Categories
SELANGOR

Hidup Berjiran Dengan Kabel Voltan Tinggi

RAWANG 23 OGOS : Tidak lama lagi, perkara pertama yang bakal dilihat oleh Goh Ah Kow apabila beliau bangun pagi adalah pencawang elektrik yang terpacak di tengah-tengah kampung beliau.

Di samping itu, beliau dan berpuluh keluarga di Kampung Sungai Terentang di sini akan berdepan dengan risiko penyakit kanser, leukimia dan masalah kandungan akibat hidup di bawah kabel elektrik voltan tinggi.

“Kami juga akan kehilangan kampung kami yang sudah wujud lebih 60 tahun.

?Padang, dewan orang ramai, rumah ibadat dan juga premis perniagaan kami juga akan dirobohkan serta rumah kami juga akan dirobohkan,” kata Goh, 54, Ketua Kampung Sg Terentang ketika ditemui semalam.

Perkara ini akan berlaku sekiranya projek pembinaan kabel voltan tinggi Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) diteruskan mengikut laluan asal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mengikut pelan asal TNB, sebanyak enam pencawang akan dibina merentasi kampung tersebut yang mempunyai lebih 5,000 penduduk.

Cadangan Projek CAR ini bermula pada tahun 2004 dan melibatkan pembinaan menara arus 275 KV transmisi menerusi kawasan Kampung itu.

Bagaimanapun ia mendapat bantahan keras penduduk kerana sebelum ini satu menara pencawang CAR tumbang pada tahun 2007 di Kampung Lee Kim Sai yang juga terletak di Rawang.

Pada tahun 2008, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat mengarahkan projek ini dihentikan atas pertimbangan keselamatan penduduk.

Pada 2009, Kerajaan Selangor telah melantik sebuah perunding yang mereka pelan bagi tiga laluan alternatif yang tidak merentasi kampung tersebut.

Pada Aug 11, Naib Presiden TNB, Datuk Rozimi Remeli berkata, Selangor dan Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan tenaga elektrik jika projek CAR terus tergendala.

Sehingga kini, TNB tidak mengemukan respons terhadap cadangan kerajaan Selangor itu.

Tinjauan Selangorkini mendapati pembinaan enam pencawang itu bakal merentasi jarak 1.5 km di dalam kampung tersebut.

Sebuah pencawang yang sudah siap tetapi masih tidak mempunyai kabel terletak kira-kira 25 metre dari rumah, sebuah sekolah rendah dan klinik kesihatan.

Ah Kow mencadangkan agar TNB menggunakan sebuah lagi laluan yang tidak merentasi kampung tersebut dan didakwa lebih murah dari pelan asal TNB.

Malah, cadangan penduduk itu hanya menelan belanja sebanyak RM 11.09 juta berbanding dengan cadangan asal TNB yang akan menelan belanja RM 18.6 juta.

Beliau mendakwa jajaran asal itu akan melalui laluan simpanan TNB (LLN) yang telah dijual kepada tiga buah syarikat perkilangan pada tahun 2003.

“Kami penduduk tidak faham kenapa TNB menjual tanah terbabit dan sekarang mahu menyusahkan penduduk. Kalau mereka prihatin dengan penduduk, mereka sepatutnya membeli semula tanah kilang itu.

“TNB tiada hak untuk membina enam pencawang projek CAR ini kerana tanah penduduk di sini bukan tanah simpanan TNB.

“Ini hak kami, kami mempunyai geran tanah dan mengikut plan perkampungan ini tidak tertera tanah simpanan TNB melainkan di kawasan kilang itu,” kata Ah Kow.

Seorang lagi penduduk, Yap Hong, 60, berkata TNB sebelum ini menawarkan pampasan sebanyak RM 200,000 kepada setiap penduduk tetapi ini ditolak kerana mereka mahu mengekalkan perkampungan yang lebih 60 tahun itu.

“Disini ada surat bertarikh 30 Disember 1950 yang diperolehi daripada Arkib Negara.

?Ini surat daripada ‘Resettlement Office Selangor’ kepada Pengerusi Rawang Concessions iaitu pemilik tanah memberikan 47.5 ekar tanah kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan penempatan penduduk. Ini permulaan kampung kami,” katanya.

Categories
SELANGOR

TNB Perlu Selesai Segera Projek CAR, Bukan Ulang Kenyataan Krisis Elektrik


SHAH ALAM, 16 OGOS : Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta segera memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan masalah Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang yang tberlarutan lebih tiga tahun.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata sebelum ini Pegawai Tertinggi TNB menyatakan Selangor bakal menghadapi krisis elektrik merupakan ‘laungan ulangan’ yang dibuat sejak tahun 2007 sehingga kini.

“Kenyataan tenaga (TNB) ini serupa juga kenyataan pada 2007, 2008 dan 2009. Ini serupa. Jawapan kita, lebih cepat kita selesaikan lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco.

Kerajaan Negeri mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif bagi Projek CAR yang tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Tiga laluan alternatif yang dikemukakan adalah Rawang Perdana dengan kos RM11.09 juta, jalan besar Rawang dengan kos RM17.50 juta dan laluan bawah tanah mengikut pelan asal yang dikemukakan TNB dengan kos RM226.25 juta.

Cadangan Projek CAR ini bermula pada tahun 2004 dan melibatkan pembinaan menara arus 275 KV transmisi menerusi kawasan Kampung Sungai Terentang.

Bagaimanapun projek itu mendapat bantahan keras penduduk setempat kerana sebelum ini satu menara pencawang tersebut tumbang pada tahun 2007 di Kampung Lee Kim Sai yang terletak di Rawang.

Pada tahun 2008, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid mengarahkan projek ini dihentikan atas pertimbangan keselamatan penduduk.

Sebelum ini, Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad, Datuk Rozimi Remeli berkata, Selangor dan Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan tenaga elektrik jika projek CAR terus tergendala.

Jelas Abdul Khalid, pelan penempatan semula menara pencawang TNB ini perlu disemak semula dan menggunakan kaedah yang lebih baik seperti kaedah aliran tenaga bawah tanah.

“Satu perkara yang jelas, perancangan tenaga ini untuk menyediakan aliran-aliran tenaga melalui pencawang-pencawang dibuat pada tahun 70an dan 80an.

“Jadi oleh sebab itu saya berpendapat, kita semak semula penempatan tersebut terutama di Lembah Klang kerana kawasan tersebut tidak sesuai kerana mempunyai penempatan penduduk yang ramai,” katanya.