Categories
SELANGOR

Naqib ungguli kejohanan boling remaja

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JAN: Pemain boling remaja, Wan Muhammad Naqib yang bernaung di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS) berjaya menjuarai kategori Gred Lelaki Kejohanan Milo International Junior All Stars & The Masters 2015 ke-16.

Naqib, 15, berjaya mengumpul 2,215 jatuhan pin menewaskan pencabar terdekat, Muhammad Hazim mewakili PSA dengan jumlah 2,214 jatuhan pin di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Tempat ketiga milik Keita Tokuhisa dari Jepun dengan 2,199 jatuhan pin.

naqib 123Beliau mula aktif dalam boling sejak berusia lapan tahun atas dorongan ibu bapa dan menerima latihan daripada Radhuan Rashid atau Obi.

“Boling adalah sukan paling diminati dan atas kesedaran itu, bapa membelikan bola boling dan saya mula mengikuti latihan bersama Obi yang mengajar saya selok belok permainan boling,” katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan boling Perangsang Selangor, Razif Abu Bakar, berkata Naqib berjaya mengharumkan Selangor tanpa menjadikan umur sebagai penghalang untuk bersaing dengan pemain berpengalaman.

“Syabas dan tahniah atas permainan cemerlang yang dipamerkan.

“Saya percaya dengan daya usaha dan keazaman tinggi, Naqib mampu menjadi salah seorang bintang boling Malaysia suatu hari nanti,” katanya dalam kenyataan.

Selaku johan, Naqib berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Sebelum ini, Naqib pernah menjuarai beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya :

1. Johan Individu Lelaki Bawah 12 di Kejohanan Boling MSSS (2012)
2. Johan Individu Lelaki Bawah 12 di Kejohanan Boling Antarabangsa Pesta Penang (2012)
3. Johan Individu Lelaki Bawah 16 di Kejohanan Boling Sirkit Kuala Lumpur (2013)
4. Naib Johan Individu Lelaki Bawah 14 di Kejohanan Boling Antarabangsa Opulent-Sekolah Sukan Singapura ke-8 (2014).

Kejohanan selama 13 hari itu membabitkan lebih 150 penyertaan dari beberapa kelab boling seluruh Malaysia dan Asia, antaranya Singapura, Korea, Japan, Australia, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan Hong Kong.

-AA-

Categories
SELANGOR

Projek Rangsangan Sukan Selangor berjaya tarik 1,500 remaja

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Projek Rangsangan Sukan Selangor (RSS) yang diterajui oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Peransang Selangor) mendapat penyertaan seramai 1,500 remaja.

Presiden Kelab Sukan dan Rekreasinya (KELAB), Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata daripada jumlah itu, seramai 250 peserta dipilih untuk digilap mengikut jenis sukan ditetapkan.

Presiden KELAB, Mohd Fauzi Mohd Ghazali“Penyertaan sangat menggalakkan setakat ini. Kita dapat banyak penyertaan.

“Kita bekerjasama dengan persatuan dan sekolah bagi pencarian bakat muda melalui Kem Pembangunan Bakat Sukan dan Pasukan Sukan Elit,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fauzi berkata, remaja terbabit digilap daripada ‘sifar’ menjadi seseorang yang cemerlang.

“Kita melatih mereka melalui jurulatih profesional. Usaha membangunkan remaja ini berjaya kerana ada diantaranya berjaya mewakili Malaysia dalam beberapa pertandingan,” katanya.

Beliau berkata RSS akan diteruskan pada tahun depan dengan peruntukkan yang akan diumumkan kelak.

Projek Rangsangan Sukan Selangor (RSS)Tahun lalu, Perangsang Selangor anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), menandatangani Memorandum Persefahaman dengan lima buah kelab sukan untuk melaksanakan RSS bernilai RM1.8 juta.

Lima buah kelab sukan terlibat, termasuk Kelab Boling Seintak (boling), Sukan J World (badminton), Sekolah Renang Supersharkz (renang), Persatuan Lumba Basikal Selangor (lumba basikal) and Sukan Munro (bola sepak).

Perlaksanaan Kem Pembangunan Bakat Sukan merangkumi pemilihan, latihan dan pembangunan ahli sukan muda berumur di antara 9 sehingga 12 tahun oleh
jurulatih profesional di Selangor.

-nR-