakyat Malaysia yang benar-benar layak menerima bantuan.

Sebelum ini, katanya kaedah pelaksanaan subsidi adalah secara ‘blanket’ iaitu “semua dapat”, di mana golongan yang tidak layak termasuk mereka yang “berkereta besar”, orang kaya dan warga asing mendapat akses kepada subsidi tersebut.

“Sebelum ini semua layak, sama ada guna kereta BMW ke, Mercedes, kereta mewah pun layak dapat. Subsidi ini sepatutnya dinikmati golongan sasar yang betul-betul memerlukan seperti golongan B40, M40 dan sebagainya.

“Subsidi secara blanket ini, kita tak dapat kawal, kenderaan asing pun menikmati subsidi,” katanya.

Mengenai pemilihan penerima, Muez berkata PSP bagi kumpulan B40 menggunakan data asas daripada Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi mengenal pasti kumpulan berpendapatan rendah dan seterusnya dipadankan dengan data pemilikan kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, melalui penggubalan dasar berpandukan data, kementerian berjaya mengenal pasti 2,862,472 individu yang memenuhi syarat-syarat kelayakan PSP.

Sehingga tarikh tutup tempoh rayuan pada 30 November lalu, sebanyak 346,491 penerima yang layak telah mengemas kini maklumat mereka, katanya.

Kementerian juga, katanya telah menerima sebanyak 480,317 permohonan rayuan dan semakan berhubung status rayuan itu boleh dibuat pada awal tahun hadapan sebelum pembayaran pertama dilakukan pada April 2020.

Beliau berkata kementeriannya menjangkakan terdapat segelintir golongan berpendapatan rendah daripada B40 yang mungkin tercicir daripada senarai penerima PSP disebabkan mereka tiada dalam senarai BSH.

“Bagi tujuan ini, KPDNHEP telah memaklumkan kepada mereka yang sebelum ini tidak mendapat BSH untuk mengemukakan permohonan kepada sekretariat BSH. Taklimat dan penerangan di peringkat negeri pun telah dibuat untuk memaklumkan orang awam tentang perlunya B40 mendaftar untuk BSH supaya mereka juga menikmati subsidi di bawah PSP,” katanya.

Berapakah jumlah subsidi yang akan diterima penerima?

Penerima PSP akan menerima bantuan subsidi sebanyak RM30 sebulan bagi pemilik kereta dan RM12 sebulan bagi pemilik motosikal, terhad kepada salah satu kadar yang lebih tinggi.

Bagaimana bayaran akan dibuat?

Bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima PSP empat bulan sekali menjadikan jumlah bantuan tunai yang diterima adalah sebanyak RM120 bagi pemilik kereta dan RM48 bagi pemilik motosikal bagi setiap kali bayaran.

Apakah kriteria penerima PSP?

Penerima PSP adalah penerima BSH yang beralamat di Semenanjung Malaysia dan mempunyai kenderaan yang berdaftar serta lesen kenderaan motor yang masih sah.

Kapasiti enjin yang ditetapkan pula ialah 1,600cc ke bawah bagi kereta dan 150cc bagi motosikal. Bagi penerima PSP yang memiliki kereta berusia lebih 10 tahun atau motosikal berusia lebih tujuh tahun tetapi kapasiti enjin melebihi kriteria yang ditetapkan, masih layak untuk menerima PSP.

Berhubung perluasan PSP kepada golongan M40, Muez berkata KPDNHEP mengadakan libat urus bersama agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, JPJ, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Perangkaan untuk mengenal pasti dan memperincikan kriteria dan keperluan bagi melaksanakannya.

“Kita mesti mengemas kini data, itu yang paling utama dalam pelaksanaan ini sebab kita nak bagi pada yang layak. Setakat ini, B40 dah kenal pasti bakal penerima, manakala bagi M40 sedang dalam proses kemas kini,” katanya, sambil menambah antara data yang diperlukan ialah purata pendapatan M40.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

5 juta lagi penerima PSP sedang dikenal pasti – Saifuddin

KULIM, 26 OKT: Sebanyak lima juta penerima lagi termasuk daripada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40 peratus (M40) sedang dikenal pasti untuk menerima bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan bermula tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini kira-kira tiga juta data penerima PSP terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sudah berjaya direkodkan.

Beliau berkata baki lima juta penerima lagi perlu dicari segera memandangkan Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion melibatkan lapan juta penerima untuk program berkenaan bagi 2020.

Katanya, kumpulan penerima dalam kalangan M40 dikenali sebagai ‘bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)’ dan pihaknya akan berbincang dengan Menteri Kewangan tentang mekanisme khusus bagi tujuan pengumpulan data kumpulan berkenaan.​​

“Satu pendekatan untuk kutipan data perlu dirangka, untuk B40 dah ada tapi M40 belum ada dan harus dikenal pasti pendekatan tepat bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Isu-Isu Kepenggunaan dan Isu-Isu Semasa (Kupasan Bajet 2020 dan Taklimat Petrol Subsidi Bersasar), di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, pendaftaran untuk penerima daripada golongan B40 dan BSH sehingga kini masih dibuka, manakala tempoh pendaftaran dan semakan bagi kumpulan M40 pula akan dimaklumkan kemudian.

“Kita menerima pelawat yang begitu ramai selepas kita buka portal untuk B40 mendaftar, semak dan kemaskini maklumat dan saya jangka jika kita umum untuk M40 mendaftar, yang secara relatifnya mereka lebih celik IT, ini akan membantu memudahkan kita menjalankan proses pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata proses mengumpul data semua penerima yang layak perlu diselesaikan pada tahun ini juga bagi memastikan mereka dapat menerima bantuan PSP pada suku pertama tahun depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program Subsidi Petrol bantuan tepat buat B40

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Pemberian subsidi minyak melalui Program Subsidi Petrol (PSP) adalah langkah tepat oleh kerajaan dalam memberikan bantuan hanya kepada golongan B40 sahaja, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan golongan yang tidak sepatutnya daripada menikmati subsidi minyak daripada kerajaan.

“Kita dapati setelah dikaji, ada mereka yang memiliki enam kereta yang mendapat nikmat subsidi minyak sebab itu kita beri cuma untuk satu kereta sahaja daripada golongan B40.

“Kita tidak boleh bagi subsidi kepada orang kaya dan kita lihat subsidi lama yang guna kereta mewah seperti Rolls-Royce pun dapat subsidi.

“Ini adalah bantuan tepat kepada mereka yang memerlukan bantuan, bukan mereka yang ada kereta mewah pun dapat subsidi minyak daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa PSP yang dilaksanakan mulai 1 Jan 2020 bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenderaan di Semenanjung Malaysia.

Subsidi RM30 sebulan akan diberi kepada pemilik kereta 1600cc dan ke bawah dan bagi kereta melebihi 1600cc, ia berumur 10 tahun dan ke atas manakala RM12 sebulan bagi pemilik motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berumur tujuh tahun dan ke atas. Ia akan diberi secara tunai dan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali.

RON95 akan diapungkan di Semenanjung Malaysia bagi bukan penerima BSH di Semenanjung Malaysia dan harga kekal pada RM2.08 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.

– BERNAMA