Categories
SELANGOR

Projek istimewa buat rakyat Semenyih kekal – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 3 MAC: Projek istimewa buat rakyat Semenyih akan tetap diteruskan walaupun Pakatan Harapan (PAKATAN) kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek istimewa berkaitan pembinaan rumah itu masih lagi berlangsung dan menunggu masa untuk dilaksanakan berdasarkan jadual ditetapkan.

“Pengumuman ini langsung tidak berkait dengan PRK Semenyih, perancangan sudah lama dibuat, jika kalah pun, kita bukan hendak menghukum Semenyih.

“Perancangan ini sudah dibuat dalam kerangka Belanjawan Negeri sebelum ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Acara Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 edisi ke tujuh di Padang Timur, di sini, hari ini.

Terdahulu pada 27 Februari lalu, Amirudin ketika berkempen pada PRK Semenyih mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengumumkan satu projek besar untuk penduduk Semenyih tidak lama lagi.

Katanya, pengumuman itu adalah sebagai komitmen Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan penduduk di situ.

Namun Amirudin tidak membuat sebarang pengumuman mengenainya bagi menjaga etika pilihan raya.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk membawa kemudahan bas percuma Smart Selangor ke Semenyih bagi memastikan sistem perhubungan di sana lebih sistematik dan cekap.